Game Atomic Heart akan dilancarkan tidak lama lagi! Kami berpeluang untuk mencubanya lebih awal, dan agak terkejut apabila ia mempunyai beberapa penambahbaikan daripada preview yang lalu. Ingin tahu bagaimana prestasi game ini? Teruskan membaca review Atomic Heart kami!
Penceritaan
Mula sahaja game, kami perasan bahawa ia merupakan permulaan yang sama dalam build preview. Maksud kami, ia tiada sebarang cutscene tambahan mahupun sinopsis ringkas sebagai pengenalan kepada dunia fiksyen itu. Kalau anda ingin tahu, game ini berlaku di sebuah dunia alternatif pada 1950 di dalam fasiliti 3826 di Soviet Union, tempat terletaknya pangkalan tentera rahsia yang menghasilkan robot. Apabila ahli sains hebat Dmitry Sechenov berjaya menemukan sesuatu yang boleh membawa manusia ke tamadun lebih maju, rancangannya telah disabotaj dan mengakibatkan robot-robot bertukar menjadi pembunuh.

Kita akan bermain sebagai ejen P-3 ataupun major Nechaev yang bekerja di bawah Profesor Sechenov. Misinya kini untuk menghentikan segala masalah yang berlaku dan ditemani oleh Polymer Glove bercakap bernama Charles, di mana ia merupakan senjata utama serta penasihatnya. Tetapi misi tersebut nampaknya lebih berbahaya daripada yang dijangka dengan satu per satu kebenaran dibongkarkan.

Bagi kami, penceritaan Atomic Heart terasa kurang. Kalau game ini mempunyai lebih banyak cutscene atau interaksi watak, rasanya dunia tersebut akan lebih meriah. Pada masa yang sama, ia terasa masuk akal kerana fasiliti tersebut dipenuhi dengan robot pembunuh serta mayat bergelimpangan. Kita boleh sahaja berinteraksi dengan beberapa mayat menggunakan peranti yang dipanggil “THOUGHT”. Agak pelik tetapi ia satu cara yang menarik untuk wujudkan NPC.

Ceritanya juga sebenarnya boleh dimampatkan untuk menjadikan game ini lebih pendek. Perkembangan cerita sangat perlahan dengan banyak pendedahan diceritakan melalui perbualan antara P-3 dan Charles sepanjang game. Berita tentang P-3, kami tidak begitu suka padanya kerana dia agak kasar kepada Charles kerana dia hanyalah glove bercakap. Memang kadang-kadang dia ada baik sikit pada glove tersebut, tetapi ada saat dia betul-betuk menjengkelkan walaupun Charles hanya ingin membantunya. Sabar sahajalah.

Combat
Combat dalam Atomic Heart sungguh menyeronokkan. Walaupun ceritanya ada kekurangan, gameplay inilah yang mengisi masa bermain anda. Kalau anda tidak tahu, Atomic Heart merupakan game FPS aksi dengan combat yang berfokuskan melee, di mana kita boleh menggunakan pelbagai jenis senjata yang menggunakan tenaga, tetapi senjata hebat anda sudah semestinya Polymer Glove kita, Charles. Dengan adanya glove ini, kita boleh menggunakan sehingga dua skill khas yang menggunakan teknologi polymer dan “Shok” standard untuk memeranjatkan musuh dengan arus elektrik.

Walaupun tiada banyak skill untuk dibuka, kita boleh tingkatkan keupayaannya dengan lebih tinggi malah boleh cuba hasilkan combo menarik. Sebagai contoh, kita boleh saluti musuh dengan gel Polymer untuk tingkatkan lagi kesan serangan elemental, contohnya skill Frostbite atau menyerang mereka dengan senjata yang telah dipasang dengan kartrij elemental.

Upgrade ini boleh mengubah rentak game kita, terutamanya untuk skill Mass Telekinesis, di mana pada mulanya kita boleh mengangkat musuh dan menghempas mereka ke tanah, sekali gus memberikan damage yang banyak.
Ia sememangnya skill terbaik dalam game kerana terdapat banyak detik di mana kita dikelilingi musuh. Tetapi dengan menggunakan telekinesis, terus senang untuk kita melepaskan diri. Sayangnya, ia tidak berguna pada boss, jadi terpaksalah kita selalu menukar skill dan elak serangannya. Kita juga boleh menggunakan skill sambil menggunakan senjata pada waktu yang sama. Ini membuatkan combat lebih fleksibel. Lebih penting sekali, kita tidak perlu menekan lama butang untuk gunakan skill, di mana ia agak tidak selesa dalam perlawanan yang sengit.

