Genap 25 tahun selepas terlibat dalam penciptaan DYNASTY WARRIORS 3 di PlayStation 2, Tomohiko Sho sekarang memikul tanggungjawab menghidupkan semula game tersebut untuk generasi hari ini.

Di Tokyo Game Show 2026, produser veteran ini berkongsi lebih lanjut tentang DYNASTY WARRIORS 3: Complete Edition Remastered, di mana beliau mengupas usaha memelihara warisan judul retro, dinamik reka bentuk antara era generasi keenam, serta nilai sentimental projek ini terhadap kerjayanya yang menghampiri persaraan.
Mengapa Ini Remaster Bukan Remake
Ketika banyak projek game sekarang dibina semula secara menyeluruh, sebilangan peminat tertanya-tanya andai tambahan grafik moden serta pelbagai tetapan baharu telah mengubah projek ini ke arah remake penuh. Namun, andaian tersebut disangkal oleh Sho.
“Mengenai sama ada game ini sebuah remake atau remaster, saya langsung tidak ragu-ragu,” jelas beliau dengan yakin.
“Bagi saya, ini sememangnya sebuah remaster, bukan remake.”

Untuk meraikan perbezaan tersebut tanpa meminggirkan pemain baharu, pihak pembangun menambah fungsi preset satu klik bersama pilihan konfigurasi yang fleksibel. Pemain bebas beralih antara “Normal Settings”—yang menyelaraskan kawalan dan keseimbangan mengikut piawaian semasa—dengan “Classic Settings.”
Memilih mod klasik bermaksud melepaskan segala keselesaan moden, termasuk melumpuhkan fungsi kawalan kamera bebas demi meniru sudut pandang versi 2001. Untuk pengalaman terbaik, Sho menyarankan konfigurasi hibrid; mulakan langkah dengan preset Classic, tetapi aktifkan semula fungsi kamera serta sistem ‘guarding’ moden.
Langkah ini wajar memandangkan edisi original sekadar membenarkan tangkisan hadapan, satu kelemahan maut apabila dikelilingi gerombolan musuh yang menyerang tanpa henti dari pelbagai sudut.

Keazaman memelihara versi original terbukti ketara pada elemen gameplay yang paling tidak bertolak ansur. Daripada merendahkan cabaran demi memikat khalayak umum, pihak produksi memilih untuk mengekalkan kesusahan asal.
“Malah, ada beberapa orang dalam syarikat kami yang secara khusus berpesan, ‘Tolong jangan ubah pemanah langsung, biarkan mereka seperti dahulu,'” kata Sho sambil ketawa.
“Jadi melalui Classic Settings, kami cuba memastikan pemain dapat merasai semula pengalaman getir yang hampir seperti neraka itu.”
Pendekatan serupa diambil terhadap sistem combat yang dibiarkan tanpa sebarang penalaan; sifat Vorpal yang terkenal kerana overpowered masih memiliki impak yang sama dahsyat seperti suku abad lalu.
Peningkatan PS2 ke PS5
Lompatan daripada konsol generasi keenam ke teknologi terkini menawarkan skala combat yang luar biasa, namun lonjakan kuasa perkakasan juga hadir bersama dilema.
Sho menjelaskan bahawa di samping menggunakan enjin Unreal Engine, jarak keupayaan antara PlayStation 2 dan PlayStation 5 telah merombak persekitaran medan lawan secara drastik.
Batasan cip PS2 mengehadkan paparan sekitar 50 askar sahaja pada satu masa, diselubungi kabus tebal serta jarak ‘draw-distance’ terhad yang memadamkan sebarang objek melebihi 50 hingga 100 meter. Sekarang, seluruh landskap perang, formasi tentera, dan kelibat komander di kejauhan terbentang tanpa halangan.

Sungguhpun begitu, pertambahan unit tentera secara besar-besaran memberi kesan terhadap ritma gameplay. Unit infantri biasa dalam DYNASTY WARRIORS 3 terkenal kerana lebih garang berbanding game-game kemudian. Sekiranya ribuan askar dilepaskan serentak dengan kadar serangan asal yang tidak diubah, game ini pasti mustahil dimainkan.
Sedar risiko tersebut, pembangun menerapkan pelarasan AI dinamik yang menyeimbangkan kekerapan serangan mengikut jumlah musuh semasa. Formula ini berjaya mengekalkan debaran perang asal tanpa memerangkap pemain ke dalam situasi pembunuhan beramai-ramai yang tidak adil.

