Tokyo Revengers mengisahkan seorang pemuda bernama Takemichi Hanagaki ketika dia “time-travel” ke masa lalu untuk menyelamatkan teman wanitanya daripada terbunuh oleh organisasi bernama Toman. Dicipta oleh Ken Wakui, karya ini dianugerahkan Siri Shonen Terbaik di Anugerah Kodansha Manga ke-44 dan merupakan salah satu anime paling hangat pada tahun ini. Malangnya, ia masih diselubungi kontroversi. Di sini, izinkan saya menjelaskan makna sebenar di sebalik gambar “manji”, yang digunakan sebagai simbol utama Toman dalam Tokyo Revengers.
Apakah maksud swastika?

Swastika atau banji adalah sebuah palang sama sisi dengan lengan bengkok serenjang menghadap sama ada ke arah kanan (卐) atau terbalik menghadap arah kiri (卍). Ia masih digunakan secara meluas dalam agama-agama Timur/Dharmik seperti Hinduisme, Buddhisme dan Jainisme. Memandangkan siri Tokyo Revengers lebih kepada agama Buddhisme, swastika di sini melambangkan jejak kaki Buddha dan bermaksud “perkara atau nasib yang baik”. Oleh itu, ia merupakan simbol biasa yang terdapat di sekitar kuil Jepun.
Sebagai simbol kemakmuran dan nasib baik, swastika digunakan secara meluas di seluruh dunia kuno (misalnya, sering muncul di duit syiling Mesopotamia), termasuk di Jepun sebagai simbol agama Buddha sejak zaman kuno. Secara lebih khusus, simbol yang biasa digunakan oleh Buddhisme Jepun adalah sauvatika, yang bergerak ke arah lawan jam, dan dipanggil “manji” dalam bahasa Jepun.

Di barat pula, simbol ini dicemari sehingga ke tahap menjadi larangan kerana digunakan sebagai ikon oleh pihak Nazi di Jerman. Terutamanya di negara Jerman, simbol ini dilarang kerana melambangkan unsur Nazisme. Malangnya, sejarah swastika berkait rapat dengan Nazisme pada masa lalu hingga sekarang dan ini membuatkan keadaan menjadi sukar untuk menjelaskan “mengapa simbol manji tidak ada kaitan dengan Nazi”. Itulah sebabnya Tokyo Revengers memilih untuk tidak menggunakan simbol tersebut bagi pasaran barat daripada menerangkan makna sebenar simbol manji.
Penggunaan simbol Manji di Tokyo Revengers

Tokyo Manji Gang (Toman) selalu menggunakan simbol manji (diambil dari unsur Buddhisme) di pakaian seragam/motosikal dan ini serta merta menjadi “trademark” terkenal untuk organisasi mereka. Sekali lagi, ramai penonton menghubungkan simbol manji dengan unsur Nazisme, kerana Toman menggunakan keganasan untuk menyelesaikan masalah. Hakikatnya, itulah sikap seorang “delinquent” dan cara mereka digambarkan oleh media massa lantas membuatkan keadaan menjadi lebih rumit. Walaupun Toman mempunyai sejarah gelapnya sendiri, kita harus tahu bahawa asal-usul penciptaan Toman adalah berdasarkan persahabatan dan kesetiaan.
Ramai tahu bahawa Manjiro Sano (Mikey) adalah ketua, tetapi sebenarnya ia adalah Keisuke Baji (kapten First Division) yang pertama kali mencadangkan agar mereka mengasaskan geng sendiri untuk melindungi Kazutora Hanemiya, yang juga merupakan salah satu daripada enam pengasas Toman. Secara ringkas, Baji hanya mahukan geng yang saling melindungi sesama sendiri dan akan melakukan apa sahaja untuk membantu sekiranya salah satu dari mereka mempunyai masalah. Visi ini kemudian menjadi impian Mikey untuk “zaman baru bagi para delinquent.”

Impian Mikey untuk mencipta zaman baru ini – dan bagaimana Toman berubah menjadi sindiket jenayah pada 12 tahun kemudian – mengaburi lagi makna asal simbol manji. Ditakuti dan dibenci seluruh Jepun pada masa depan, organisasi Toman mudah disalah faham oleh penonton yang tidak faham akan sejarah atau maksud sebenar di sebalik simbol swastika. Maka, mulalah kontroversi yang tidak patut.
Itu sahaja yang saya boleh jelaskan tentang makna sebenar di sebalik simbol Manji dalam siri Tokyo Revengers. Untuk segala liputan kami tentang siri ini termasuk info lengkap bagi pengasas mereka, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post