Selepas lebih sedekad menyepi, siri Shinobi kembali dengan penuh bergaya menerusi SHINOBI: Art of Vengeance — sebuah game aksi 2D side-scrolling yang bijak menggabungkan elemen nostalgia dengan pembaharuan berani.
Dalam satu temu bual, Toru Ohara (Penerbit) dan Takaharu Terada (Pengarah Kanan) berkongsi tentang inspirasi di sebalik usaha menghidupkan semula francais ninja ikonik ini, cabaran dalam memodenkan karya klasik, serta ciri-ciri istimewa yang menjadikan entri terbaru ini begitu menonjol.

Dari gaya seni “Neo2D” yang unik hingga ke mekanik gameplay yang mencabar namun memuaskan, Ohara dan Terada mendedahkan bagaimana Art of Vengeance kekal setia kepada legasi Shinobi sambil menarik minat generasi pemain baharu untuk menyelami dunia seorang shinobi.
Dari Inisiatif SEGA ke Campur Tangan Lizardcube
Kebangkitan semula Shinobi bermula sebagai sebahagian daripada inisiatif lebih besar oleh SEGA untuk menghidupkan kembali harta intelek klasik mereka — satu langkah yang mereka anggap sebagai pemangkin utama.
“SEGA, secara keseluruhan, sedang mengadakan gerakan untuk menghidupkan semula IP terdahulu. Itu sebahagian daripada jawapannya.” Namun, benih sebenar bagi Art of Vengeance mula bercambah melalui kerjasama dengan Lizardcube, studio yang dikenali menerusi kejayaan Streets of Rage 4.
Ohara mengiktiraf peranan penting mereka: “Ada juga Lizardcube yang telah mencipta Streets of Rage 4 dan mereka juga memulakan perbincangan tentang mencipta Shinobi sekali lagi, jadi itu juga bahagian penting bagaimana projek ini tercipta.”

Pilihan untuk kembali kepada format side-scrolling pula bukan semata-mata disebabkan sentimen nostalgia. Sebaliknya, ia adalah langkah strategik yang selari dengan kebangkitan semula genre game 2D dalam kalangan pemain moden.
“Kami banyak berfikir tentang bagaimana menjadikan game 2D menarik untuk orang ramai pada zaman moden… Game 2D nampaknya sedang mengalami kebangkitan dalam dunia gaming, terutamanya dalam game indie, dan kami fikir ini mungkin memberi kesan besar dalam dunia tersebut.”
Pengalaman dan kemahiran Lizardcube dalam membangunkan game 2D menjadikan mereka rakan kerjasama yang tepat. “Yang paling penting ialah kami bekerjasama dengan Lizardcube, yang menghasilkan gaya seni 2D yang indah dan sangat mahir dalam mencipta game seni 2D,” ujar mereka.

Elemen utama yang membentuk identiti Art of Vengeance adalah gaya seni “Neo2D” — istilah yang direka untuk menggambarkan gabungan kreatif antara elemen 2D dan 3D. Visi ini datang daripada Lizardcube sendiri:
“Ia sebahagian besar idea Lizardcube, dan Neo2D hanyalah istilah yang kami cipta… mereka tidak mahu sekadar 2D asas, jadi mereka mahu lebih banyak elemen dalam seni tersebut.” Pendekatan visual ini menuntut ketelitian tinggi, dengan setiap gerakan dan latar belakang dilukis secara manual, bingkai demi bingkai.
Mereka mengakui betapa beratnya usaha tersebut: “Apabila anda berfikir tentang mencipta game aksi 2D side-scrolling, anda mungkin fikir ia akan jauh lebih murah… Tetapi Art of Vengeance telah dilukis secara manual, keseluruhan gaya seni telah dilukis bingkai demi bingkai, jadi banyak kerja telah dilakukan.”
Usaha luar biasa ini bukan sahaja menjadikan game ini unik, malah berpotensi menetapkan standard baru bagi genre platformer 2D. “Visual, keindahan visual mungkin menjadi platform lain untuk game platform 2D melonjak.” Namun begitu, mereka juga mengakui cabaran untuk menandingi tahap ketukangan tersebut:
“Saya rasa sangat sukar untuk meniru jenis game ini, kerana banyak sekali kerja yang telah dilakukan.”
Cabaran Klasik dengan Rasa Moden
Siri Shinobi sememangnya terkenal dengan tahap kesukaran yang tinggi, satu identiti yang terus dikekalkan dalam Art of Vengeance.
“Shinobi dikenali sebagai game yang sangat sukar dimainkan, jadi pemain terdahulu yang pernah memainkan ansuran sebelumnya, jika mereka bermain dan game ini terlalu mudah, mereka akan kecewa. Jadi game ini sukar.”
Namun begitu, pasukan pembangunan sedar bahawa aksesibiliti juga penting dalam era moden. Untuk itu, mereka telah menyediakan pilihan tahap kesukaran yang boleh diubah pada bila-bila masa.
“Kami ada pilihan untuk menukar tahap kesukaran. Jadi anda boleh menukar kesukaran pada bila-bila masa dalam menu game,” jelas mereka, dengan harapan pemain dari semua peringkat kemahiran boleh menikmati cabaran mengikut keselesaan sendiri.
Bagi mereka yang baru berjinak-jinak, mereka mencadangkan supaya bermula dengan tetapan lalai: “Apa yang saya ingin cadangkan ialah main pada tetapan kesukaran lalai dan lihat sejauh mana anda boleh pergi.”

