Honor of Kings Invitational S3 Semi-Final secara rasmi telah tamat, dengan Nova Esports (wakil kita dari Malaysia) dan Nongshim RedForce (Korea Selatan) bakal bertarung merebut gelaran juara pada 1 Mac 2025.
Grand Final ini akan berlangsung di SM City North EDSA, Manila, Filipina, menandakan klimaks kepada kejohanan yang menampilkan bakat terbaik dalam dunia mobile MOBA.
Bermula dari 21 Februari hingga 1 Mac 2025, Honor of Kings Invitational S3 merupakan salah satu acara esports terbesar bagi game MOBA popular ini.
Dengan jumlah hadiah $300,000, kejohanan ini menghimpunkan 12 pasukan dari pelbagai rantau melalui kelayakan global, termasuk pasukan terbaik dari Malaysia, Filipina, Indonesia, dan Eropah. Musim ini juga menjadi kali pertama kejohanan ini dianjurkan di Manila, Filipina.
Rumusan Semi-Finals
Nova Esports (Malaysia) 4-3 Team Vitality (Itali)
Dalam perlawanan paling mendebarkan kejohanan ini, Nova Esports berjaya melakukan “comeback” luar biasa selepas ketinggalan 1-3, sebelum mencatat kemenangan 4-3 ke atas Team Vitality.
Nova Esports memulakan aksi dengan baik, menguasai perlawanan pertama menerusi koordinasi pasukan yang mantap. Namun, Team Vitality pantas menyesuaikan strategi mereka, memenangi tiga perlawanan berturut-turut untuk berada di kedudukan match point.
Berdepan risiko tersingkir, Nova Esports menunjukkan daya ketahanan luar biasa, bangkit dengan dua kemenangan berturut-turut untuk memaksa perlawanan penentuan. Dengan kedudukan terikat, peraturan Ultimate Battle digunakan, di mana tiada sekatan larangan hero atau global BP, menjadikan pemilihan strategi lebih kritikal.
Kedua-dua pasukan memilih Dharma (Clash Lane), Augran (Jungle), Arli (Farm Lane), dan Dyadia (Support). Nova Esports memilih Mai Shiranui untuk Mid Lane, manakala Team Vitality memilih YiXing. Nova Esports mempamerkan keunggulan dalam pertempuran, memastikan kemenangan akhir mereka dengan penuh dramatik.
Nongshim RedForce (Korea Selatan) 4-3 Blacklist International (Filipina)
Separuh akhir kedua menyaksikan Nongshim RedForce menewaskan Blacklist International dengan kemenangan 4-3, sekali gus menggagalkan impian pasukan tuan rumah untuk mara ke Grand Final.
Blacklist International bermula dengan 3-0, mendominasi perlawanan awal dengan penuh keyakinan.
Namun, Nongshim RedForce tidak berputus asa dan berjaya melakukan comeback hebat, memenangi empat perlawanan berturut-turut untuk mengubah kedudukan dan menamatkan perlawanan dengan kemenangan 4-3, turut menerusi Ultimate Battle.
Grand Final: Nova Esports vs. Nongshim RedForce
Selepas kedua-dua pasukan melalui pertarungan tujuh perlawanan yang sengit di Semi-Final, Grand Final dijangka menjadi satu pertarungan yang penuh aksi. Nova Esports dan Nongshim RedForce akan berentap dalam Grand Final format best-of-seven, di mana hanya satu pasukan akan dinobatkan sebagai juara Honor of Kings Invitational S3.
Adakah Nova Esports akan membawa pulang kejuaraan ke Malaysia, atau Nongshim RedForce akan meneruskan dominasi mereka? 1 Mac 2025 bakal menjadi saksi kepada pertarungan epik ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post