Adaptasi anime yang dinanti-nantikan daripada manga Takopi’s Original Sin (Takopii no Genzai) karya Taizan 5 bakal mula ditayangkan pada 28 Jun 2025, seperti yang diumumkan di laman rasmi mereka.
Sebuah video promosi beserta visual utama telah diperkenalkan, memberikan gambaran awal tentang original net animation (ONA) enam episod ini, selain memperkenalkan lagu tema pembukaan “Happy Lucky Chappy” nyanyian ano, dan lagu penutup “Glass no Sen” dendangan Tele.
Siri ini akan ditayangkan di platform Netflix dan Amazon Prime Video.
Anime ini diarahkan oleh Shinya Iino, yang terkenal dengan karyanya dalam Dr. Stone, dengan rekaan watak oleh Keita Nagahara (Violet Evergarden) dan muzik hasil gubahan Yoshiaki Fujisawa. Projek ini diterbitkan oleh ENISHIYA.
Barisan pelakon suara pula menampilkan Kurumi Mamiya sebagai Takopi, Reina Ueda sebagai Shizuka Kuze, Konomi Kohara sebagai Marina, dan Anna Nagase sebagai Azuma.

Kisah ini berpusat pada Takopi, makhluk asing comel berbentuk sotong dari Happy Planet yang datang ke Bumi dengan misi untuk menyebarkan kegembiraan.
Namun, pertemuannya dengan Shizuka, seorang murid tahun empat yang dibelenggu kemurungan akibat dibuli, diabaikan, dan dihantui trauma, membawa Takopi terjerumus dalam situasi tragik.
Usaha tulus Takopi untuk membantu menggunakan alat-alat canggihnya telah membawa kepada kejadian tidak disangka, dengan tema berat seperti buli, penderaan dalam keluarga, kemurungan, dan bunuh diri menjadi fokus utama.

Manga Takopi’s Original Sin pada asalnya disiarkan di Shueisha’s Shonen Jump+ dari Disember 2021 hingga Mac 2022. Ia menerima pujian ramai, memenangi Manga Kingdom Tottori Award dan menduduki tempat ketiga dalam Kono Manga ga Sugoi! 2023. Manga ini turut boleh diakses dalam versi bahasa Inggeris menerusi MANGA Plus.
@gamersantaimy
Discussion about this post