Kali terakhir kita diberikan game single-player eksklusif dari PlayStation, di mana dunianya berkisarkan di sekeliling zombie, adalah The Last of Us. Itu juga adalah salah satu game dari Sony yang memberikan pengalaman sentimental kepada pemain dan meletakkan harapan yang lebih tinggi untuk game bergenre zombie seterusnya. Days Gone kini mencuba nasib yang sama, dalam dunianya tersendiri apabila seorang lelaki harus meneruskan kehidupan dengan motosikal dan beberapa sahabat di sampingnya. Mampukah watak utama, Deacon St. John menempuh dugaan berhadapan beratus-ratus Freakers dan pada masa yang sama memberikan pengalaman yang pemain inginkan?
JALAN CERITA
Sebagai permulaan, pemain akan diperkenalkan sebagai Deacon St. John, seorang biker kental dan juga pembunuh upahan yang mempunyai perwatakan agak bengis dan brutal. Dia menyalahkan diri sendiri atas apa yang telah terjadi pada Sarah, iaitu isterinya, dua tahun selepas satu pandemik global yang menukarkan manusia biasa menjadi “Freakers”, iaitu makhluk kanibal yang sangat dashyat. Dalam satu babak menunjukkan Deacon menghadapi kesukaran untuk membuat pilihan di mana hanya dua penumpang boleh menaiki helikopter untuk keluar dari tempat yang dipenuhi Freakers itu. Walaupun Sarah sudah jelas berada dalam helikopter, Deacon memilih untuk kekal bersama rakan karibnya, yang cedera teruk dan memerlukan pertolongan, Boozer.
Siapa sangka pilihan yang dibuat itu akan menghantui kehidupannya. Apabila bermain dengan lebih mendalam, pemain akan lebih mengetahui latar belakang kehidupannya menerusi misi, ataupun ketika meneroka di sekitar dunia tersebut. Sedikit demi sedikit, kisah hidupnya akan terungkai dan ia juga menjelaskan mengapa Deacon menjadi begitu bengis, kejam, dan tiada belas kasihan. Ini adalah permulaan jalan cerita yang menarik, di mana watak utama mempunyai konflik dalaman dan dalam masa yang sama harus mengharungi dunia terbuka di Oregon yang dikelilingi Freakers, di mana mereka akan sentiasa merayau dan dahagakan nyawa pemain. Korang akan melalui flashback dan monolog, di mana jalan ceritanya akan terus terungkap. Segala keputusan dan pilihan yang dibuat pemain juga mempunyai akibatnya dan mempengaruhi outcome daripada quest. Tapi setelah jauh ke dalam permainan, ia mula menjadi sedikit serabut dan keliru.
SISTEM PERTEMPURAN
Game ini menumpukan kepada tiga elemen utama iaitu Survival, Ranged Combat dan juga Melee. Cara korang berlawan musuh terserah kepada pilihan masing-masing. Sama ada menggunakan taktik “Stealth”, iaitu secara senyap dan hapuskan musuh atau tembak terus secara rambang menggunakan senapang yang ada. Namun, jika terlalu bising, ia akan menarik perhatian semua musuh, dan di saat bertemu dengan Freakers yang terlalu banyak, kadang-kadang melarikan diri adalah pilihan yang terbaik. Pemain juga tidak akan mempunyai peluru yang mencukupi untuk berlawan (melainkan korang cari sumbernya atau membelinya). Di sinilah elemen survival diperlukan. Jadi, pengendalian dari aspek skills dan barangan haruslah diuruskan dengan sebaiknya!
Pertempuran melee sebenarnya agak memuaskan. Berulang-ulang kali membelasah tengkorak Freakers dengan baseball bat yang mempunyai paku (setelah dinaiktaraf) sehinggalah kepalanya terkeluar berasa tersangatlah brutal dan seronok. Tidak kurang juga pengunaan senjata yang amat menarik di mana apabila menggunakan senapang dan menembak musuh manusia, ianya sangat berkesan.
Apa yang paling penting dalam gameplay ini ialah, bike Deacon, iaitu ibarat nyawa kedua dia. Motosikal Deacon mempunyai “health bar” dia tersendiri. Contohnya, pemain perlu mengisi minyak dan membaikinya apabila ia rosak. Tiada gas ketika dalam perjalanan di dunia terbuka ini bermaksud korang akan tersesat di hutan dan barangkali akan dimakan hidup-hidup oleh Freakers. Bukan itu sahaja, kalau korang nak save file, motosikal itu juga mempunyai ciri “Autosave”. Kadang-kadang korang tahu di mana terletaknya tempat untuk mengisi minyak, cuma ia mungkin terlalu bahaya dan berisiko untuk mengambilnya.