Terdapat dua jenis musuh dalam game iaitu Machine dan Organic. Seperti namanya, Machine adalah robot yang menggila dan bertukar menjadi mesin pembunuh, manakala Organic pula musuh yang terhasil daripada eksperimen yang cuba menggabungkan sistem zoologi dan ekologi. Setiap jenis musuh adalah unik dan mempunyai set serangan tersendiri yang perlu kita hafal, tetapi kebanyakan serangan ini mudah untuk dibaca. Kita boleh tengok kelemahan mereka menggunakan fungsi scanner. Kami jarang gunakan fungsi ini kerana senjata kita boleh digunakan untuk hampir kesemua musuh kecuali Organic yang dipanggil Plyusch, yang hanya boleh dibunuh menggunakan serangan melee.

Nampaknya versi akhir game, masih tiada indicator yang boleh menunjukkan kehadiran musuh. Seperti yang kami nyatakan dalam preview, apabila musuh jauh daripada penglihatan, kita terpaksa mencari mereka secara manual. Masalahnya sekarang, mereka semua sangat tangkas dan sangat laju, jadi memang senang untuk kita hilang jejak mereka. Watak kita pula, tidaklah begitu tangkas tetapi boleh mengelak dengan pastas dan memecut sedikit setelah upgrade skill tree.
Kalau kita cuba menyelinap pula, ia agak susah kerana game ini memang tidak dibangunkan untuk buat begitu. Kita masih lagi boleh menyerang belakang musuh tetapi mereka sangat sensitif dan jika mereka melihat kita untuk sesaat, memang kita kena juga lawan mereka seperti biasa.

Senjata & Upgrade
Terdapat save point di merata tempat dalam dunia tersebut dan di beberapa bahagian dalam fasiliti tersebut. Dengan mengakses peranti yang kelihatan seperti peti sejuk, anda boleh melakukan pelbagai perkara seperti upgrade senjata, menghasilkan consumable dan peluru, dan menyusun peralatan dalam beg anda. Segala barang tersebut akan dipakai dengan banyak, jadi kami syorkan untuk anda singgah di safe point dan save progress anda, sebab fungsi auto-save kadang-kadang membawa kita ke checkpoint terakhir.

Ini menjadikan combat terasa kurang melainkan anda berlawan tentera musuh atau bos yang kuat, kerana loot mereka kebanyakannya terdiri daripada bahan yang kita mudah temui di mana-mana. Tetapi jumlahnya tidaklah begitu banyak. Game ini nampaknya ingin kita untuk sentiasa menggunakan save point.
Walaupun anda tidak mempunyai material yang mencukup, terdapat pilihan untuk disassemble beberapa item yang menambahkan material yang anda perlu untuk kraf atau upgrade senjata. Tetapi anda masih perlukan blueprint untuk mendapatkan akses kepada senjata baru yang sebahagiannya tersembunyi dan mudah terlepas pandang, kalau anda fokus pada progress cerita. Jadi kenalah anda teroka dunia tersebut dengan lebih teliti.

Atomic Heart juga membolehkan kita untuk menyusun peralatan dalam backpack. Senang cerita, ia seperti sistem dalam game Resident Evil, cuma bezanya anda tidak boleh stack barang yang sama selain peluru. Jadi fikir elok-elok semasa menyediakan backpack anda sebelum teruskan perjalanan.

Reka bentuk semi open world dan sangat linear
Struktur misi Atomic Heart terasa sangat linear namun game ini juga dihasilkan untuk pengalaman semi open-world. Kami agak berbelah bahagi juga mengenai reka bentuk ini kerana, ia sememangnya seronok untuk teroka dunia besar dipenuhi robot pembunuh tetapi tiada benda yang begitu menarik untuk dilakukan selain daripada mencari material atau blueprint. Tidak dilupakan juga, ia mungkin lebih bahaya daripada yang dijangkakan.

