Minggu lalu, bahagian pertama untuk Attack on Titan The Final Season Part 3 telah pun ditayangkan. Selepas lama menunggu, akhirnya dapat juga kita menonton “Rumbling” dengan penuh gemilang. Sejujurnya, MAPPA telah memberikan kerja yang sangat baik dalam menghasilkan episod khas ini.

Bukan Attack on Titan kalau tiada adegan yang sedih, betul tidak? Dalam episod terbaru ini seorang lagi watak kegemaran ramai, Hange telah meninggalkan skuad tersebut. Tetapi pemergiannya itu bukanlah sia-sia kerana itu akan memberikan masa kepada skuadnya untuk melepaskan diri dengan flying ship mereka. Mereka hanya perlu memenuhkan minyak sahaja sebelum berlepas. Mahu atau tidak, seseorang perlu berkorban untuk melengahkan perarakan Titan yang menghampiri mereka.

Kita sudah biasa melihat perkara-perkara gila yang pernah dilakukan Hange, jadi memang tidak pelik mengapa dia memilih untuk menyerang gergasi-gergasi yang semakin menghampiri. Apa yang lebih menyentuh hati apabila Hange dan Levi bercakap antara satu sama lain buat kali terakhir. Ayat yang dikatakan oleh Levi sememangnya membuatkan peminat sendiri sebak.

Selepas itu kita melihat Hange menumbangkan satu per satu Titan yang masih lagi maju mendekati Survey Corps. Bukan selalu kita dapat melihat Hange beraksi sehebat ini. Kemahiran serta ketangkasannya boleh tahan hebat juga. Tetapi memandangkan Rumbling penuh dengan Titan mempunyai suhu yang tinggi, cape yang dipakai Hange akhirnya terbakar dan mula merebak ke seluruh badannya. Bekas komander itu tidak pernah berhenti menyerang sehinggalah kapal terbang yang dinaiki oleh Armin dan lain-lain berlepas dengan selamat.

Adegan seterusnya membawa kita melihat Hange tanpa sebarang kecederaan bangun. Dia yang risau mengenai skuadnya itu diberitahu bahawa flying boat mereka telah berlepas dan dia telah selesaikan misinya. Hange terkejut mendengar suara tersebut dan melihat Erwin serta ahli-ahli Survey Corps lain bersamanya. Dia memandang semula ke arah kapal terbang tersebut dan berasa lega. Boleh pula dia merungut kepada Erwin mengenai tugasnya dan nampaknya dia akan bercerita segala perkara yang terjadi kepada rakan-rakannya itu.

Selepas itu kita melihat Armin, Mikasa dan lain-lain dipanggil semula di The Paths, di mana mereka semua memujuk Eren supaya pulang kembali kepada mereka. Tetapi Eren telah menolak dan berkata bahawa dia apa yang boleh menghentikan rancangannya itu serta mencapai kebebasan yang sering dikatakan daripada awal siri. Pada penghujung episod, mereka berjaya mengejar Eren dan mulakan serangan mereka kepadanya.

Nampaknya bahagian seterusnya kita akan melihat lebih banyak aksi daripada skuad kita ini. Ada kemungkinan besar juga ia akan menjadi episod terakhir untuk siri Attack on Titan. Apa pun, kita tunggu sahaja penghujung tahun ini tiba untuk melihat penamat kepada siri hebat ini. Buat anda yang masih belum menonton bahagian Attack on Titan The Final Season Part 3 Part 1, bolehlah singgah ke platform seperti Netflix dan iQIYI.
Untuk mendapatkan segala liputan mengenai Attack on Titan daripada kami, sila klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post