Boleh ditonton secara rasmi di Netflix, Rebel Moon adalah filem drama angkasa yang mengisahkan tentang galaksi fiksyen yang diperintah oleh Motherworld. Dengan barisan tenteranya yang digelar Imperium, mereka mengancam koloni pertanian di bulan Veldt. Kora, seorang bekas askar Imperium, berusaha untuk merekrut pahlawan dari seluruh galaksi untuk menentang Imperium.
Sempena tayangan Rebel Moon baru-baru ini, kami berpeluang bercakap dengan bakat-bakat utama filem itu, termasuk pengarahnya Zack Snyder melalui sidang akhbar. Yang menyertai sidang akhbar itu termasuk:
- Zack Snyder (Penulis, Produser, Pengarah)
- Deborah Snyder (Produser)
- Sofia Boutella (Pelakon – Kora)
- Bae Doona (Pelakon – Nemesis)
- Ed Skrein (Pelakon – Admiral Atticus Noble)

Tanpa melengahkan masa, berikut adalah topik yang dibincangkan:
Bagaimana Terciptanya Rebel Moon

Kami tahu Rebel Moon ialah cerita original yang dicipta oleh Zack Snyder, tetapi tidak ramai yang tahu tentang maksud cerita itu dan bagaimana ia dicipta.
Zack menjelaskan bahawa Rebel Moon ialah kisah yang agak “straightforward” tentang sekumpulan petani di planet yang jauh di mana mereka dikunjungi oleh empayar jahat yang mahu petani tersebut membekalkan makanan. Para petani itu kemudian berhadapan dengan pilihan sama ada menyerah atau melawan mereka. Mereka memilih melawan semula lalu membuat keputusan untuk meneroka seluruh galaksi demi merekrut tentera bagi menyertai perjuangan mereka.

“Saya telah mengusahakannya agak lama. Sebagai idea, ia mungkin wujud sejak 1977, sejak saya melihat Star Wars. Saya yang berusia 11 tahun, tahu saya boleh melakukannya. Saya kata saya boleh melakukan sesuatu seperti itu, secara hampir sama.”
Dia meneruskan penjelasan dan kata semasa muda, estetikanya untuk bercerita telah dibentuk oleh filem-filem yang ditonton, iaitu Star Wars dan cintanya terhadap filem.
“Saya masih ingat ibu bapa bawa saya untuk melihat Throne of Blood, dan mereka turunkan saya dan kata, “kenapa kamu nak menonton filem Jepun ini? Saya cuma rasa ia hebat.”

Zack juga kata dia benar-benar terpengaruh dengan sebuah majalah bernama Heavy Metal, yang merupakan majalah fantasi dewasa yang dia mula membaca sebagai seorang kanak-kanak walaupun majalah itu tidak “patut”.
Proses Pembikinan Rebel Moon

Sebagai produser, peminat mungkin ingin tahu bagaimana Deborah (isteri Zack Snyder) mengusahakan alam fiksyen sains Rebel Moon yang unik, dan apakah elemen utama yang difokuskan untuk membuatkan filem ini berbeza dan unik berbanding yang lain?
“Kami sangat teruja untuk mencipta sesuatu yang sepenuhnya original. Itu membuatkannya menjadi begitu mencabar kerana tidak ada apa-apa yang wujud. Semuanya hanya wujud dalam otak Zack. Oleh itu, kami terpaksa memikirkan bagaimana untuk menghidupkannya.”

Deborah menyebut bahawa perkara pertama yang dilakukan oleh pasukan selepas selesainya skrip adalah untuk mengupah sekumpulan artis berbeza untuk menghasilkan seni konsep. Dia kata bahawa Zack akan mengumpul banyak rujukan yang dia temui dalam talian, dan kadangkala ia hanya tekstur, warna, lukisan atau karya seni halus yang memberi inspirasi kepadanya.

“Kami mempunyai begitu banyak seni semasa pembentangan kepada Netflix untuk menunjukkan kepada mereka bagaimana ia akan terhasil. Ia sepadan dengan keseluruhan pentas bunyi dan kami hanya meletakkannya di atas kekuda dan menjelaskan kepada semua orang supaya mereka tahu apa visi itu akan menjadi. Itu sangat membantu kerana itu adalah pelan tindakan kepada segala-galanya.”
Menetapkan Sempadan

Bagi Zack dan Deborah, mereka telah mencipta dunia sendiri dengan Rebel Moon yang nampak cukup luas untuk dikembangkan pada masa hadapan. Walau bagaimanapun, dengan kebebasan kreatif ini, peminat ingin tahu sama ada mereka perlu menetapkan apa-apa sempadan atau peraturan pada karya itu – peraturan yang mereka sendiri tidak melanggar.
Zack membalas bahawa mereka tidak mahu berada dalam senario pada masa depan di mana anda melanggar peraturan yang sudah ditetapkan. Sebagai pencipta, mereka perlu menghadapi peraturan itu dengan berhati-hati seperti membuatnya.