Ohara sendiri mengakui bahawa dia bukanlah pemain aksi yang mahir, tetapi menekankan betapa menyeronokkannya proses pembelajaran dalam game ini.
“Saya sendiri, Ohara-san, bukan pemain game aksi yang sangat mahir. Walau bagaimanapun, semasa bermain game ini, saya perasan saya semakin mahir dengan kawalan, dan saya rasa saya semakin lancar dalam aksi game.”
Beliau berharap pemain turut merasai perkembangan yang sama sepanjang bermain. “Saya ingin pemain juga merasakan rasa semakin mahir sepanjang game, dan merasa semakin berkuasa.”

Sistem combat dalam Art of Vengeance turut mengalami pengembangan yang ketara, memperkenalkan hierarki teknik ninja yang kompleks.
“Secara umum, keseluruhan Ninjutsu dan pertempuran telah menjadi lebih kompleks dalam game ini… Ninjutsu adalah gerakan paling besar dan kuat. Dan kemudian, di bawah itu ialah Ninpo, yang merupakan gerakan kuat seterusnya.”
Di samping itu, pemain juga boleh memperoleh serangan seperti Kunai dan Shuriken melalui sistem kedai, memperkayakan variasi taktikal. Tidak seperti game 2D tradisional di mana teknik baru menggantikan yang lama, di sini semua teknik yang diperoleh akan kekal bersama pemain.
“Anda hanya mendapat lebih banyak gerakan sepanjang perjalanan. Jadi anda tidak kehilangan sebarang gerakan. Dan dengan itu, anda boleh membuat kombo baru, banyak kombo baru,” kata Terada, menjelaskan bahawa sistem ini memberi pengalaman seperti fighting game.
“Pada mulanya, ia mungkin terasa seperti game aksi biasa. Tetapi sepanjang perjalanan, ia semakin terasa seperti fighting game, seakan-akan hibrid.”

Ketika ditanya tentang ketidakupayaan untuk menyesuaikan set gerakan, mereka menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat bagi mengekalkan kelancaran dan kesinambungan aksi. “Kami mereka game ini supaya selancarmungkin supaya orang boleh memasukkan pelbagai kombinasi,” katanya.
Tanpa keperluan untuk kombo yang rumit, pemain bebas mencipta gaya pertempuran mereka sendiri. “Anda boleh menekan butang berbeza pada masa yang berbeza, dan anda boleh melancarkan musuh ke udara, dan kemudian anda boleh meneruskan kombo dari musuh yang terbang.”
Setiap teknik dirangka untuk berfungsi dalam situasi tertentu, mendorong pemain untuk menyesuaikan strategi mereka mengikut keperluan.
“Setiap gerakan mempunyai tujuannya sendiri… ada musuh dan halangan berbeza yang anda perlu atasi dengan set gerakan tertentu,” jelas mereka, menegaskan bahawa keseimbangan gameplay akan terjejas jika pemain dibenarkan menukar gerakan sesuka hati.
Dendam, Legenda, dan Dunia Luar

Naratif utama Art of Vengeance berakar pada tema dendam, satu motif klasik yang membentuk perjalanan Joe Musashi sebagai seorang shinobi. Pasukan pembangunan mengulas, “Musashi adalah shinobi, jadi dendam adalah salah satu tugasnya. Itu sesuatu yang perlu dilakukannya.”
Namun, mereka tidak memberi takrifan langsung tentang maksud dendam, sebaliknya membiarkan pemain menghayatinya sendiri sepanjang pengalaman bermain. “Secara umum, saya tidak boleh menjawab apa itu dendam, tetapi melalui bermain game ini, anda mungkin akan menyedarinya.”

