Di acara Tokyo Game Show 2021 hari ini, Square Enix baru saja mengumumkan demo baru untuk Stranger of Paradise: Final Fantasy Origins, yang tersedia sekarang untuk PlayStation 5 dan Xbox Series X|S! Demo ini ditawarkan untuk waktu yang terhad sahaja di mana ia akan tamat pada 11 Oktober 2021, jadi pastikan anda tidak ketinggalan untuk mencuba. Selain itu, Square Enix telah mengesahkan tarikh pelepasan untuk Stranger of Paradise yang bakal dilancarkan untuk PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series X|S, Xbox One dan PC pada 18 Mac 2022.
Demo kali ini memperkenalkan rakan sekutu baru – seorang wanita muda bernama Neon – sebagai pilihan baru untuk ditambah dalam parti. Namun, anda hanya dapat memilih antara dua watak untuk digunakan bersama Jack. Demo ini juga menawarkan kawasan baru bernama Refrin Wetlands yang menggunakan mekanik perubahan cuaca dinamik untuk membuka jalan baru supaya kita dapat meneroka lebih jauh. Anda juga akan berhadapan dengan berbagai raksasa unik untuk dikalahkan, termasuk Cactuar, serta pertarungan bos baru untuk mencabar diri sendiri.

Tidak seperti demo pertama, fitur multiplayer juga tersedia dan membolehkan kita bekerjasama dengan dua hingga tiga rakan bagi menghadapi lokasi Refrin Wetlands dan semua cabarannya sambil menggunakan “arahan” yang ditetapkan untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Pemain dapat memilih antara lapan “pekerjaan” (job) dan dapat bereksperimen dengan setiap satu untuk lebih mengenali sistem kelas, serta memiliki akses ke mekanik “skill tree”. Anda boleh menyediakan dua “battle set” yang berbeza, masing-masing dengan pekerjaan, peralatan, dan kemahiran tertentu, dan kemudian beralih antara kedua-dua set ini semasa dalam pertempuran bergantung pada situasi semasa.

Sekali lagi saya ingatkan, demo baru Stranger of Paradise: Final Fantasy Origins kini tersedia di PS5 dan Xbox Series X|S manakala game ini akan dilancarkan pada 18 Mac 2022 di (selain yang saya sebut tadi) PS4, Xbox One, dan PC.
Sumber – Square Enix
@gamersantaimy
Discussion about this post