Motosikal Deacon adalah sebahagian daripada identitinya, dan ia mungkin adalah perkara terakhir yang membuatkan dia masih waras setelah apa yang berlaku. Tapi gas yang digunakan untuk motosikal ini cepat habis, dan disebabkan pemain tidak boleh menyimpan gas pada motosikal, korang terpaksa kembali ke kem atau singgah di petrol gas yang terdekat untuk mengisinya. Dan ini berlaku secara konsisten, sehinggakan korang merasakan untuk abaikan misi yang terletak jauh, dan memilih side quest lain.
MUSUH
- Freakers
Freakers bukanlah seperti zombie, mereka tidak mati dan hidup semula, tetapi dijangkiti oleh satu virus yang menukarkan kejadian asal mereka seakan-akan makluk kanibal yang akan menyerang apa-apa sahaja di hadapan mereka. Mereka berhibernasi pada waktu siang dan tinggal dalam sarang serta sentiasa memburu atau bergerak untuk mencari sumber makanan dan kediaman. Freakers juga mempunyai jenis-jenisnya tersendiri. Terdapat Swarmers, yang berasal dari golongan dewasa, Newt pula adalah kanak-kanak yang tidak akan menyerang Deacon, melainkan kawasannya dicerobohi atau diusik, Screamer yang akan menarik perhatian Freakers lain dengan jeritannya dan juga Bleacher, yang berasal dari Swarmer tapi lebih kuat.
- Marauders
Marauders adalah mereka yang terselamat daripada wabak pandemik, namun, mereka sangat bermusuhan dengan sesiapa sahaja di luar kumpulan mereka. Mereka adalah musuh jenis utama dalam Days Gone. Apabila berlawan dengan mereka, perlu berhati-hati dan pilihan yang lebih senyap mungkin adalah yang terbaik kerana mereka mempunyai Sniper dan sekali tembakan dari mereka akan memberikan damage yang banyak.
- Rippers
Juga musuh jenis manusia tetapi mereka bertindak seperti seakan-akan Freakers. Wajah mereka senang dikesan dengan beberapa parut dan bekas luka pada anggota badan, termasuk huruf R.I.P yang diukir pada dahi mereka.
- Haiwan
Bukan sekadar Freakers yang akan menyerang korang tetapi terdapat juga haiwan yang terdiri daripada beruang dan serigala. Kedua-dua ini akan memberikan damage yang banyak, jadi pemain harus sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling.
Bagaimana untuk melawan mereka semua ini? Setiap kawasan mempunyai sumber yang tersendiri di mana pemain boleh memanfaatkan strategi yang berkesan ketika berlawan. Contohnya, terdapat explosive yang boleh diletupkan apabila berlawan mereka bilangan yang terlalu banyak. Pemain juga boleh menanam bom dan kemudiannya diletupkan mengikut timing sendiri. Tidak dinafikan, ia akan memberikan perasaan “adrenaline rush” terutamanya apabila korang bertemu mereka secara tidak sengaja. Melihat sekumpulan Freakers yang beratus-ratus adalah satu penglihatan yang menakjubkan sebelum korang mati kerana stamina yang digunakan untuk melarikan diri akan cepat habis.
Penulis sendiri juga terkejut apabila ketika sedang meneroka, serigala tiba-tiba datang menerkam dari belakang. Jadi, apabila berdepan situasi sebegini, perkara yang penting adalah untuk mengatur strategi sebelum cuba menghindari atau menghapuskan ancaman yang berlaku. Tidak dilupakan, dalam membawa diri ke dunia terbuka ini, pemain ditemani soundtrack yang menarik.
Dunia Terbuka Yang Berbahaya
Bercakap mengenai dunia terbuka, pemandangan dan visual dalam Oregon adalah sangat besar dan menawan. Kawasan berbukit dan berliku-liku membuatkan lagi pengalaman menaiki motosikal lebih mencabar. Misi yang diberikan termasuklah menghapuskan sarang Freakers, menyelamatkan penduduk awam di mana pemain akan menerima trust level dari mereka, side missions, misi untuk menaiktaraf motosikal, kebebasan untuk meneroka dunia yang berbahaya ini pada waktu malam dan banyak lagi. Terdapat sistem kitaran siang dan malam, di mana ia akan memberikan impak kepada corak permainan pemain. Pada waktu malam, Freakers lebih aktif dan mempunyai penglihatan yang lebih bagus manakala waktu siang, musuh seperti Marauders pula akan sentiasa memerhatikan gerak geri pemain. Dari hujan, api, sehinggalah salji, ia akan mengubah cara bermain korang.
