Mufti pada hari ini telah memutuskan hukum haram untuk perkara seperti menikam item atau kata lain gacha dalam permainan video seperti PUBG, Mobile Legends dan permainan lain yang mempunyai sistem yang sama. Berikut adalah apa yang dibalas oleh Mufti mengenai pertanyaan mengenai hukum menikam item dalam permainan:
“Hukum melakukan proses tikaman dengan cara membuka peti-peti (crates) menggunakan duit UC yang dibeli dengan wang ringgit adalah haram kerana mempunyai unsur perjudian yang dilarang dalam agama kerana mempunyai elemen zero-sum game; iaitu bergantung kepada nasib (luck) semata-mata. Di samping itu, menafikan hak pembeli untuk membeli apa yang dihajati.
Walau bagaimanapun, pengharaman dikhususkan sekiranya pemain membeli UC untuk menikam barang-barang tersebut. Adapun, UC digunakan untuk membeli barang secara terus tanpa berlaku proses tikaman, hukumnya adalah harus seperti pembelian melalui duit Silver dan sebagainya.”
Sumber: Mufti Wilayah

Anda boleh membaca lebih lanjut mengenai huraian yang dikeluarkan Mufti di laman web rasmi mereka. Apa yang dihuraikan oleh Mufti sangat baik dan jelas untuk semua orang terutamanya pemain. Mereka telah menyelidik tentang permainan tersebut sebelum mengeluarkan hukum mengenai perkara ini. Dengan menggunakan PUBG sebagai contoh, ia menghuraikan secara ringkas mengenai kedai, pas elite dan mata wang yang tersedia dalam permainan tersebut.
Jadi, senang cerita, jika anda menggunakan wang sebenar untuk menikam item, senjata atau benda-banda lain yang memerlukan anda bergantung pada nasib hukumnya haram. Tidak kiralah permainan mobile, PC dan konsol, jika ia mempunyai elemen seperti ini, anda mesti elakkan untuk menikam menggunakan wang sebenar.

Tetapi, jika anda membeli item menggunakan wang sebenar tanpa unsur menikam, hukumnya adalah harus. Ini kerana anda telah mengetahui item apa yang anda akan dapat dan ia tidak mempunyai unsur judi atau bergantung kepada nasib. Jadi jangan risau jika anda ingin membeli item-item yang anda sukai dalam permainan.
Pada catatan di halaman Facebook Mufti Wilayah, MasterRamen ada meninggalkan komen mengenai perkara ini dan telah mengutarakannya kepada pihak PUBG. Dia juga berharap agar akan ada perubahan dalam sistem permainan itu selepas ini. Selain itu, seorang lagi streamer terkenal, Chiko turut meninggalkan komen mengucapkan terima kasih kerana mengingatkannya mengenai perkara tersebut.

Keputusan yang dilakukan oleh Mufti sangat bagus dan membantu untuk mengurangkan kegiatan ini. Lebih-lebih lagi, banyak permainan yang mempunyai sistem menikam dan ramai yang sanggup berhutang kerana sistem ini. Harap perkongsian kali ini bermakna untuk kita semua. Jika anda ingin membaca liputan lain dari kami, anda boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post