Setiap cerita seram yang bagus pasti akan menakutkan penonton dalam cara yang paling tidak jangka, dan itulah yang saya rasa semasa bermain Little Nightmares 2. Kami di Gamer Santai sudah mengulas game ini sebanyak dua kali, dan ini adalah ulasan terakhir kita sebelum korang pula mendapat peluang untuk bermain tidak lama lagi.
Bagi mereka yang tidak tahu, Little Nightmares 2 adalah sekuel kepada Little Nightmares pertama oleh Tarsier Studios. Seperti game pertama, Little Nightmares 2 meminta kita bermain seorang watak kecil bernama Mono, yang harus “survive” dalam dunia yang penuh dengan raksasa. Keseluruhan game pertama berlangsung di dalam kapal bernama The Maw, tetapi di Little Nightmares 2, kita akan bermain di bandar terbiar bernama Pale City, yang penuh dengan raksasa menakutkan.
Sudah tentu, saya telah cuba Little Nightmares 2 dan selepas bermain beberapa jam dengannya, inilah ulasan penuh saya. Harap maklum, ulasan ini adalah tentang pengalaman saya. Jika anda ingin tahu tentang sistem permainan dan lain-lain, sila rujuk ulasan lama kami di sini. Tanpa melengahkan masa, mari kita mulakan!
Naratif yang samar-samar tetapi kreatif
Sama seperti pendahulunya, Little Nightmares 2 adalah platformer 2.5D di mana kita bermain sebagai seorang budak lelaki bernama Mono yang harus menghentikan isyarat-isyarat jahat yang keluar daripada televisyen. Itulah matlamat utama kita, tetapi naratif permainan tidak begitu jelas atau “straight-forward” untuk faham. Ia lebih menceritakan pengalaman Mono semasa dia memasuki setiap kawasan baru, dan kemudian bertemu dengan raksasa-raksasa, lalu harus mencari cara untuk melarikan diri tanpa dibunuh.
Sejujurnya, kekurangan dialog dan eksposisi telah menjadikan Little Nightmares 2 jauh lebih imersif. Penceritaan daripada aspek persekitaran sangat bagus di mana semua lokasi penuh dengan objek-objek unik yang membuatkan saya tertanya-tanya apa yang terjadi. Jelas sekali, saya tidak akan mendapat jawapan dengan mudah tetapi itulah yang seronok tentang game ini apabila saya bermain.
Dunia makin besar, cabaran makin sukar, tapi kita tidak keseorangan
Gameplay-nya tidak asing bagi sesiapa sahaja yang bermain game pertama. Kita akan banyak berlari, melompat, bersembunyi, dan berinteraksi dengan objek. Di antara bahagian-bahagian ini adalah adegan “stealth” dan “puzzle” yang harus diselesaikan.
Satu perkara yang berbeza adalah Little Nightmares 2 mempunyai sistem pertempuran. Ada saat-saat di mana kita kena mengambil kayu, kapak, batang besi, dan sebagainya untuk menghancurkan pintu atau melawan raksasa-raksasa yang kecil. Sistem pertempuran tidak melibatkan kombo-kombo yang rumit, tetapi ia menarik untuk melihat kita mampu mempertahankan diri.
Dunia pun makin besar dan ada banyak perkara yang perlu dilakukan seperti teka-teki dan cabaran. Oleh itu, ia agak susah kalau hanya kita seorang sahaja. Seperti yang dinyatakan sebelum ini dalam ulasan-ulasan lama, Little Nightmares 2 telah memperkenalkan dua watak. Kita akan bermain sebagai Mono (protagonis kali ini) dan kemudian akan bertemu dengan Six (protagonis game pertama). Apakah kaitan Six dalam sekuel? Itu masih menjadi misteri tetapi anda semua akan tahu bila bermain game ini sampai habis.
Six tidak boleh dikawal, tetapi akan ikut dan bekerjasama dengan Mono untuk menyelesaikan teka-teki yang lebih rumit. Six dapat membantu Mono memanjat kawasan yang lebih tinggi, membuka pintu yang berat, menolak atau menarik barang yang berat, menangkap Mono sebelum dia jatuh, dan lain-lain. Kita boleh memanggil Six jika ada apa-apa masalah, tetapi saya tidak pernah mengalami sebarang masalah. Six sentiasa tahu untuk gerak ke mana, bila untuk gerak, dan tidak pernah menjadi masalah.
Semuanya berjalan dengan lancar baik, kecuali perspektif kamera 2.5D semasa saya sedang memanjat. Ia agak susah untuk melihat bahagian yang kita sedang memanjat dan menjadi lebih susah apabila saya harus melompat ke kawasan lain. Ia bukanlah satu isu yang besar tetapi telah menyebabkan banyak kematian yang tidak perlu.
Pengalaman melarikan diri daripada raksasa-raksasa gila
Beberapa musuh baru dalam sekuel ini termasuk “the Hunter” di “The Wilderness“, yang menggunakan perangkap dan senapang untuk membunuh mangsanya, “the Teacher” yang memiliki abiliti luar biasa untuk memanjangkan lehernya, “the Doctor” dan askar-askar bonekanya di “Hospital“, dan lain-lain. Saya hanya akan menceritakan tiga raksasa ini dahulu. Nak tahu yang lain? Korang kena main lah game ini.
Semasa menjelajahi “the Wilderness“, Mono mendapat tahu bahawa kawasan itu penuh dengan perangkap yang dimiliki oleh “the Hunter“. The Hunter membawa sebuah senapang patah untuk menembak dan lantera untuk mencari mangsa dalam gelap. Jika dikesan, dia akan cuba untuk menembak Mono dan Six. Sekiranya kita berdiri di tempat yang terbuka dengan terlalu lama, tembakan ini sudah tentu akan membunuh kita. Untuk mengelak perkara ini dari terjadi, kita boleh bersembunyi di sebalik kotak-kotak yang berterabur di sekeliling.