“Kami mencipta segala kisah asal usul Motherworld, kami tahu keseluruhan sejarah dunia lain, walaupun ia tidak dinyatakan dalam filem. Saya telah melakukan semua kerja setakat mitologi yang menceritakan kisah seluruh Motherworld.”
“Saya rasa kerja itu penting kerana semasa melangkah ke hadapan, anda perlu sentiasa bersedia dan merancang. Seperti saya kata, ia sebenarnya masalah jika anda mempunyai perkara-perkara yang difikirkan sebagai batasan tetapi sebenarnya adalah garis panduan yang bagus untuk bantu mencapai tempat yang ingin tuju dan memastikan dunia konsisten.” kata Zack.

Deborah pun masuk ke dalam perbualan dan kata ia agak mencabar kerana ia mempunyai novel, novel grafik, podcast, dan mengambil keenam-enam episod daripada komik. Dengan semua perkara ini dalam tangan, penulis lain akan menyerahkan karya mereka, tetapi Zack kadangkala tidak setuju kerana ia akan mengubah apa yang dia fikirkan pada masa hadapan, jadi mereka perlu berhati-hati tentang kerja yang dilakukan.
Koreografi Lagak Ngeri

Sebagai seorang penari yang mahir, Sofia sentiasa fokus untuk menjelmakan emosi dan psikologi wataknya. Dalam Rebel Moon, Sofia berlakon sebagai Kora yang bersikap heroik dan anti-heroik pada masa yang sama. Kami ingin tahu bagaimana Sofia menggabungkan ciri-ciri itu ke dalam rutin koreografinya.

“Ya, menjadi seorang penari adalah elemen besar dalam hidup saya yang akan sentiasa dan membantu dalam semua perkara yang saya lakukan, terutamanya apabila berkaitan dengan disiplin dan mencipta struktur untuk melaksanakan pergerakan dengan lebih baik.”
“Saya juga melakukan Pilates dan melakukan semua jenis latihan untuk melatih diri. Dan apa yang sangat penting ialah diet untuk memenuhi badan anda, untuk mengekalkan semua ini.”

Sofia juga menyebut tentang satu elemen yang dia takuti iaitu cara memegang pistol. Disebabkan Kora adalah seorang pahlawan dan pejuang sejak dari usia yang begitu muda, Sofia tidak mahu melakukan sebarang kesilapan melibatkan hal itu. Oleh itu, Sofia bekerjasama dengan pasukan lagak ngeri untuk menentukan postur badan yang betul.
“Saya benar-benar ingin tahu bagaimana Kora berlari dan berjalan dengan pistol. Nasib baik, Zack tahu bagaimana untuk melakukannya. Dia akan membetulkan saya. Saya benar-benar mahu diri diperbetulkan, supaya siku tidak terkeluar dan semuanya tepat.”
Nemesis Asal Korea?

Berlakon sebagai watak Nemesis, orang mungkin tertanya-tanya sama ada Doona telah menggabungkan asal-usulnya sebagai warga Korea semasa mengembangkan persona wataknya.
Doona menyebut bahawa dia tidak pernah bermaksud atau cuba untuk memasukkan budaya Korea ke dalam watak Nemesis. Tetapi apabila orang menonton filem itu, mereka mungkin berfikir bahawa Nemesis adalah orang Korea kerana pakaiannya.

“Sebenarnya, kostumnya sangat dipengaruhi oleh gaun tradisional Korea. Topi itu ialah topi yang sangat terkenal. Anda mungkin pernah menonton Kingdom, ia dipanggil gat dalam bahasa Korea dan sebenarnya ia hanya untuk lelaki pada zaman dahulu. Saya sangat teruja untuk memakai ini kerana anda tidak dibenarkan memakainya jika anda seorang gadis pada zaman dahulu. ”

Doona meneruskan penjelasan dengan mengatakan bukan dia yang mencadangkan idea itu, tetapi ketua jabatan kostum, Stephanie. Apabila Doona masuk ke dalam bilik untuk memakai kostum buat kali pertama, topi itu sudah berada di dalam bilik.
Kisah Underdog

Tema “underdog” sering menjadi elemen utama dalam filem Zack Snyder. Sebagai penjahat kejam Atticus Noble, peminat mungkin tertanya apa yang Ed lakukan untuk memberi impak kepada kisah underdog tersebut.

“Rebel Moon benar-benar adalah cerita underdog. Kami bercakap tentang petani dan beberapa orang yang sesat dari militari sedang menentang tentera besar dengan teknologi yang tidak dapat dibayangkan. Ia pertempuran yang sangat berat sebelah. Anda tidak boleh mempunyai kisah underdog tanpa [elemen] bahaya, tanpa ancaman. Apabila anda membuat persediaan untuk watak, apabila anda menganalisis skrip, itu adalah sangat penting.

