Tidak lagi Steve Rogers, Sam Wilson kini akan menjadi fokus utama dalam Marvel Studios’ Captain America: Brave New World, yang bakal ditayangkan di pawagam Malaysia pada 13 Februari 2025.
Dalam episod terakhir siri The Falcon and the Winter Soldier, Sam Wilson (Anthony Mackie) akhirnya memutuskan bahawa dia sudah bersedia untuk menggantikan Steve Rogers sebagai Captain America baharu. Kini sudah lebih tiga tahun sejak siri Disney+ tersebut tamat, dan akhirnya kami mendapat pandangan pertama untuk kisahnya seterusnya dalam trailer pertama Captain America: Brave New World:
Sinopsis
“Selepas bertemu dengan Thaddeus Ross (Harrison Ford), Presiden Amerika Syarikat yang baru sahaja dilantik, Sam mendapati dirinya terperangkap di dalam insiden antarabangsa yang besar. Dia mesti membongkarkan sebab di sebalik rancangan global yang jahat itu sebelum dalang sebenar membuat seluruh dunia melihat “merah”.”
Merupakan sekuel kepada siri mini televisyen The Falcon and the Winter Soldier (2021), dan filem ke-35 dalam Marvel Cinematic Universe (MCU), Captain America: Brave New World diarahkan oleh Julius Onah daripada skrip oleh Malcolm Spellman dan Dalan Musson, dan Matthew Orton.

Easter Egg Besar Daripada Trailer
Walaupun ada banyak easter egg daripada trailer ini, saya anggap hal-hal di bawah paling menarik sekali.
- Bermula dengan Giancarlo Esposito, pelakon terkenal ini berlakon sebagai watak yang masih belum didedahkan oleh Marvel tetapi satu khabar angin melaporkan dia akan memainkan watak George Washington Bridge. Dalam komik, watak itu ialah seorang tentera upahan yang akhirnya menyertai S.H.I.E.L.D.

- Sejak Eternals ditayangkan di pawagam pada tahun 2021, peminat tertanya-tanya mengapa Celestial gergasi yang menonjol di lautan seolah-olah diabaikan oleh semua watak MCU. Nampaknya gergasi itu akhirnya akan kembali di Brave New World, kerana kita melihat sekilas pandang struktur besar di lautan pada hujung trailer.

- Selain Mackie, kita melihat Danny Ramirez akan mengulangi peranannya sebagai Joaquin Torres (aka Falcon baharu) dan Carl Lumbly sebagai askar super Isaiah Bradley (yang cuba membunuh presiden).

- Namun, penjahat sebenar ialah Samuel Sterns, aka The Leader, yang dimainkan oleh Tim Blake Nelson. Di tengah-tengah trailer, kami dapat melihat antagonis itu daripada belakang sambil dia bercakap dengan seseorang melalui telefon.

- Tetapi kejutan paling besar sekali adalah Presiden Ross akan berubah menjadi Red Hulk. Seperti namanya, Hulk ini berwarna merah, dan mampu menyerap sinaran gamma dan memancarkan pancaran optik dari matanya, menurut komik.

@gamersantaimy
Discussion about this post