Isu kesesakan musuh sempat mencetuskan kebimbangan tentang tahap keterlihatan semasa sesi ujian awal di Taipei Game Show pada Januari lalu, di mana himpunan askar yang terlalu padat menyusahkan pemain membaca animasi serangan bagi menggunakan mekanik ‘Evasion’ mahupun ‘Perfect Power Guard’.
Menyentuh perkara ini, Sho menjelaskan bahawa demo dalam acara tersebut masih belum dioptimumkan sepenuhnya dan menggunakan tetapan kesukaran berasingan, sambil menegaskan bahawa versi rasmi akan hadir dengan keseimbangan yang lebih teliti.
Tambahan pula, teknik pertahanan baharu tersebut hanyalah pelengkap gaya permainan.
“Pertama sekali, game ini telah diseimbangkan supaya anda langsung tidak perlu menggunakan Perfect Power Guard atau Just Evasion. Anda boleh menamatkan game ini sepenuhnya tanpa perlu bergantung pada mekanik-mekanik tersebut.”

Demi mengatasi masalah kekeliruan visual di tengah-tengah pertarungan, serangan maut daripada jeneral musuh sekarang dilengkapi petunjuk visual mirip DYNASTY WARRIORS: ORIGINS sebagai amaran awal kepada pemain.
Sho turut menegaskan bahawa tahap ancaman kepungan musuh masih setia pada struktur asal, di mana pemain kerap diserang dari pelbagai arah sejak dahulu lagi.
Bagi peminat yang tidak sabar menguji mekanik yang ditambah baik ini, Sho mengesahkan cadangan melancarkan demo di platform seperti Steam dan PlayStation sedang dibincangkan, dengan perincian lanjut bakal dikongsi tidak lama lagi.
Aksi “1 Lawan 1,000”, Senjata Unik, dan Sistem Weapon Fusion
Kebanyakan game hack-and-slash moden cenderung menganugerahkan kekuatan tinggi kepada pemain seawal minit pertama, berbeza sekali dengan falsafah DYNASTY WARRIORS 3 yang berpaksikan ketabahan.
Dalam edisi remaster, barisan musuh tidak teragak-agak membalas asakan, memulihkan nyawa, mahupun mengaktifkan attack buff apabila terdesak. Corak ini, menurut Sho, merupakan penghormatan kepada legasi era pertengahan seperti DYNASTY WARRIORS 4, 5, dan 6 yang tidak pernah dibina untuk ditundukkan dengan mudah.

Jika siri DYNASTY WARRIORS 7 hingga 9 menyajikan kepuasan dengan memberi laluan mudah merempuh ribuan musuh sejak permulaan, game dahulu memerlukan pemain bermandi peluh sebelum dapat mengecapi fantasi “1 lawan 1,000”.
“Disebabkan DYNASTY WARRIORS 3: Complete Edition Remastered adalah sebuah remaster, kami mahu pemain merasa perkembangan watak dan keseronokan yang sama seperti dalam game asal,” jelas Sho.
“Oleh itu, keseimbangan keseluruhan dibina berasaskan idea bahawa combat akan menjadi semakin menyeronokkan seiring dengan peningkatan kekuatan watak anda. Sebelum watak mencapai tahap tersebut, kami mahu pemain menikmati proses membina kekuatan sedikit demi sedikit di samping menghayati mekanik aksi itu sendiri.”

Semangat yang sama diterapkan dalam misi memburu ‘Unique Weapons’.
Pada era PS2, usaha mencari senjata terunggul setiap watak memerlukan pematuhan syarat yang kabur lagi menyeksa… sehingga memaksa segelintir pemain menggunakan muslihat co-op, seperti membiarkan Pemain 2 melindungi komander utama demi mengelakkan kekalahan.
Menerusi versi remastered, pihak studio mengambil pendekatan DYNASTY WARRIORS: ORIGINS dengan memaparkan kriteria pemerolehan tersebut di dalam menu permainan.
Meskipun begitu, tahap kesukaran misi tidak dikurangkan walau sedikit.
“Syarat-syarat serta tahap kesukarannya dikekalkan tepat seperti yang asal,” sah Sho sambil tersenyum.
“Dan sebagai makluman tambahan, saya sendiri yang bertanggungjawab mereka bentuk senjata unik tersebut dahulu dalam DYNASTY WARRIORS 3, dan saya telah mengesahkan sendiri bahawa setiap satu daripadanya boleh diperoleh secara solo.”

Demi memberi variasi, sistem Weapon Fusion turut diperkenalkan buat pertama kali. Menepis kebimbangan bahawa ciri ini akan menenggelamkan keterujaan memburu senjata di medan perang, Sho menegaskan bahawa struktur kempen sebenarnya dirangka berasaskan andaian bahawa pemain tidak menggunakan Weapon Fusion langsung.
Mencipta senjata unggul memerlukan pelaburan masa serta sumber yang tinggi, menjadikannya sekadar alternatif tambahan dan bukan jalan pintas.
Fungsi ini sebenarnya bertujuan membela nasib watak-watak kegemaran ramai yang memiliki senjata unik dengan statistik hambar atau kemahiran pasif yang kurang serasi, membolehkan komuniti memperibadikan watak tanpa merosakkan asas permainan.
Ziluan Masuk ke Zaman Three Kingdoms
Senarai pahlawan kali ini diserikan dengan kemunculan tetamu istimewa: Ziluan, protagonis utama DYNASTY WARRIORS: ORIGINS. Walaupun mahir memakai pelbagai senjata dalam game tersebut, penampilan beliau dalam DYNASTY WARRIORS 3 dikhususkan pada moveset ‘one-handed sword’.
Berhubung kebolehan menggunakan senjata sampingan atau senjata unik yang tersembunyi, Sho memilih untuk berteka-teki dan mempelawa pemain membongkar rahsia tersebut di dalam game nanti.

