Epic Games Store kembali dengan promosi istimewa: tiga game menarik boleh dimuat turun secara percuma sehingga 29 Mei 2025, jam 11 malam. Game yang ditawarkan ialah Deliver At All Costs, Gigapocalypse, dan Sifu, dengan nilai keseluruhan mencecah RM231.99.
Sesiapa saja yang mempunyai akaun Epic Games Store boleh menuntut game ini. Hanya log masuk ke laman web atau Epic Games Store launcher, tambahkan game tersebut ke pustaka anda, dan anda boleh memainkannya pada bila-bila masa. Berikut sedikit gambaran mengenai ketiga-tiga game ini:
Deliver At All Costs
- Genre: Aksi, Simulasi
- Harga Asal: RM140
Game baharu hasil kerjasama Konami dan Far Out Games Studio ini membawa anda ke tahun 1959, di mana anda memainkan watak Winston Green: seorang penghantar barangan pelik yang perlu menyelesaikan misi melalui kawasan yang boleh dimusnahkan. Dengan kawalan berasaskan fizik dan misi yang penuh kelucuan serta kekacauan, anda boleh merempuh bangunan, mencetuskan letupan, dan mencari cara kreatif untuk menyampaikan kargo seperti tembikai dengan meratakan seluruh bangunan. Tersedia di pelbagai platform, namun hanya Epic Games Store menawarkannya secara percuma buat masa terhad.
Gigapocalypse
- Genre: Arked, Aksi
- Harga Asal: RM23.50
Sebuah game arked bergaya retro yang diinspirasikan daripada filem raksasa klasik. Anda akan mengawal salah satu daripada sembilan raksasa kaiju yang boleh disesuaikan, dan misi anda adalah mudah — musnahkan bandar! Selain pertarungan penuh kekacauan, terdapat juga elemen penjagaan makhluk ala Tamagotchi, membolehkan anda membesarkan dan menguatkan “Giga” anda dengan mutasi dan kuasa baharu. Gaya seni piksel yang menarik menjadikan game ini menyeronokkan untuk semua peminat arked klasik.
Sifu
- Genre: Aksi, Beat ’em Up, Roguelike
- Harga Asal: RM68.49
Sifu ialah game aksi seni bela diri dari perspektif third-person yang membawa anda ke dalam kisah balas dendam seorang ahli kung fu muda. Keunikan game ini terletak pada sistem ‘penuaannya’: setiap kali anda tewas, anda hidup semula dalam usia yang lebih tua — lebih kuat, tetapi juga lebih ‘rapuh’. Combat dalam game ini menuntut ketepatan dan reaksi pantas, sambil menguji kemahiran anda dalam menguasai pergerakan kung fu. Dengan visual bergaya dan reka bentuk combat yang mantap, Sifu menerima banyak pujian dan pencalonan dalam 2022 Game Awards, menjadikannya salah satu judul wajib cuba bagi peminat genre aksi.
@gamersantaimy
Discussion about this post