Dalam episod pertama anime, kita dapat melihat rupa dewasa Uzumaki Boruto sedang berlawan Kawaki di kampung Konoha yang hancur. Dengan penampilan lebih dewasa dan parut di mata, protagonis kita harus mengalahkan Kawaki untuk menyelamatkan zaman ‘shinobi’. Namun, apa yang kita baru sahaja tahu adalah Boruto kemungkinan ‘buta sebelah mata’.
Kisah ini terjadi di manga bab 78, di mana mereka menjelaskan bagaimana Boruto memperoleh parut di matanya memandangkan fasa timeskip semakin hampir.
AMARAN! SPOILER MANGA BORUTO BAB 78 DI BAWAH! (Baca rumusan bab 77 di SINI)

Di awal Boruto bab 78, Shikamaru dimaklumkan bahawa chakra Naruto dan Hinata tiba-tiba telah hilang tetapi chakra Kawaki dikesan buat sementara di rumah mereka. Eida kemudian mengesahkan apa yang Kawaki cuba lakukan dan ini menyebabkan semua orang di dalam bilik menjadi panik. Selepas dapat tahu apa yang terjadi, Boruto bergegas keluar dari bilik untuk mencari Kawaki.

Eida melihat perbualan antara Naruto dan Kawaki menggunakan Senrigan, dan mendedahkan bahawa Kawaki sebenarnya merancang untuk membunuh Boruto sekali lagi. Di sini, Sarada akhirnya tahu bahawa Kawaki lah orang yang sebenarnya membunuh Boruto. Walaupun diberi amaran oleh Shikamaru, Sarada tetap mengejar Boruto.

Dalam babak seterusnya, Boruto diserang hendap oleh Kawaki. Selepas dipersoalkan tentang keadaan Naruto dan Hinata, Kawaki menjelaskan bahawa dia menggunakan teknik ‘Daikokuten’ untuk menghantar Naruto dan Hinata ke alam di mana masa berhenti supaya mereka tidak tua dan mati kelaparan. Selepas itu mulalah pertarungan antara Boruto dan Kawaki di mana kedua-dua mengaktifkan kuasa ‘karma’.

Selepas seketika, Sarada muncul dan cuba membantu Boruto. Kawaki memberi amaran kepada Sarada untuk berundur, tetapi dia enggan mendengar. Di sini, dia cuba membunuh gadis itu dengan serangan mengejut tetapi Boruto melompat masuk untuk menyelamatkannya. Malangnya, serangan itu terkena pada mata kanan Boruto dan itulah asal-usul kepada parut yang kita lihat semasa fasa timeskip.

Di ambang kekalahan, Konohamaru, Shikamaru, Mitsuki, dan Sasuke tiba-tiba muncul untuk menyelamatkan mereka berdua. Shikamaru menghentikan Kawaki dengan Kagemane no Jutsu manakala Mitsuki menahan tangan Kawaki. Sasuke datang ke hadapan Kawaki, sambil menghunus pedang, dan memintanya supaya tidak melawan.
Pada masa ini, kita fikir Kawaki sudah dikalahkan. Tetapi, Momoshiki mengambil alih badan Boruto dan menyelamatkan musuhnya dengan menyerap Kagemane no Jutsu lalu menyuruhnya untuk melarikan diri. Mengapa dia buat begitu? Saya pun tidak begitu pasti.

Di muka surat terakhir bab 78, Momoshiki memberitahu Boruto bahawa dia “kehilangan salah satu mata birunya” dan ini hanya permulaan sehingga dia kehilangan segala-galanya.
Adakah Boruto betul-betul buta?

Sebenarnya, kita masih belum dapat pengesahan tentang betapa parahnya kecederaan mata Boruto. Menurut Momoshiki, budak itu sudah kehilangan mata kanannya (kemungkinan buta), dan ini tepat dengan apa kita lihat dalam timeskip, di mana Boruto menutup matanya sehingga mengaktifkan kuasa Karma. Pada masa ini, dia membuka matanya yang berubah menjadi Jogan.

Jogan pula adalah dojutsu yang hanya diterangkan dalam anime dan masih belum disebut dalam manga. Buat masa ini, kita tahu yang Jogan berkait rapat dengan dimensi puak Otsutsuki di mana keupayaan umumnya adalah untuk melihat aliran chakra di dalam badan dan pintu halimunan yang menghubungkan antara dimensi berbeza.
Jadi, teori internet adalah Boruto sebenarnya buta di mata kanan dan hanya akan membuka mata apabila menggunakan Jogan untuk berlawan.
Boruto fasa timeskip semakin hampir tetapi apa yang akan terjadi selepas ini? Jom kita bincangkan di ruang komen.
Untuk membaca segala liputan kami tentang francais Boruto, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post