Tidak ramai protagonis yang mampu mengharungi bahaya seperti Maomao; di mana sifat ingin tahunya yang meluap-luap terhadap herba ganjil dan racun berbisa kerap membongkarkan rahsia paling kelam di istana. Di Tokyo Game Show 2026, kami lihat bagaimana ketajaman akal Maomao diadaptasikan ke dalam game The Apothecary Diaries: The False Imperial Brother.
Akan keluar pada 2027, peminat akan menggalas watak tersebut secara aktif dengan menjelajah kawasan, menguji ramuan di atas lesung ubat, serta mencantumkan petunjuk demi menentukan nasib istana.

Menyertai sesi perbincangan ini ialah Junzo Hosoi, Ketua Jenama GUST di KOEI TECMO GAMES merangkap Produser; Atsuri Takinami selaku Pengarah; serta Takayuki Onishi, Produser daripada TOHO Games.
Ketiga-tiga figura ini berkongsi kisah di sebalik kolaborasi istimewa tersebut, mekanik yang menyatukan dunia Maomao dengan legasi GUST, serta komitmen mereka mempersembahkan sebuah misteri yang menyentuh jiwa khalayak.
Asal-Usul Projek dan Kolaborasi TOHO Bersama GUST
Melihat kepada sifat The Apothecary Diaries yang kaya dengan dialog dan dinamik watak, adaptasi berformat visual novel konvensional mungkin nampak sebagai laluan paling selamat. Namun, Takayuki Onishi menjelaskan bahawa pendekatan tersebut dirasakan mensia-siakan kekuatan medium permainan: iaitu ‘player agency’.

“Kami percaya ada aspek tertentu dalam dunia The Apothecary Diaries yang hanya boleh disampaikan dengan berkesan melalui permainan video,” jelas Onishi. “Kami mahu menawarkan pengalaman yang berbeza daripada membaca novel atau menonton anime.”
Falsafah ini bertepatan dengan hasrat pengarang asalnya, Hyuganatsu, yang pernah menyuarakan betapa memikatnya jika khalayak berupaya bersiar-siar di pekarangan istana. Justeru, dengan memberi ruang kepada peminat menjejakkan kaki ke dunia tersebut, pihak pembangun berhasrat memaksimumkan potensi interaktif yang ada.

Projek ini sebenarnya dimulakan oleh TOHO, syarikat produksi di sebalik adaptasi animenya. Semasa memikirkan ruang pengembangan siri ini ke alam maya, Onishi terdetik satu ilham: Bukankah sesuatu seperti ‘Maomao’s Atelier’ akan menjadi sangat menarik?
Tanpa berlengah, beliau menghubungi Junzo Hosoi bagi mleihat minat GUST terhadap kolaborasi tersebut.

Ternyata, tiada sebarang pujukan diperlukan memandangkan Hosoi sendiri pengikut setia karya tersebut.
“Semasa menonton animenya, saya terfikir, ‘Bagaimanakah rupanya jika ia dijadikan seperti game Atelier?’” imbas Hosoi.
“Kemudian Onishi-san menghubungi saya dengan cadangan yang serupa, jadi reaksi saya ketika itu ringkas sahaja: ‘Ini satu idea yang hebat.’”

Minat kedua-dua produser terhadap francais masing-masing menimbulkan pertanyaan: adakah Maomao akan memeriksa tong kayu lalu melaungkan ayat ikonik siri Atelier, “Barrel!”?
Tersenyum mendengar tekaan itu, Hosoi mengaku bahawa biarpun tiada jaminan rasmi, usikan bersahaja itu pernah berlegar dalam fikiran mereka sepanjang pembangunan.
Mengadaptasi Mekanik Synthesis Siri Atelier
Kepakaran meracik penawar membentuk keperibadian Maomao. Daripada hakikat itu, GUST memberi pengalaman berdekad lama membina enjin synthesis siri Atelier ke dalam sistem Compounding game ini.
Tujuannya adalah untuk menstrukturkan kepakaran tersebut ke satu UI yang mesra pemula, namun mengekalkan lapisan teknikal yang mendalam.

