Beberapa hari lalu, Muse Malaysia mengumumkan bahawa DAN DA DAN: Evil Eye, sebuah filem kompilasi teater yang mempratonton musim kedua anime popular DAN DA DAN, bakal menemui penonton di pawagam TGV seluruh Malaysia bermula 30 Mei 2025.
Bagi peminat manga karya Yukinobu Tatsu dan musim pertama anime ini, tayangan di skrin besar ini menawarkan pengalaman yang lebih mengujakan, memaparkan tiga episod pertama Musim 2 bersama temu bual eksklusif dengan pengarah bersama, Fuga Yamashiro dan Abel Góngora.
View this post on Instagram
DAN DA DAN: Evil Eye memfokuskan kepada arc Evil Eye, di mana seorang yokai pendendam merasuk Jiji, teman zaman kanak-kanak dan bekas cinta (sekadar crush) Momo Ayase, protagonis utama cerita ini.
Bersama Ken “Okarun” Takakura, seorang peminat dunia okultisme, Momo menyiasat sebuah pekan air panas misteri, berdepan dengan penduduk aneh dan kuasa ghaib yang tidak terduga.
Dengan durasi 93 minit dan hasil animasi daripada studio Science SARU, filem ini diolah khusus untuk pengalaman sinematik, dengan visual dan rekaan bunyi yang lebih mendalam berbanding siaran episod biasa.

Filem ini berfungsi sebagai pengenalan kepada DAN DA DAN Musim 2, yang dijadualkan untuk tayangan global pada 3 Julai 2025 menerusi platform seperti Netflix, Crunchyroll, Prime Video, dan Muse Asia.
Tayangan di pawagam ini memberi peluang kepada peminat untuk menjadi antara yang pertama menyaksikan episod pembukaan musim baru, lengkap dengan kandungan bonus yang menampilkan wawancara eksklusif bersama dua pengarah utamanya.

Tayangan akan berlangsung di semua pawagam TGV di seluruh negara, dengan butiran lanjut mengenai lokasi dan waktu tayangan akan diumumkan tidak lama lagi. Dengan tempoh tayangan yang terhad dan permintaan yang dijangka tinggi, tiket mungkin akan habis dengan pantas, terutamanya di kawasan-kawasan popular.
Peminat disarankan untuk membuat tempahan awal melalui laman web atau aplikasi rasmi TGV Cinemas sebaik sahaja jualan tiket dibuka.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan DAN DA DAN: Evil Eye di skrin besar sebelum musim baharu dilancarkan secara global. Ikuti Muse Malaysia dan TGV Cinemas untuk maklumat terkini, dan pastikan anda mendapatkan tiket anda untuk menyertai pengembaraan terbaru Momo dan Okarun!
@gamersantaimy
Discussion about this post