Lembaga rating umur Eropah, PEGI, secara tak sengaja telah mendedahkan sejauh mana Rockstar Games sanggup pergi untuk Grand Theft Auto VI (GTA 6/VI) yang termasuk tahap keganasan melampau, mekanik ambil dadah, dan kandungan dewasa 18+.
Khhususnya lembaga itu memuat naik senarai rasmi rating PEGI 18 untuk game tersebut serta mengesahkan ciri seperti kelab bogel interaktif, kepala dipenggal, dan penggunaan kokain… sebelum memadamkan laman web tersebut dengan mesej ralat 404 “page could not be found”.
Maklumat rating itu menyatakan bahawa pemain boleh cederakan hampir sesiapa saja dalam dunia open world termasuk orang awam, geng penjenayah lain, dan pihak polis.
Aksi keganasan kali ini digambarkan sebagai “brutal dengan tahap realiti yang tinggi”. PEGI beritahu dengan jelas bahawa senjata berat tertentu boleh buat kecederaan parah pada badan, termasuk kepala putus dan anggota badan putus (dismemberment) secara terperinci.
Haiwan jinak juga ada di merata tempat dan boleh dicederakan, tapi PEGI jelaskan kecederaan pada haiwan tak akan nampak ngeri macam apa yang dibuat pada watak manusia.

Cerita jual beli dadah memang selalu jadi latar belakang dalam siri Grand Theft Auto, tapi GTA VI bawa hal ini lebih jauh dengan jadikan perbuatan ambil dadah sebagai satu mekanik gameplay interaktif.
PEGI menyifatkan penggunaan dadah haram dalam game ini sebagai “kerap dan ketara”. Pemain boleh ambil bahan terlarang ini bersama watak lain atau guna terus dari inventory sendiri. Maklumat itu juga sahkan bahawa pemain boleh bawa kokain dan hisap terus dari tangan watak pada bila-bila masa saja.

Macam yang ramai jangka, game ini akan ada adegan bogel penuh, babak seks, dan apa yang PEGI sebut sebagai “sesekali ada babak fantasi seksual”.
Mekanik kelab bogel macam dalam GTA V juga kembali dengan kawalan yang lebih interaktif. Menurut maklumat itu, pemain yang masuk ke kelab malam boleh bayar untuk tarian peribadi, dan gameplay membenarkan pemain gerakkan tangan watak secara aktif ke atas badan penari.
Selain itu, ada banyak bahasa kesat digunakan (termasuk carutan kasar yang kerap) serta dialog berunsur satira dan diskriminasi yang keluar di siaran radio dan rancangan TV dalam game.

Untuk pemain di Malaysia, GTA VI akan dapat kawalan umur paling ketat bila cakera fizikal mula dijual di kedai tempatan.
Disebabkan kedai digital konsol kita ikut rating umur penerbit, pemain di Malaysia kena bersedia dengan semakan akaun 18+ semasa nak buat pembelian. Ibu bapa yang ingat nak belikan pakej console bundle tahun ini pun kena faham awal-awal: game ini memang untuk orang dewasa sahaja.
Grand Theft Auto VI dijadualkan keluar pada 19 November 2026, khas untuk PlayStation 5 dan Xbox Series X/S sahaja.









Discussion about this post