Syarikat-syarikat asing yang mengendalikan perkhidmatan digital seperti Netflix dan Spotify perlu membayar kadar cukai sebanyak 6% kepada kerajaan Malaysia selepas peruntukan Undang-Undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2019 telah diluluskan hari ini.

Menurut laporan Malay Mail, kerajaan bercadang untuk mengenakan cukai perkhidmatan digital sebanyak enam peratus itu kepada penyedia perkhidmatan digital asing mulai 1 Januari 2020, menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah. Beliau menambah:
“Contoh perkhidmatan digital termasuk muzik dalam talian dan langganan dalam talian, langganan e-book, penggunaan platform e-pasaran, langganan berasaskan pengkomputeran awan, dan pembelian perisian komputer dalam talian.”
Katanya lagi, kadar itu dianggap paling rendah berbanding kadar yang dikenakan di beberapa buah negara lain. Beliau juga berkata yang kerajaan mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang walaupun pembekal perkhidmatan digital berada di negara lain kerana terdapat kerjasama antara pemerintah-negara-negara (GTG) di antara negara-negara yang terlibat dalam Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).
Cukai digital ini pernah diumumkan pada pembentangan Bajet 2019 tahun lepas, walaupun kadar cukai yang tetap tidak lagi didedahkan pada masa itu. Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, cukai perkhidmatan akan dikenakan ke atas “perkhidmatan dalam talian yang diimport oleh pengguna” seperti Netflix, Spotify, Steam, serta perisian lain seperti muzik, video, atau sebarang pengiklanan digital.
Walaupun masih belum jelas sama ada cukai itu akan menjejaskan pengguna Malaysia, kita hanya boleh berharap agar harganya tidak ditingkatkan ataupun kalau naik, ianya tidak terlalu banyak, kerana kita hanya rakyat marhaen yang mahukan suatu hiburan. Sudah tentu kalau mereka dikenakan cukai, kebarangkalian harga asal juga akan naik. Apa-apa pun, nikmatilah harga asal sebelum 1 Januari tahun hadapan!
@gamersantaimy
Discussion about this post