Hosoi menerangkan bahawa fokus GUST sejak beberapa tahun kebelakangan ini tertumpu kepada kejelasan visual synthesis; membolehkan traits, effects, mahupun kualiti ramuan difahami serta-merta. Bagi The Apothecary Diaries, tanggapan awal yang mengalu-alukan menjadi keutamaan.
Berbeza daripada susunan grid teka-teki dalam siri Atelier terkini, Compounding dimulakan melalui minigame interaktif seperti yang ditunjukkan semasa sesi demo.
“Walaupun pemain belum memahami sepenuhnya cara keseluruhan sistem Compounding berfungsi, kami mahu mereka terus rasa, ‘Saya sendiri boleh buat ubat melalui minigame ini,’” kata Hosoi.

Namun, sistem ini turut menyembunyikan lapisan analitikal. Sebarang penambahan ramuan akan mengalihkan nilai pada paparan berbentuk radar chart; menyelaraskan graf tersebut agar bertepatan dengan profil sasaran akan menghasilkan ubat bergred lebih tinggi.
Pada peringkat awal, minigame berfungsi membantu menaikkan kualiti bancuhan ke tahap asas sementara pemain membiasakan diri dengan reaksi herba berlainan.
Demi memastikan proses ini tidak terasa berulang, pemain diberi kelonggaran untuk melangkau minigame sebaik sahaja memahami asasnya, lantas mengalihkan tumpuan kepada formula dan sinergi bahan.

Istimewanya, mekanik Compounding tidak sekadar disempitkan fungsinya sebagai alat pembekal bahan bukti, bahkan dijalin ke seluruh pelosok permainan. Pengarah Atsuri Takinami menegaskan bahawa ubat bancuhan Maomao memainkan peranan penting semasa sesi deduksi, cerita sampingan, serta penyelesaian pelbagai quest.
Gred ubat mencorakkan hasilnya secara langsung: siasatan tertentu menetapkan had kualiti minimum sebelum siasatan boleh diteruskan, penawar bermutu tinggi menjanjikan pulangan quest yang lebih lumayan, manakala ramuan serba mewah mampu melonjakkan nilai affinity watak.
Siasatan dan Deduksi
Sebaik sahaja melepaskan lesung ubatnya, Maomao terus terheret ke pergelutan politik istana. Kitaran siasatan memerlukan ketelitian tinggi, biarpun pasukan pengarah menetapkan sempadan yang jelas tentang tahap ketatnya pengendalian setiap kes.

Sebagai ketetapan asas, Takinami menjelaskan bahawa semua bukti wajib di tempat kejadian mesti dikumpulkan sebelum seseorang dibenarkan beralih ke peringkat analisis dan deduksi. Pun begitu, game ini menyelitkan mekanik yang diberi nama “The Apothecary’s Decision.”
Ada petunjuk sampingan yang berselerak di persekitaran. Jika petunjuk ini berjaya dikesan, pemain memperoleh hak membuat keputusan penting yang akan menentukan pengakhiran episod. Sebaliknya, sekiranya bukti tambahan ini terlepas pandang, peluang membuat keputusan terbatal dan plot akan bergerak terus menuju ke penamat lalai.

Ujian siasatan ini akan memerah daya penaakulan, dengan Takinami memaklumkan bahawa tahap kesukarannya disusun bertingkat; bermula santai pada fasa awal sebelum bertukar rumit pada babak-babak akhir.
Memandangkan sebahagian besar teka-teki berdasarkan helah saintifik dan logik farmaseutikal, ciri bantuan disediakan bagi mereka yang berdepan kesusahan merungkai teka-teki mahupun menguasai Compounding.

