Taipei Game Show baru sahaja tamat pada hujung minggu lepas di mana Elden Ring membuat kemunculan sebagai pengumuman terakhir bagi acara digital tersebut. Produser Yasuhiro Kitao bercakap selama 40 minit tentang game akan datang itu dan mendedahkan bahawa Elden Ring bukan sahaja sudah cecah status “gold” , malah ia juga akan mengambil masa kira-kira 30 jam untuk tamatkan kempen utama.
“Ini amat berbeza mengikut pemain. Tetapi dari segi sasaran yang ditetapkan semasa pembangunan, ideanya adalah jalan cerita utama sepatutnya dapat ditamatkan dalam masa kira-kira 30 jam. Game secara keseluruhan agak besar, dan mengandungi berpuluh-puluh jam lagi gameplay, tetapi jika kita bercakap tentang jalan cerita utama sahaja, ia tidak sepatutnya mengambil masa lebih lama daripada itu.”
Kata Yasuhiro Kitao.

Buat sesiapa yang pernah bermain game Souls seperti Dark Souls, Demon Souls, Nioh, Sekiro dan sebagainya, janganlah percaya anggaran 30 jam itu sangat. Game seperti ini memang amat terkenal dengan tahap kesukarannya yang brutal, jadi tempoh 30 jam itu pasti akan bertambah setiap kali kita mati.
Pada masa yang sama, Kitao juga mendedahkan bahawa Elden Ring tidak sama seperti Dark Souls dari segi kesusahan, jadi pemain tidak seharusnya takut dengan Elden Ring.
“Ini adalah judul yang sesuai untuk mereka yang pernah meminati game kami pada masa lalu, tetapi tidak pernah cuba kerana bimbang game-nya terlalu sukar,”
kata Kitao.

Walaupun game ini boleh di tamatkan dalam masa 30 jam, Kitao berkata bahawa tiada siapa dapat mengalami Elden Ring 100% dalam satu playthrough kerana sistem kesimpulan yang bentuk bercabang. Walau bagaimanapun, New Game Plus membolehkan pemain mengalami kempen utama sekali lagi menggunakan watak yang sama (sambil mengekalkan semua skil dan peralatan) supaya anda boleh mencuba kesimpulan yang berbeza buat playthrough kedua.
Elden Ring akan keluar pada 25 Februari 2022 untuk platform PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series X & Series S, dan Microsoft Windows. Baca preview kami di SINI.

@gamersantaimy
Discussion about this post