Ed juga menyebut bahawa watak tidak boleh wujud secara berasingan, dan setiap watak muncul atas sebab untuk “menimbulkan atau menambah baik” sesuatu dalam plot. Bagi Atticus Noble, dia wujud untuk memberikan ancaman kepada mereka yang tidak diingini, jadi amat jelas kepada Ed – inilah ciri yang dia perlu sediakan daripada awal.
Pengaruh Anime Dan Manga

Zack mempunyai pemahaman dan cinta yang mendalam terhadap budaya anime dan manga Jepun, di mana dia menyebut Akira sebagai salah satu karya kegemarannya. Baru-baru ini dia menonton Demon Slayer, jadi kami ingin tahu sama ada terdapat sebarang pengaruh daripada karya Jepun yang ditambah dalam filem itu.

“Saya boleh katakan, terdapat banyak pertarungan pedang dalam filem itu. Ada banyak, malah banyak aksi yang telah saya lakukan dalam semua filem lain yang mungkin telah dipengaruhi dalam pelbagai cara termasuk Man of Steel. Apabila melakukan jelajah Man of Steel, kami bercakap tentang One-Punch Man dan sebagainya. Saya rasa aksi anime sangat spesifik dan hebat dan khususnya, sangat jelas. Saya rasa ia muncul sedikit di sana sini dalam karya [saya].”
Selain daripada apa yang dia katakan, Zack menyebut tentang tekstur dan jenis estetik juga adalah pengaruh utama yang sangat kuat.
Reaksi Menonton Produk Akhir

Akhir sekali, kami bertanya kepada pelakon apakah reaksi mereka ketika pertama kali menonton filem Rebel Moon secara keseluruhan, serta perasaan mereka berinteraksi dengan peminat semasa jelajah Sao Paulo.
“Saya sentiasa rasa, membuat filem adalah seperti lumba lari, di mana kami berlari pada pusingan pertama. Pra-produksi adalah pusingan pertama dan kemudian mereka menyerahkan baton kepada kami dan kami meletakkan segala-galanya ke dalam 100 meter atau 100 batu terakhir untuk Rebel Moon. Anda bekerja keras untuk bahagian itu.” kata Ed.

Malah, Ed meluahkan perasaan dia mendalami watak dan naratif, sehingga cerita itu menjadi sangat intim dengan seluruh pelakon dan kru.
“Zack berlari setiap kaki dengan kami. Dia seperti penentu rentak dalam marathon yang berlari bersama kami. Ia menarik untuk melihat projek itu di luar, pergi ke Sao Paulo dan melihat keseronokan orang Brazil, keseronokan orang Brazil di Comic Con, untuk merasai pengalaman tayangan perdana di London.” Ed menyambung.

Doona pula kata dia melihat filem itu di Korea, dan kagum dengan hasil filem itu, terutamanya dengan CGI.
“Saya tidak sabar untuk membawa semua orang menontonnya. Saya sebenarnya menyukai treler itu. Saya tonton adegan pertarungan saya, walaupun dalam trailer, dan terkejut. Adakah itu yang saya lakukan? Tidak. Sebenarnya, Zack suka melakukan sesuatu pada produksi kerana ia nampak sangat bagus. Jadi saya tidak sabar untuk semua orang menontonnya dan beri reaksi seperti saya. Malangnya, saya tidak dapat ke Brazil, tetapi harap dapat berada di sana untuk melihat reaksi peminat.”

Sofia berkongsi dia terlibat dalam penggambaran selama 153 hari dan melihat barisan pelakonnya mengasyikkan diri dalam ruang mereka, orang yang bekerja dengan mereka, dan terutamanya watak yang mereka lakonkan. Melihat hasil akhirnya amat memukau dan ajaib baginya.
“Saya telah kata, tetapi tidak tahu sama pernah beritahu – kita tidak jangka sama sekali rupa langit itu. Langitnya macam – wow. Mereka menyambung, “jangan lupa, bulan ada di sana.” Akhirnya saya dapat melihatnya dalam filem. Jadi, ia sangat menggembirakan untuk melihat apa yang telah kami usahakan untuk sekian lama dan bekerja keras. Ia bagus untuk melihat reaksi pertama di Brazil, kami dapat melihat penonton sejurus selepas tayangan dan rasanya se[erto di konsert. Ia luar biasa.”

Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Zack Snyder, Deborah Snyder, Sofia Boutella, Bae Donna dan Ed Skrein kerana sudi meluangkan masa untuk menjawab soalan kami. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Netflix kerana memberi peluang ini.
Rebel Moon kini tersedia di Netflix, manakala sekuelnya Rebel Moon – Part 2: The Scargiver akan dikeluarkan pada 19 April 2024.
Dapatkan segala berita kami tentang Rebel Moon di SINI!
@gamersantaimy
Discussion about this post