Fictions dan pembangun Game Freak memperkenalkan Beast of Reincarnation, sebuah RPG aksi baharu yang sebelum ini dikenali dengan nama kod Project Bloom.
Game ini akan dilancarkan pada tahun 2026 untuk platform PlayStation 5, Xbox Series X|S, serta PC melalui Steam dan Microsoft Store. Ia juga akan tersedia di Game Pass pada hari pertama pelancaran.
Dibangunkan oleh Game Freak, studio yang sinonim dengan siri Pokémon, Beast of Reincarnation menandakan perubahan ketara daripada gaya mesra keluarga yang biasanya dikaitkan dengan mereka.
Berlatarbelakangkan Jepun pasca-apokaliptik pada tahun 4026, game ini membawa pemain menyusuri dunia yang suram dan sentiasa berubah, dihancurkan oleh korupsi serta dipenuhi makhluk-makhluk raksasa dan musuh robotik.
Ceritanya mengikuti perjalanan Emma, seorang gadis yang dipinggirkan masyarakat dan dikenali sebagai “Blighted One”, bersama anjing setianya, Koo. Dalam pengembaraan mereka yang penuh bahaya, hubungan erat yang terjalin antara mereka membangkitkan kuasa istimewa yang memainkan peranan penting dalam cerita dan sistem gameplay.

Game ini menawarkan pengalaman RPG aksi yang luas, dengan combat teknikal yang mencabar dan memerlukan ketelitian.
Pemain akan menempuh pelbagai landskap berbahaya — daripada hutan beracun yang berubah menjadi tanah gersang, sehinggalah ke persekitaran lain yang tidak menentu — semuanya dipersembahkan dengan visual dan nilai produksi yang tinggi.

Beast of Reincarnation telah pun menarik perhatian ramai kerana visinya yang besar serta perubahan Game Freak ke arah genre yang lebih matang dan berfokuskan aksi. Para peminat kini teruja untuk melihat bagaimana kepakaran Game Freak dalam membina dunia yang mengasyikkan akan diterapkan dalam genre yang baharu ini.

Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi laman rasmi.
@gamersantaimy
Discussion about this post