Berikutan kes serangan siber terhadap Toei Animation, syarikat animasi terkena Jepun, beberapa anime telah ditangguhkan tayangan episod baru. Antara anime yang terjejas ialah One Piece, Digimon Ghost Game, Dragon Quest: The Adventure of Dai dan Delicious Party Pretty Cure. Setelah 3 minggu ditangguhkan, akhirnya peminat boleh menarik nafas lega. Toei Animation telah melepaskan pengumuman rasmi bahawa episod baru untuk kesemua anime terjejas akan ditayangkan bermula 16 April.

Akaun Twitter rasmi untuk anime One Piece telah mengumumkan bahawa episod ke-1014 akan ditayangkan pada 17 April. Sejak serangan siber itu, siri tersebut telah menyiarkan episod ulangan atau recap dan masih menyiarkan episod “Wano Country Best Selection” pada minggu ini.
Selain itu, twitter rasmi Digimon Ghost Game dan Delicious Party Pretty Cure juga mengumumkan bahawa anime itu akan disambung semula dengan episod 22 dan episod 6 pada 17 April 2022. Dragon Quest: The Adventure of Dai juga akan bersambung dengan episod 73 bertajuk “Hope in the Flame” pada 16 April. Pada minggu ini, siri tersebut akan menyiarkan semula episod 72, “The Final Blow” pada 9 April.

Pada 11 Mac yang lalu, Toei Animation telah menerima serangan siber oleh pihak ketiga yang mengakses rangkaian syarikat itu tanpa kebenaran dan ini mengakibatkan penutupan untuk beberapa laman daripada sistem syarikat tersebut. Kejadian inilah punca mengapa jadual siaran untuk beberapa siri anime terganggu. Bukan setakat itu sahaja, filem Dragon Ball Super: Super Hero yang sepatutnya ditayangkan pada April ini juga terpaksa ditangguhkan. Buat masa sekarang masih tiada tarikh baru yang diumumkan untuk filem tersebut.

Mesti anda semua gembira dengan berita ini kan! Dapat jugalah kita tengok sambungan untuk siri One Piece dan Digimon setelah sebulan ia ditangguhkan. Anda cuma kena tunggu seminggu sahaja lagi. Untuk mendapatkan liputan lain mengenai anime, sila klik pautan ini.
Sumber: Animehunch
@gamersantaimy
Discussion about this post