Menariknya, bantuan tersebut tidak dihidangkan dalam bentuk menu petunjuk klise, sebaliknya berkait dengan eksplorasi peta. Rondaan di setiap kawasan mampu membuahkan item istimewa yang meringankan kerumitan resipi Compounding atau melicinkan laluan deduksi.
Mereka yang yakin dengan keupayaan berfikir boleh terus merungkaikan misteri secara langsung, manakala pemain yang memerlukan sokongan tambahan boleh memanfaatkan kelebihan mekanik hasil daripada jelajah peta.
Langkah ini penting kerana kejatuhan meter ‘Trust’ ke paras sifar menyebabkan kes tergantung tanpa penyelesaian… keadaan yang disahkan oleh Onishi setara dengan Game Over.
Pilihan Moral Pemain dan Maksud Sebenar ‘The False Imperial Brother’
Meskipun The False Imperial Brother menyelitkan insiden baharu seperti “Five Mysteries” dan “Five Curses,” aspirasi naratif jauh melangkaui teka-teki terpencil. Onishi merujuk tema utama di laman web rasmi:
“Ubat kehidupan itu, akan membisikkan racun.”

Memelihara jiwa naskhah asal merupakan tugasan utama pihak produksi, di samping memastikan jalan cerita mampu berdiri megah sebagai sebuah karya berasingan.
“Bagi kami, perkara paling penting bukanlah sekadar memberikan rasa puas apabila pemain berjaya membongkar kebenaran,” ulas Onishi.
“Apabila pemain menamatkan jalan cerita, kami mahu ada kesan mendalam yang tertinggal dalam diri mereka. Daripada sekadar mahu pemain ‘berseronok,’ kami mereka bentuk cerita ini dengan harapan mereka benar-benar merasai emosi daripada jalan ceritanya.”

Plot asal dihasilkan sendiri oleh Hyuganatsu. Berpandukan asas tersebut, pasukan pembangun menyusun kepelbagaian konklusi senario, sengaja diperincikan agar khalayak berfikir sedalam-dalamnya tentang apakah penyelesaian yang paling adil.
Takinami menjelaskan bahawa walaupun tindakan Maomao mampu mencorak kesudahan setiap bab, pilihan ini tidak akan merombak arah naratif utama secara drastik.
Plot teras kekal sama, disokong oleh lambakan side quest, interaksi antara watak, dan kandungan sampingan yang menyelamatkan pengalaman bermain daripada terasa terkongkong pada satu garis lurus.

Judul kecil game ini turut mencuri tumpuan bagi pemerhati jalan cerita. Pada pandangan kasar, The False Imperial Brother menggambarkan kelibat sosok bertopeng yang menimbulkan huru-hara.
Walau bagaimanapun, pembaca novel tegar pasti memahami bahawa persoalan adinda maharaja itu “benar atau palsu” menyentuh rahsia paling keramat dalam karya asal. Ditanya sama ada tajuk tersebut sarat dengan pelbagai makna, Onishi memilih untuk berhati-hati:
“Tajuk ini hanya dimuktamadkan selepas perbincangan mendalam bersama Hyuganatsu dan pihak terlibat. Oleh itu, seperti yang mungkin disedari sesetengah daripada anda, kami memilih tajuk The False Imperial Brother dengan kesedaran penuh bahawa perkataan tersebut mengandungi elemen yang amat penting.”
Menghidupkan Dunia Anime dalam 3D
Bagi menjamin dunia permainan nampak tulen di mata pencinta siri anime, pembangun menyeimbangkan antara persekitaran yang sudah dikenali dengan wilayah baharu.
Takinami mendedahkan bahawa kira-kira 60% latar permainan berasal daripada lokasi daripada naskah original, manakala baki 40% merupakan zon gathering baharu yang diwujudkan khusus untuk game ini.

Bagi memelihara visual, GUST berganding bahu dengan TOHO berpandukan bahan seni latar studio animasi supaya zon baharu menyatu secara harmoni dengan persekitaran asal.
Bahkan, sebahagian aset 3D sebenar daripada anime turut diterapkan ke dalam pembangunan di bawah pemantauan TOHO, menjamin kelancaran transisi antara kawasan tanpa mencacatkan keasyikan.