Robot berada di mana-mana sahaja tetapi masalah sebenarnya ialah pengawasan yang ada di sekeliling kita. Jika kita dijumpai, robot-robot akan terus mengerumuni kita dan makin anda lawan mereka, lebih tinggi level alarm dan ia akan terus menghasilkan robot yang lebih berbahaya. Anda rasa itu mudah? Ada robot yang lebih teruk, yang boleh dibina semula selepas kita kalahkannya. Ini termasuklah kamera pengawasan. Walaupun anda boleh secure kawasan tersebut, anda masih tidak selamat kerana mereka pasti akan perasan anda balik.
Anda boleh mengelilingi peta dengan kereta, kalau anda inginkan pengangkutan yang pantas. Malangnya kami tidak jumpa fungsi fast travel. Kawalannya juga agak licin malah ketahanannya juga berbeza. Pernah sekali kami gunakan kereta yang baru, apabila kami melanggar sebuah robot, ia hampir meletup.

Selain daripada open-world, sebahagian besar cerita membawa kita ke fasiliti bawah tanah yang sangat linear dan boleh memakan masa sebelum dapat ke permukaan semula. Di sinilah anda akan menemui banyak puzzle. Bagi kami puzzle dalam Atomic Heart agak kreatif dan menyeronokkan untuk diselesaikan. Ia tidak begitu kompleks kecuali puzzle yang melibatkan Ballerina di mana ia mengambil banyak masa untuk kami selesaikan. Ada juga beberapa misi yang memberikan anda kebebasan untuk menerokai dunia tersebut. Jadi kalau anda bukan nak speedrun dan ingin santai lebih lama dalam game ini, gunakanlah masa tersebut.

Prestasi game di PC
Kami telah main Atomic Heart menggunakan ASUS ROG GL531GU dengan spesifikasi seperti berikut:
- CPU: i5-9300H
- GPU: GTX 1660 Ti
- RAM: 16GB RAM
Dengan spesifikasi laptop begini, kami berjaya mainkan game dengan setting Atomic (Maximum) dengan 1080p resolution dan prestasi yang mantap. Walaupun begitu, kadang-kadang ia tidak begitu stabil dengan penurunan FPS ketika meneroka open-world, ai mana ia merosot sehingga 30 FPS. Yang paling rendah kami cecah ialah 20 FPS, itu pun ia sangat jarang. Apabila kami main dengan setting yang lebih rendah, kami dapat bermain dengan 50-60 FPS yang stabil manakala semasa di permukaan, ianya sekitar 30-50 FPS.

Terdapat peningkatan prestasi yang ketara walaupun kami beralih kepada setting Ultra. Nampaknya game ini mempunyai optimization yang hebat dan rasanya ia boleh dimainkan dengan lancar dengan spesifikasi mid-end. Walaupun begitu, kami masih lagi mengalami beberapa crash di tempat yang sama, jadi terpaksalah kami restart laptop dan install driver Nvidia Graphics baru. Kadang-kadang ada juga audio yang hilang semasa combat dan stutter kuat semasa cutscene. Harap-harap ia akan dibaiki dalam patch akan datang.

Kesimpulan
Sejujurnya, Atomic Heart bagi kami seperti game BioShock moden yang sudah lama kami nantikan. Ia masih lagi mempunyai identiti tersendiri dan gaya futuristik unik, dengan beberapa inspirasi daripada game lain yang diterapkan. Untuk game debut pertama, ia sememangnya tajuk yang baik, dan ada kemungkinan besar untuk dapatkan siri tersendiri, lebih-lebih lagi apabile beberapa bahagian dalam game boleh ditambahbaik untuk meningkatkan pengalaman bermain.
Atomic Heart akan dilancarkan pada 21 Februari 2023 di PS4, PS5, Xbox One, Xbox Series X|S dan PC melalui Steam. Untuk mendapatkan liputan lain mengenai Atomic Heart daripada kami, boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
The Review
Atomic Heart
PROS
- Universe hebat dengan gaya tersendiri
- Combat yang menyeronokkan dan mencabar
- Reka bentuk puzzle yang kreatif
CONS
- Tidak banyak yang diceritakan dan penamat yang mengecewakan
- Terdapat ciri gameplay yang tiada
- Eksplorasi open-world agak mengecewakan
Discussion about this post