Sejak dari awal, siri Shinobi dikenali kerana pendekatannya yang unik, menggabungkan aksi ninja tradisional dengan elemen-elemen moden dan fantasi yang tidak dijangka. Art of Vengeance meneruskan warisan ini tanpa ragu-ragu, termasuk pelbagai elemen luar biasa seperti kaiju dan helikopter ke dalam game.
Mereka menjelaskan, “Siri Shinobi telah melakukan itu sejak dahulu… Musashi dalam ansuran sebelumnya telah melawan tentera.” Watak utama, Joe Musashi, digambarkan sebagai lebih daripada sekadar ninja biasa — dia adalah simbol kekuatan luar biasa yang melampaui batas realiti.
“Joe Musashi sangat kuat jadi ninja secara umumnya seperti figura legenda… dia melompat dari helikopter dengan papan luncur dan ya, segalanya hanya mengatasi imaginasi anda,” kata mereka, membuktikan bahawa Art of Vengeance bukan sekadar menghidupkan semula Shinobi, tetapi juga meraikan kreativiti yang menjadikan siri ini begitu ikonik.
Sesuai untuk Pendatang Baru, Hadiah untuk Peminat Lama
Art of Vengeance dibina dengan pendekatan seimbang: mudah diakses oleh pemain baharu, namun penuh ganjaran bagi mereka yang sudah lama mengikuti siri ini.
“Ansuran ini, Art of Vengeance, adalah game yang anda tidak perlu tahu tajuk terdahulu untuk berseronok dengan game ini jadi sesiapa sahaja boleh datang dengan minda yang segar,” jelas mereka, menunjukkan bahawa pengalaman ini direka untuk semua.
Daya tarikan utama jelas terletak pada visual dan gameplay yang menawan, hasil kerja teliti Lizardcube yang memberikan sentuhan artistik yang unik.
“Setiap pergerakan watak dilukis dengan tangan, satu bingkai demi satu bingkai. Bersama dengan grafik latar belakang juga, kami ingin semua orang menikmati gaya seni yang indah,” kata mereka.
Selain itu, mereka menegaskan bahawa game ini bukan hanya cantik secara visual, tetapi juga memuaskan dari segi rentak aksi dan kawalan.
“Ia bukan sekadar game aksi 2D biasa, tetapi ia mempunyai tempo yang sangat baik dan secara keseluruhan adalah game yang sangat memuaskan untuk dimainkan.”

Untuk peminat setia siri Shinobi, terdapat banyak elemen nostalgia yang ditawarkan.
“Jika ada seseorang yang tahu ansuran terdahulu siri ini, ada beberapa anggukan kepada siri terdahulu. Jika anda peminat lama siri Shinobi, anda pasti boleh menikmatinya juga,” tambah mereka, menegaskan bahawa game ini bukan sekadar reboot, tetapi juga satu penghormatan terhadap legasi asalnya.
Dengan itu, Art of Vengeance berfungsi sebagai jambatan — memperkenalkan dunia Shinobi kepada generasi baru sambil menggamit kenangan lama bagi mereka yang sudah mengenali Musashi.

Menutup temu bual, Ohara dan Terada menyampaikan ajakan yang penuh semangat kepada semua pemain: “Ansuran game ini akan menyeronokkan untuk kedua-dua peminat siri ini dan untuk orang baru yang baru diperkenalkan kepada siri ini… Ia pasti akan melebihi jangkaan.”
Mereka mengangkat keunikan dunia game ini — dari kaiju hinggalah ke aksi ninja yang mendebarkan — dan melemparkan satu cabaran terbuka kepada para pemain.
“Ini seperti cabaran dari kami kepada pemain untuk melihat sama ada anda boleh mengalahkan game ini, jadi sila, saya ingin anda semua menyampaikan dendam.”

SHINOBI: Art of Vengeance akan dilancarkan pada 29 Ogos 2025 untuk platform PS4, PS5, Xbox One, Xbox Series X|S, Nintendo Switch, dan PC melalui Steam. Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman web rasmi.
@gamersantaimy
Discussion about this post