Selepas itu, adegan akan beralih kepada level kedua iaitu “the School” yang dihuni oleh “the Teacher“. The Teacher mempunyai abiliti luar biasa untuk memanjangkan lehernya bagi melihat kawasan yang jauh dari jangkauan. Sekiranya Mono membuat bising, the Teacher akan serta merta tahu dan menyiasat punca bising itu. Sekiranya Mono dikesan, the Teacher akan menyuruh kuncu-kuncunya bernama “Bullies” untuk mengejar kita.
“Bullies” juga akan memasang pelbagai perangkap di sekitar kawasan, yang boleh dikenal pasti oleh papan lantai yang longgar. Untuk mempertahankan diri, Mono dapat menggunakan objek untuk menghancurkan kepala “Bullies“. Namun, untuk melakukan aksi ini, kita harus menyerang pada jarak yang dekat dan tepat.
Selepas mengalahkan the Teacher, Mono dan Six akan melawat the Hospital yang dihuni oleh “the Doctor“. Walaupun nampak gemuk dan besar, the Doctor dapat merangkak ke siling, lalu menggunakan kelebihan ini untuk menangkap Mono dan Six. The Doctor juga dapat mengangkat apa-apa jenis objek yang digunakan oleh Mono untuk bersembunyi; contohnya meja, jadi ia tidak mudah untuk melepaskan diri daripada cengkaman the Doctor.
Di bawah pengaruh the Doctor adalah “Patients” dan “Living Hands“. Patients merupakan sisa-sisa manusia yang dicantumkan dengan manekin kayu yang akan mengejar Mono dan Six, tetapi hanya dalam gelap. Sekiranya Mono memancarkan lampu suluh ke arah mereka, Patients akan membeku dan tidak boleh bergerak.
Living Hands pula ialah sejenis musuh kecil; dan mungkin adalah tangan pesakit yang masih hidup. Kebanyakan kali saya bertemu Living Hands, mesti ada senjata berhampiran yang kita dapat guna, seperti tukul atau paip besi. Bagi Living Hands, kita mesti memukulnya sebanyak tiga kali sehingga ia “kiok” macam labah-labah.
Untuk saya, setiap kawasan penuh dengan perangkap yang memang tidak dijangka. Awalnya, saya fikir game ini tidak adil kerana semua perangkap akan datang pada waktu kita memang tidak bersedia dan pada arah yang mengejutkan. Walau bagaimanapun, Little Nightmares 2 adalah game yang menuntut perhatian pemain 100% kerana petunjuk-petunjuk di alam sekitar akan memberi amaran tentang bahaya yang menimpa di depan.
Kalau anda mati dengan kerap pun, jangan sedih atau kecewa. Apabila kita mati, game akan “load” ke “checkpoint” terakhir dengan pantas dan checkpoint ini pun tidak jauh dari tempat kita mati; jadi jangan pernah putus asa! Walaupun di PS4, load time masih laju dan ini adalah satu ciri yang penting memandangkan kita akan mati banyak kali.
Pendapat
Walaupun semua musuh di Little Nightmares pertama cukup menakutkan, ia amat berbeza dengan musuh yang kita lihat di Little Nightmares 2. Mereka menambah dimensi baru pada suasana permainan yang saya tidak melihat pada game pertama.
Setiap musuh direka dengan idea yang pelik dan psiko, dan kuncu-kuncu mereka pun terjadi begitu disebabkan pengaruh dan kejahatan mereka, misalnya the Doctor yang membedah pesakitnya. Ia memberi konsep baru dalam jalan cerita kerana kita dapat melihat apa yang mereka mampu buat kepada kita.
Daripada segi visual, game ini memang memukau mata dan saya pun ada puji bahagian ini di ulasan lama. Kali ini, saya akan lebih memuji muzik dan reka bentuk bunyi dalam permainan. Muzik di latar belakang berfungsi dengan baik untuk menimbulkan ketakutan dan membuat saya sentiasa gelisah.
Kemudian, lagu piano yang halus akan muncul entah dari mana untuk membuatkan adegan menjadi lebih seram. Setiap bunyi akan meningkatkan “tension” dalam permainan dan sentiasa membuat saya takut untuk maju ke bilik seterusnya.
Semua elemen-elemen ini membolehkan kita merasa aspek seram dalam Little Nightmares 2, dan melalui pengalaman ini, saya tidak sabar untuk melihat apa yang bakal menanti saya pada penghujung permainan. Sekiranya ia dapat kekalkan momentum ini, Little Nightmares 2 mungkin adalah salah satu game platformer paling menakutkan pada tahun ini.
Sebagai sekuel yang bombastik, saya tahu ramai yang ingin tahu bagaimana game pertama boleh berkait dengan Little Nightmares 2.. Mudah je untuk kita tahu; korang hanya perlu bermain Little Nightmares 2 apabila ia keluar pada 11 Februari di Nintendo Switch, PlayStation 4, PlayStation 5, Windows PC, Xbox One, dan Xbox Series X.
Bagi mereka yang berminat atau tidak yakin, korang boleh mencuba demo percuma sekarang. ini adalah kaedah yang paling bagus untuk merasa gameplay & naratif sebelum membuat pembelian. Itu sahaja untuk ulasan ini, sehingga kita berjumpa lagi. Selamat ber-gaming!
@gamersantaimy
The Review
Little Nightmares II
Semua elemen-elemen ini membolehkan kita merasa aspek seram dalam Little Nightmares 2, dan melalui pengalaman ini, saya tidak sabar untuk melihat apa yang bakal menanti saya pada penghujung permainan.
Discussion about this post