Kami berpeluang mencuba demo hands-on SILENT HILL: Townfall di PS5 baru-baru ini, meluangkan masa sekitar tiga jam setengah untuk menghabiskan sesi pandang pertama pada tetapan Normal difficulty.
Bagi peminat genre seram yang rindukan babak mencemaskan daripada francais ikonik ini, Townfall nampaknya akan menyajikan pengalaman yang sangat istimewa.

Dibangunkan oleh studio Screen Burn Interactive dari Glasgow (sebelum ini dikenali sebagai No Code) dan diterbitkan bersama Konami serta Annapurna Interactive, game ini membawa francais ke arah yang serba kelainan.
Diarahkan oleh pasangan adik-beradik Jon dan Graeme McKellan, Townfall mengambil tempat di Scotland pada tahun 1996, untuk menawarkan pengalaman first-person survival horror yang penuh dengan suspen.
Trauma Di St. Amelia

Jalan cerita tertumpu Simon Ordell, seorang lelaki yang terperangkap dalam selok-belok misteri. Sesi playthrough kami merangkumi dua bahagian. Ia bermula pada fasa awal cerita apabila Simon tiba di pekan pesisir pantai terpencil, St. Amelia, untuk mencari seorang wanita misteri.
Demo ini kemudian meloncat ke babak seterusnya di mana Simon perlu melalui lorong-lorong pekan yang berbahaya demi sampai ke Pusat Perubatan tempatan.

Kenapa dia jejakkan kaki ke St. Amelia dan apakah kaitannya dengan pekan ini menjadi persoalan utama yang perlu kita bongkarkan.
Survival Bermakna Rasa Tidak Berdaya
Walaupun Silent Hill: The Short Message pernah mencuba perspektif first-person ala walking simulator, Townfall merupakan judul utama pertama dalam francais ini yang menggabungkan sudut pandang first-person bersama mekanik combat dan stealth.

Sama seperti protagonis lain dalam game Silent Hill, Simon pada mulanya memang rasa lemah dan terdedah. Tanpa sebarang melee weapon seperti papan kayu atau paip besi, kita langsung tidak mampu melawan, lantas menimbulkan rasa menjadi mangsa.
Walaupun kita berjaya jumpa senjata, tahap ketahanan (durability) masih menjadi isu utama. Setiap hayunan dan “block” akan menghakis ketahanan senjata sehingga ia akhirnya berkecai di tangan.

Penggunaan senjata api memang memberi kelebihan jarak jauh, tetapi peluru pistol tersangatlah terhad. Lebih mencabar lagi, musuh di St. Amelia cukup liat untuk ditumbangkan; kita memerlukan sekurang-kurangnya dua tembakan headshot tepat atau empat tembakan pada badan untuk menewaskan seekor musuh.
Kekurangan bekalan ini memaksa pemain untuk berfikir dua kali sebelum bertindak, menjadikan combat sebagai jalan terakhir apabila sudah ikhtiar segala cara lain.
Stealth, Gangguan, dan Suspen
Disebabkan combat terlalu berisiko, Townfall meletakkan mekanik stealth sebagai fokus utama untuk terus hidup. Peta permainan menyediakan pelbagai lokasi bersembunyi seperti di dalam almari, membolehkan kita menyusup masuk dan menunggu sehingga makhluk yang berkeliaran lalu pergi.

Sekiranya strategi stealth masih belum cukup, kita perlu memanfaatkan unsur persekitaran. Pemain boleh mengambil botol kaca atau bata yang bersepah lalu membalingnya ke arah lain untuk memancing musuh keluar dari laluan.
Selain itu, menghidupkan radio berhampiran dapat menghasilkan gangguan bunyi yang memberikan ruang kepada kita untuk melepaskan diri secara senyap.

Menariknya, demo ini langsung tidak bergantung pada jump scare murahan, sebaliknya membina rasa cemas melalui visual, suasana misteri, serta perasaan tidak selamat pada bila-bila masa.
CRTV Adalah Naik Taraf Kepada Radio Klasik

Peminat tegar Silent Hill pasti sudah terbiasa dengan bunyi radio berdesir yang menjadi identiti IP ini. Townfall memperkenalkan evolusi baharu menerusi CRTV; sebuah televisyen mudah alih ala 1990-an.
CRTV bertindak sebagai alat navigasi serta radar ikhtiar hidup. Skrin kecilnya boleh menangkap gangguan visual (static) untuk mendedahkan kedudukan musuh berhampiran, membolehkan kita mengesan ancaman walaupun mereka berada di sebalik dinding atau tempat perlindungan.

Selain mengesan musuh, kita juga boleh menala gelombang analog yang tidak stabil untuk mendapatkan petunjuk bagi meneruskan perjalanan, di samping mendengar klip audio misteri serta cebisan kisah yang membongkar rahsia pekan tersebut.
Teka-Teki Naratif dan Pelbagai Ending

Teka-teki dalam Townfall boleh dikatakan agak logik, mampu diselesaikan, dan tidak terlalu rumit sehingga menyakitkan kepala. Daripada menjadi penghalang perjalanan, setiap teka-teki dirangka agar sepadan dengan jalan cerita.
Setiap kali berjaya menyelesaikannya, pemain akan membongkarkan cebisan masa lalu Simon untuk memahami keadaan mentalnya.

Pihak Screen Burn Interactive turut mengesahkan bahawa SILENT HILL: Townfall akan menawarkan lima penamat berbeza, termasuk penamat rahsia. Setiap tindakan dan keputusan kita sepanjang bermain akan menentukan kesudahan permainan.
Jadi ini memberi alasan buat kita untuk mengulangi semula permainan jika ingin faham keseluruhan plot.

Gamee ini akan dilancarkan pada 24 September 2026 di PlayStation 5 dan PC menerusi Steam serta Epic Games Store. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
(Semua imej yang dikongsi di atas datang daripada versi permainan yang masih dalam proses pembangunan.)









Discussion about this post