Siri anime Oshi no Ko telah mendapat sambutan yang hangat sejak tayangan episod pertamanya. Dengan siri anime telah tamat, sudah tentu ramai yang mula membaca siri manga pula, lebih-lebih lagi mereka yang tidak sabar untuk mengetahui sambungan kepada kisah adik-beradik Hoshino serta watak-watak yang lain. Tetapi bab terbaharu manga Oshi no Ko telah membuatkan peminat siri tersebut berbelah bahagi. Nak tahu apa yang jadi? Jom kami ceritakan secara ringkas kepada anda.
AMARAN! Ada spoiler manga Oshi no Ko!
Dalam siri, kita tahu bahawa Gorou Amamiya dan Sarina Tendouji telah dilahirkan semula sebagai anak Ai Hoshino. Hubungan mereka sebagai doktor dan pesakit sangat rapat dan masing-masing meminati persembahan Ai. Kini mereka berdua telah menjadi pasangan adik-beradik kembar tanpa mengetahui identiti masing-masing. Sudah tentu ramai peminat yang ternanti-nantikan saat di mana mereka berhenti menipu dan mendedahkan identiti mereka kepada satu sama lain. Nampaknya saat tersebut sudah tiba apabila bab 122 Oshi no Ko diterbitkan. Ramai peminat yang begitu teruja dengan pendedahan tersebut dan tidak sabar untuk melihat bagaimana kisah mereka akan bersambung.

Tetapi lain pula yang jadi apabila bab 123 Oshi no Ko diterbitkan. Ramai yang rasa berbelah bahagi dengan kandungan dalam bab terbaharu itu. Untuk konteks, semasa awal siri, kita melihat interaksi antara Sarina dan Gorou. Salah satunya adegan di mana mereka bercerita tentang impian, Gorou menyatakan bahawa Sarina tidak perlu tunggu untuk dilahirkan semula untuk menjadi idol. Dia boleh menjadi idol selepas dia sembuh dan keluar daripada hospital tersebut, serta menyatakan bahawa dia akan menjadi peminat no 1. Sarina yang gembira mendengar kata-kata tersebut meminta Gorou mengahwininya. Mengetahui keadaan Sarina, Gorou mengatakan bahawa dia akan fikir-fikirkan tentangnya apabila Sarina mencapai usia 16 tahun.

Sekarang ini sebagai Ruby, Sarina sudah pun berumur 16 tahun dan masih ingat dengan kata-kata Gorou dahulu. Ini yang membuatkan peminat berbelah bahagi. Mana tidaknya, hubungan percintaan antara adik-beradik dalam anime memang tidak digemari ramai. Dengan manga Oshi no Ko direhatkan selama seminggu, memang kecohlah perbalahan dalam komuniti peminat siri tersebut. Ini belum lagi cerita tentang “perang waifu” dalam komuniti. Kadang-kadang rasa terhibur juga.

Walaupun begitu, ramai yang percaya bahawa penulis siri, Aka Akasaka tidak akan menjurus ke arah hubungan terlarang tersebut. Jadi kita tunggu sahaja bagaimana perkembangan siri ini nanti. Lagipun, Akasaka-sensei sendiri ada mengatakan bahawa siri Oshi no Ko sudah hampir ke penamatnya. Anda boleh baca siri manga ini secara percuma melalui aplikasi dan laman web Manga Plus.
Untuk mendapatkan liputan menarik tentang manga daripada kami, boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post