Siapa sahaja tidak suka pada makanan, betul tidak? Baru-baru ini ada game baru yang berfokuskan kepada makanan telah keluar! Game tersebut adalah Cuisineer, game indie yang dihasilkan oleh pembangun Singapura, BattleBrew Productions. Kami ada juga beberapa kali mencubanya semasa melawati beberapa acara, dan akhirnya dapat juga kami peluang untuk bermain game penuhnya. Jadi tanpa membuang masa, teruskan baca review kami untuk Cuisineer!
Cerita
Anda akan bermain sebagai Pom yang kini seorang Restaurateur setelah dia pulang daripada pengembaraannya dan kini kembali di kampung halamannya Paell. Tetapi alangkah terkejutnya apabila ibu bapanya telah mengabaikan rumah dan restoran mereka, Potato Palace dan pergi mengembara di seluruh dunia. Ia sudah pasti menelan banyak duit jadi mereka perlu menjual kesemuanya yang ada dalam restoran tersebut. Dengan kepulangan Pom, dia mengambil keputusan untuk meneruskan perniagaan ibu bapanya dan menjadi pemilik Potato Palace. Tetapi kerjanya bukanlah mudah, kerana itulah satu-satunya restoran yang ada di kampungnya. Jadi memang ramai sahaja pelanggannya setiap hari.

Dengan hampir kesemua benda telah dijual dan dibebani hutang ibu bapanya, Pom perlu bekerja dari bawah untuk membayar semula hutang tersebut atau restorang itu akan dimiliki oleh orang lain dan dijual kepada pembida tertinggi.
Maka bermulalah cabaran anda sebagai Pom dalam game ini. Setiap hari, anda perlu membunuh raksasa untuk mendapatkan bahan masakan, membuka restoran, mengumpul poskad daripada keluarga anda, membayar cukai dan sudah tentu berehat pada waktu malam. Nasib baik anda tidak keseorangan untuk melakukan kesemua kerja itu kerana anda ditemani oleh kawan baik anda, Biscotti. Dia akan memberi bantuan secara senyap-senyap dengan memberi petunjuk tentang hidangan rahsia yang ramai orang inginkan ataupun memberikan kata-kata semangat serta memantau anda dari semasa ke semasa.

Visual yang bagus
Bercerita tentang visual, grafiknya kelihatan sangat hebat dengan vibe yang santai dan aman. Ditambah pula dengan efek audio yang begitu sesuai dengan game, ia memberikan pengalaman yang lebih imersif kepada pemain. Sebagai contoh, semasa memasak, anda boleh dengar bunyi memotong, menggoreng dan merebus dengan jelas. Pelanggan yang sedang makan juga masing-masing mengeluarkan bunyi seperti mengunyah, membuatkan kami sendiri terasa lapar mendengarnya.

Visual makanan dalam game ini menggunakan gaya semi-realistik, yang sememangnya berjaya membuatkan kami terliur melihatnya. Perincian pada makanan memang bagus, anda boleh nampak kerangupan hashbrown, ais hancur pada ais kacang dan banyak lagi makanan-makanan yang menyelerakan.
Dungeon yang mencabar, penuh raksasa comel
Memandangkan game ini fokus kepada dungeon crawling dan pengrurusan restoran, ada beberapa mekanik yang anda perlu ingat. Jom kita sentuh dahulu tentang aspek dungeon dalam game ini dahulu.
Untuk mendapatkan bahan-bahan masakan, anda perlulah ke dungeon untuk memburu raksasa-raksasa comel, di mana mereka akan drop bahan mengikut jenis mereka. Sebagai contoh, ayam memberikan telur dan daging, Pewtato memberikan kentang manakala Tommay memberikan tomato dan sebagainya. Anda juga perlu mengutip pelbagai jenis batu dan kayu dengan memukul pokok, batu dan balak sepanjang perjalanan. Terdapat juga peti dan pasu yang anda boleh pecahkan untuk mendapatkan bahan tambahan.

Terdapat lima peta untuk anda terokai iaitu Green Ruins, Mala Caverns, Frozen Fjord, Cooking Arena dan Konpeito Swamps. Untuk membuka setiap peta ini, anda kenalah progress dahulu Main Story Quest. Akan ada beberapa kawasan dalam peta yang dipanggil Arena Area, di mana anda perlu kalahkan semua raksasa untuk keluar daripada kawasan itu. Sudah tentu ganjaran yang anda dapat juga lumayan. Semakin dalam anda dalam dungeon, lebih banyak raksasa yang anda akan jumpa dan sudah tentu ada Boss Battle yang memberikan bahan yang lebih rare. Kalau anda sudah penat, boleh fast travel kembali ke rumah menggunakan Amulet yang diberikan Biscotti.