Penjelmaan watak ke dalam format 3D penuh memerlukan penelitian rapi, lebih-lebih lagi apabila berdepan pakaian era silam yang merangkumi jubah labuh, lengan baju panjang, dan sutera beralun.
Bagi menangani kekangan ini, Takinami berkongsi bahawa studio mereka mereka cipta animasi khusus serta menambah struktur ‘bone rig’ tersendiri pada setiap watak demi mengekang isu clipping dan mengekalkan ayunan kain yang realistik.

Dari sudut estetika, tenaga kreatif bertungkus-lumus menterjemahkan keunikan visual siri berkenaan.
“Satu aspek yang kami beri penekanan khusus pada model watak ialah kesan yang kami panggil secara dalaman sebagai rim lighting, iaitu biasan cahaya di sepanjang sisi tubuh watak,” jelas Takinami.
“Kami menggunakan kira-kira dua warna berbeza untuk rim lighting secara serentak, bertujuan menghasilkan semula pencahayaan warna yang kaya dan kompleks seperti dalam visual utama animenya.”
Berbekalkan teknik gradien rambut yang halus serta kawalan bayang-bayang pada paras wajah dan tubuh, model yang terhasil mencerminkan keanggunan versi animasinya.
Mengambil kira latar belakangnya sendiri dalam bidang pencahayaan dan seni alam sekitar, Takinami berharap pemain tidak melepaskan peluang menghayati atmosfera di seluruh ruang persekitaran.

Menyentuh soal ‘character customization’, Takinami menjelaskan bahawa gaya penampilan Jinshi yang berkaca mata serta berambut ikat merupakan samaran bagi misi menyusup ke kota dan zon penjelajahan, bukannya kostum yang boleh ditukar ganti sesuka hati.
Namun begitu, beliau membayangkan bahawa variasi penampilan, termasuk tawaran DLC, dalam pertimbangan pihak studio dengan butiran akan dikongsi nanti.
Pesanan Akhir kepada Peminat
Mengakhiri perbincangan, barisan pembangun menyampaikan pesanan buat khalayak yang menantikan game ini.
Hosoi meluahkan penghargaan buat penyokong GUST. Beliau mengaku bahawa penglibatan semula dalam adaptasi IP anime selepas tempoh panjang (serta percubaan pertama menerokai genre pengembaraan deduksi) merupakan perubahan yang mengujakan.
Pengalaman teknikal dan kepakaran visual yang dihimpun selama ini disifatkan bergabung kemas dengan struktur misteri, memberi keyakinan bahawa produk akhir ini mampu memikat hati komuniti pemain.

Takinami pula menekankan bahawa di sebalik kilauan grafiknya, tersimpan intipati sebuah game misteri yang menghargai ketajaman minda Maomao.
Biarpun kes-kes yang disajikan merangkumi selok-belok sains dan formula perubatan teknikal, pemain masih berupaya mengikuti alur logik secara bersahaja melalui eksperimen simulasi dalam sistem Compounding berserta panduan jelas dalam permainan.

Sebagai penutup, Onishi menyifatkan The False Imperial Brother sebagai penanda aras penting bagi TOHO Games. Komitmen dicurahkan demi memuaskan hati peminat tegar, pada masa sama membuka gerbang mesra kepada pemain baharu.
Harapan beliau, sesiapa jua yang memegang controller akan merasai keajaiban serupa sebagaimana pembaca novel dan penonton anime semasa pertama kali menyelami naskhah ini.
Game ini akan keluar pada awal tahun 2027 bagi PlayStation 5, Nintendo Switch, Nintendo Switch 2, dan PC melalui Steam. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
![[TGS2026] The Apothecary Diaries: The False Imperial Brother Bukan Novel Visual, Tapi Game Eksplorasi Deduksi Yang Bijak](https://cdn.gamersantai.com/2026/09/The-Apothecary-Diaries_GAME-QA_FI-750x375.jpg)








Discussion about this post