Tambahan Ziluan juga menonjolkan konsep yang memisahkan dua era francais ini.
Ketika ORIGINS berakar sebagai sebuah action RPG yang menitikberatkan naratif serta jalinan dunia yang rumit, DYNASTY WARRIORS 3 klasik pula berdiri teguh sebagai game aksi arked tulen—di mana persona setiap wira terpahat melalui kehandalan bertarung, identiti senjata, dan karisma fizikal mereka di tengah perang.

Atas perbezaan falsafah tersebut, edisi baharu ini tidak ingin mengusik keperibadian watak ataupun memasukkan plot cerita tambahan yang meleret. Sebaliknya, fokus beralih kepada usaha memudahkan kefahaman khalayak baharu.
Apabila melangkah ke Musou Mode buat pertama kali, pemain akan disajikan penerangan ringkas tentang situasi geopolitik Three Kingdoms, diikuti profil padat tentang latar belakang serta sejarah tokoh yang dipilih. Ketulenan arked klasik tetap sama, namun pemain baharu kini tidak lagi terkapai-kapai tanpa konteks sejarah.
Mod Co-op, Interaksi Dialog Unik

Menghidupkan semula interaksi sosial era awal milenium menjadi satu lagi misi utama pasukan. Memandangkan budaya ‘couch multiplayer’ ditelan arus lobi digital online, edisi ini ingin mempertahankan mod ‘local split-screen’.
Menurut Sho, desakan peminat yang merindukan nostalgia berkumpul di ruang tamu menjadikan ciri tersebut keutamaan tidak boleh runding sejak fasa awal pembangunan.
Tentang kemungkinan memasukkan sokongan netcode moden bagi melengkapi mod local itu, Sho menyatakan bahawa walaupun belum ada ketetapan rasmi, ciri online masih berada dalam pertimbangan mereka.

Daya penarik daripada game dahulu turut dipelihara, khususnya dialog bersahaja dan usikan spontan yang berlaku apabila pahlawan tertentu bertembung di zon perang.
Menjawab persoalan tentang hala tuju judul masa hadapan (seperti kebarangkalian sekuel ORIGINS), Sho mengaku plot yang bertumpu pada satu protagonis agak mengekang penciptaan jenaka yang selalunya lahir daripada interaksi puluhan panglima berwatak eksentrik.

Walaupun begitu, beliau komited menambah unsur santai dalam apa jua medium yang sesuai. Sho turut ketawa mengimbau ciri lama seperti custom opening movie, sambil mengaku bahawa walaupun susah dimuatkan ke dalam sekuel ORIGINS, beliau secara peribadi amat teruja untuk menghidupkannya semula jika ruang mengizinkan.
Ketelitian serupa diterapkan dalam memelihara identiti audio. Lagu tema berlesen ikonik berjaya dimuatkan semula, biarpun terpaksa melalui rundingan hak cipta yang rumit.
Babak Akhir Kerjaya Sho

Walaupun peminat mendesak remaster bagi DYNASTY WARRIORS 4 atau game lain dalam francais, mengulangi apa yang pernah dihasilkan dahulu bukanlah keutamaan dalam hatinya.
“Secara jujurnya, penghasilan remaster bukanlah sesuatu yang benar-benar ingin saya bangunkan dari awal, jadi buat masa ini saya tiada keinginan yang kuat untuk segera menghasilkan sebuah lagi remaster,” luah Sho.
“Usia saya juga kini semakin menghampiri waktu persaraan,” simpul Sho dengan nada perlahan.
“Masa yang tinggal untuk saya terus mencipta permainan video semakin terhad, jadi saya mahu memilih dengan teliti bagaimana baki masa ini digunakan dan, sebaik mungkin, menghasilkan karya-karya baharu.”
Game ini akan keluar bermula 1 Oktober 2026 untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, PC melalui Steam, dan Nintendo Switch 2. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
![[TGS2026] DYNASTY WARRIORS 3 Remaster Tahap Kesukaran ‘Neraka’, Tidak Ingin Memanjakan Pemain](https://cdn.gamersantai.com/2026/09/DYNASTY-WARRIORS-3-Complete-Edition-Remastered_QA_FI-750x375.jpg)








Discussion about this post