Untuk berlawan, anda mempunyai dua jenis serangan yang boleh digunakan iaitu serangan jarak dekat dan jarak jauh. Terdapat juga dua jenis serangan khas yang boleh digunakan tetapi ia mempunyai cooldown selepas menggunakannya. Jadi rancang dahulu sebelum guna. Senjata yang anda gunakan mempunyai kebolehan tersendiri sebagai contoh racun ataupun efek freeze mahupun burn.

Health anda dalam game boleh ditambah dengan memakai Glove ataupun Boot. Anda boleh membawa Milk Tea yang berfungsi sebagai health potion yang boleh digunakan semasa berada dalam dungeon. Terdapat juga Healing Fountains untuk digunakan kalau anda tidak mahu membazir teh anda. Kami nasihatkan anda supaya peka dengan health anda kerana kalau anda mati, anda boleh kehilangan hampir 90% barang yang anda ada.
Restoran penuh pelanggan dengan pelbagai pesanan
Selesai sudah bahagian dungeon, jom kita lihat pula bahagian untuk menguruskan restoran pula. Di kampungya terdapat empat tempat penting yang akan menjadi membantu anda sepanjang pengembaraan ini. Tempat-tempat tersebut adalah Bubble Tea Shop, Carpentry Shop, Armor Smith dan dua kedai berbeza yang akan dibuka setiap hari. Melalui kedai-kedai ini, anda boleh mendapatkan stop Milk Tea, membeli perabut, upgrade saiz restoran, membeli perisai, upgrade senjata dan banyak lagi. Jadi jangan lupa singgah semasa bermain nanti.

Cara restoran berfungsi hampir sama dengna game pengurusan restoran lain. Anda akan bermula dengan membuka restoran, pelanggan tiba dan memberikan pesanan mereka. Selepas itu, anda ke dapur dan memilih makanan yang dipesan. Makanan tersebut akan di masak secara automatik sehingga selesai. Pelanggan akan mengambil sendiri pesanan mereka di kaunter dan nikmatinya di tempat duduk mereka. Selepas selesai, mereka akan menuju ke juruwang di pintu masuk dan membayar anda. Kadang-kadang anda boleh dapat tip daripada mereka.
Kalau anda ingin tahu, bilangan pelanggan yang hadir berbeza mengikut waktu tertentu sebagai contoh Lunch Rush dan Dinner Rush. Memang ramai pelanggan pada waktu itu. Selagi restoran anda dibuka, akan ada sahaja pelanggan yang akan hadir, jadi anda perlu memberikan layanan sebaik mungkin kepada mereka semua. Walaupun begitu, sudah tentu ada sahaja pelanggan yang teruk. Jadi bersabarlah anda semasa bermain nanti.

Jumlah resipi yang anda boleh masak untuk pelanggan anda tidak mempunyai had tetapi anda hanya terikat dengan jumlah bahan yang anda ada. Maknanya, Pom boleh belajar hampir 100 resipi dan dia boleh menghidangkan kesemua resepi jika tiada bahan. Setakat ini hanya Pom sahaja yang bekerja di restoran ini, kalau ada pembantu bagus juga.
Seperti yang kami katakan, ada kedai yang anda boleh lawati untuk mengubah suai restoran anda. Anda boleh besarkannya, menambah meja, kerusi, dan macam-macam lagi. Ia akan menarik lebih ramai pelanggan, dan sudah tentu membolehkan anda mengumpulkan lebih banyak wang untuk membayar baki hutang yang ada.

Kesimpulan
Game ini benar-benar menarik dan membuatkan kami mudah lalai dan bermain dengan begitu lama. Raksasa-raksasanya juga comel belaka tetapi sayangnya kita perlu mengalahkan mereka untuk dapatkan bahan-bahan memasak. Ia juga agak mencabar untuk menguruskan restoran serta merancang secara strategik untuk dapatkan bahan-bahan, sebab ada resepi tertentu yang pelanggan inginkan.

Secara keseluruhannya Cuisineer adalah game yang sangat menyeronokkan dan ia mengingatkan kami terhadap game-game pengurusan restoran dahulu. Jadi kalau anda juga suka game seperti ini, bolehlah dapatkan Cuisineer di Steam sekarang!
Untuk membaca review lain daripada kami, boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
The Review
Cuisineer
PROS
- Visual makanan yang menyelerakan
- Design audio yang baik dan realistik
- Dungeon yang mencabar
- Kawalan yang mudah difahami dan disesuaikan
CONS
- Jumlah hutang yang begitu banyak untuk dibayar
- Tidak boleh save di mana-mana sahaja, perlu tidur untuk save
Discussion about this post