Studio Naughty Dog mengesahkan bahawa dua projek baharu dalam francais popular The Last of Us kini sedang dibangunkan. Ketua studio, Neil Druckmann, berkongsi berita ini menerusi di blog rasmi sempena sambutan The Last of Us Day 2026.
Menurut Druckmann, perbincangan dalaman untuk kembalikan dunia pasca-apokaliptik itu sudah lama bermula sejak tayangan Grounded II, iaitu dokumentari di sebalik tabir bagi The Last of Us Part II.
“Kami mempunyai beberapa projek baharu yang sangat menarik pada peringkat yang masih sangat awal—jadi kami belum boleh berkongsi banyak perkara buat masa ini,” tulis Druckmann. “Namun apa yang boleh saya katakan, kedua-dua projek ini akan mengembangkan canon cerita The Last of Us melangkaui [The Last of Us Part I] dan [The Last of Us Part II].”
Beliau turut memberi jaminan kepada para peminat bahawa pihak studio tidak akan kembali kepada siri ini sekadar suka-suka atau tanpa hala tuju jelas.
“Dunia The Last of Us amat bermakna buat kami, dan kami tidak akan kembali kepadanya melainkan kami mempunyai sesuatu yang benar-benar bermakna untuk disampaikan. Kami yakin kisah-kisah ini berbaloi untuk diceritakan.”
Druckmann sengaja mengelak daripada menggunakan perkataan “game” semasa menjelaskan kedua-dua projek tersebut. Walaupun Naughty Dog terkenal sebagai salah satu studio utama PlayStation, francais ini sudah pun berkembang menjadi jenama multimedia, terutamanya menerusi siri adaptasi live-action di HBO.
Sama ada projek-projek ini adalah sekuel seperti Part III, judul spin-off, novel grafik, mahupun cerita sampingan, setakat ini masih belum dapat dipastikan.









Discussion about this post