Penganjur gamescom asia x Thailand Game Show telah mengumumkan maklumat terkini bagi edisi 2026, dengan mengesahkan tokoh gaming John Romero sebagai penceramah utama seiring dengan perluasan kawasan acara.
Acara ini akan berlangsung di Pusat Konvensyen Negara Queen Sirikit (QSNCC), Thailand dari 29 Oktober hingga 1 November 2026. Selepas kejayaan edisi sulung tahun lalu yang menarik lebih 206,000 pengunjung dari 95 buah negara, ruang acara telah diperluas sebanyak 20% bagi menampung permintaan yang semakin meningkat. Zon hiburan awam akan memenuhi empat dewan utama, menjadikan keseluruhan ruang pameran melebihi 35,000 meter persegi.
Segmen perniagaan bagi acara ini dijadualkan pada 29 dan 30 Oktober, mengumpulkan penerbit, pembangun, dan pelabur untuk sesi rangkaian serta perbincangan panel.
Persidangan B2B bakal diterajui oleh John Romero, pengasas bersama id Software yang juga pencipta bersama game ikonik seperti Doom, Quake, dan Wolfenstein 3D. Sesi ucaptama beliau yang bertajuk “Why We Still Make Games” akan mengupas perjalanan kerjayanya selama empat dekad dalam pembangunan permainan video; termasuk cabaran arus perubahan industri, mengatasi rintangan kreatif, serta dorongan utama yang membuatkan para pembangun terus bersemangat.
Romero memimpin barisan lebih 70 penceramah dari 20 buah negara. Antara tokoh industri lain yang turut disahkan termasuklah wakil daripada Roblox, DigixArt, AdHoc Studio, Gameloft, Tencent, Rovio Entertainment, dan Godot Foundation. Inilah senarai penuh.
Zon perniagaan turut menampilkan pavilion negara dari Austria, Jerman, Filipina, Korea Selatan, Sepanyol, dan Thailand. Antara sorotan lain termasuk pertandingan pitching daripada pembangun, sesi “investor matchmaking”, serta Thailand Game Talent Showcase yang mengetengahkan karya pelajar tempatan.
Zon hiburan awam yang dibuka dari 30 Oktober hingga 1 November pula akan mengenalkan pelbagai game dan perkakasan terbaharu. Jenama serta penerbit terkemuka yang telah disahkan termasuk Penaja Platinum Synnex, Bandai Namco Entertainment, CAPCOM, Nintendo, SEGA, The Pokémon Company, Razer Game Services, 4Divinity, dan GRYPHLINE. Pengunjung turut berpeluang mencuba game popular seperti Goddess of Victory: NIKKE dan FC Online, di samping demonstrasi perkakasan daripada AMD dan SanDisk.
Edisi kali ini turut memperkenalkan ACE Bangkok, sebuah platform budaya pop yang diintegrasikan secara rasmi di dalam ruang pameran. ACE Bangkok meluaskan liputan acara melangkaui dunia gaming dengan menyajikan kandungan berkaitan anime, manga, komik, filem, muzik, dan budaya pencipta kandungan.
Selain itu, pengunjung dapat menikmati persembahan pentas secara langsung, kejohanan esports, sesi meet-and-greet bersama pempengaruh, pertandingan cosplay, serta zon pameran khas untuk pembangun indie.
Tiket bagi gamescom asia x Thailand Game Show 2026 sudah boleh dibeli menerusi laman web rasmi di gamescom.asia.









Discussion about this post