Sempena musim Halloween, Warner Bros. Pictures telah mengeluarkan imej pertama bagi filem seram terbaru dalam francais, Evil Dead Rise! Filem ini ditulis dan diarahkan oleh Lee Cronin manakala pengasas francais Sam Raimi dan Bruce Campbell berperanan sebagai penerbit eksekutif dan Rob Tapert sebagai produser.
Berikut adalah gambar yang dimuat naik (melalui Twitter rasmi WB):

Walaupun diusik banyak kali oleh pelakon dan ahli krew produksi, ini adalah kali pertama kita dapat melihat visual jelas untuk filem Evil Dead Rise. Malangnya, maklumat khusus tentang filem tidak didedahkan di mana kita hanya tahu tentang plot dan latar belakang asas sahaja.
Menurut sinopsis:
“Dalam filem ke-5 Evil Dead, Beth melawat kakaknya Ellie, yang membesarkan tiga anak seorang diri di sebuah pangsapuri L.A. yang sempit.
Namun, pertemuan bahagia mereka terpaksa dipendekkan selepas penemuan sebuah buku misteri di dalam bangunan Ellie, yang membangkitkan syaitan jahat yang boleh merasuk badan manusia.
Ini memaksa Beth untuk bertahan hidup ketika dia berhadapan dengan kengerian paling dahsyat yang boleh dibayangkan.”

Bagi korang yang tidak tahu, filem Evil Dead ke-5 telah melalui pelbagai peringkat produksi selepas filem remake (2013) yang diarahkan oleh Fede Alvarez terbukti sangat popular di kalangan penonton dan menunjukkan bahawa francais boleh berjaya tanpa protagonis original, Ash Williams (Bruce Campbell).
Penulis/pengarah Lee Cronin dipilih sendiri oleh Raimi untuk Evil Dead Rise, yang karya sebelumnya termasuk filem pendek Ghost Train dan filem seram The Hole in the Ground (2019). Selepas menamatkan produksi, Cronin mendedahkan bahawa mereka telah menggunakan darah palsu sebanyak 6500 liter semasa sesi penggambaran, dan menjanjikan adegan dalam pasti akan “seram dan brutal”.
Pelakon Evil Dead Rise termasuk
- Alyssa Sutherland sebagai Ellie
- Lily Sullivan sebagai Beth
- Gabrielle Echols sebagai Bridget
- Mia Challis sebagai Jessica
- Jayden Daniels sebagai Gabriel
- Billy Reynolds-McCarthy sebagai Jake
- Nell Fisher sebagai Kassie
- Tai Wano sebagai Scott
- Morgan Davies
Campbell tidak akan mengulangi peranannya sebagai Ash dalam filem ini.

Buat masa ini, Evil Dead Rise dijangka akan ditayangkan di pawagam global pada 23 April 2023. Malangnya, tarikh tayangan di Malaysia masih belum diumumkan.
Untuk membaca segala liputan kami tentang industri filem termasuk pengumuman terkini dan info baru, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post