Tidak dinafikan, misi yang diberikan terlalu repetitif yang menyebabkan pemain cepat berasa bosan. Oh, hapuskan sarang Freakers? Takdehal. Sekali lagi? Okay…. dan lagi sekali…? Cukup. Ia seronok untuk berlawan dengan Freakers ini, tetapi untuk dalam jangka masa yang terlalu berpanjangan… nope. Tambahan pula, Deacon dapat “mengesan” di mana sarang itu terletak (akan terhasil dialog yang dia dapat mengesan sarang itu), yang memberikan klu straight away, jadi tiada keseronokan untuk mencarinya sendiri.
Sistem crafting dan upgrade
Sistem crafting utama dalam game ini adalah dengan mengumpulkan sumber-sumber dan scraps secara random sama ada pada mayat musuh ataupun di sekeliling kawasan terbuka. Kadang-kadang untuk menghasilkan molotov, pemain memerlukan barang yang sesuai, sama juga seperti medkit dan sebagainya. Apa yang penting adalah dengan menaiktaraf kesemua barangan yang ada, ia akan mengubah cara permainan. Motosikal Deacon juga boleh diperbaiki dan diperbaharui.
“Skills tree” untuk Deacon adalah agak mudah dan memang sangat basic. Pada bila-bila masa sahaja, Deacon akan bertemu musuh, jadi ia amatlah penting untuk meningkatkan skills points. Walaupun kemahiran ini akan membuatkan Deacon menjadi lebih kuat, pada masa yang sama korang tak akan rasai perbezaan yang ketara kerana kesemuanya itu mudah di-unlock setelah melakukan beberapa misi.
KESIMPULAN
Days Gone adalah salah satu game yang membawa jalan cerita yang menarik, memfokuskan kepada watak utamanya. Ianya sebenarnya bagus untuk melihat satu watak yang mempunyai konflik dalaman yang unik, ditambah lagi apabila berada dalam dunia di mana kesemuanya telah musnah, dan apa yang tinggal hanyalah harapan. Ia memberikan kelainan berbeza dari dunia kontemporari biasa, di mana pemain akan merasakan keseronokan atau gementar apabila dikejar ratusan Freakers yang sentiasa memerhatikan gerak geri.
Gameplay secara keseluruhan adalah mantap. Sistem pertempurannya bagaimanapun, boleh ditambahbaik lagi. Ketika bermain, penulis berasakan seperti ada yang tidak mencukupi, dan mahukan lebih dari hanya membelasah tengkorak Freakers. Kelemahannya mungkin pada loading screen dan cut scenes yang terlalu lama. Kebanyakan masa, penulis hanya ingat tentang loading screen daripada jalan cerita.
Days Gone mempunyai semua ramuan yang tepat untuk menjadi kejutan untuk Sony. Walaupun demikian, ia memerlukan sedikit penambahbaikan dan tumpuan supaya pemain boleh terlibat dengan dunia terbuka yang hebat, tanpa sistem pertempuran dan mekanik game yang biasa-biasa sahaja. Membawa genre zombie, ia sememangnya harus diberi pujian. Game single-player seperti ini yang mempunyai banyak aksi akan memberikan pemain lebih dari hanya pertermpurannya bersama musuh, kerana korang akan mengalami bagaimana Deacon menempuhi kehidupannya setelah apa yang berlaku. Pendek kata, ianya tidaklah seteruk yang disangka, cuma terlalu biasa-biasa sedangkan pemain mahukan lebih daripada itu! Cliche, adalah perkataan yang sesuai, terutamanya apabila ia mengenai game zombie.
“Days Gone” akan keluar secara rasmi pada 26 April ini dan pemain dah boleh pre-order di PS Store sekarang! Ianya berharga RM239, boleh click sini untuk maklumat lanjut!
@gamersantaimy
The Review
Days Gone
Story-wise, adalah biasa-biasa saja. Pemain mahukan lebih "umph" dalam game ini. Ini mungkin adalah game zombie yang biasa seperti di luar sana.
PROS
- Watak utama yang mempunyai konflik dalaman membuatkan jalan cerita menjadi menarik
- Beratus-ratus Freakers akan menyerang menyebabkan pemain harus bijak mengatur strategi
- Sistem kitaran cuaca yang dinamik
- Autosave di motosikal? Hell yeah!
CONS
- Loading screen yang terlalu lama
- Sistem pertempuran yang terlalu basic
- Game zombie yang terlalu cliche
Discussion about this post