Selepas pengumuman beberapa acara menarik di Malaysia menerusi sidang media Pokémon 30th Anniversary Kuala Lumpur, kami berkesempatan mengadakan sesi Q&A bersama Pegawai Korporat The Pokémon Company, Susumu Fukunaga, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KLCC Sdn Bhd, Datuk Sr Mohd. Salem Kailany.
Perbualan ini menyelami rasional pemilihan Malaysia sebagai lokasi jelajah serantau, falsafah di sebalik francais berusia tiga dekad ini, serta persoalan paling hangat dalam kalangan peminat Malaysia: mungkinkah Pokémon Center kekal bakal dibuka di sini?

Berikut adalah intipati menarik daripada perbincangan kami.
Mengapa Kuala Lumpur Dipilih untuk Pelancaran Global

Memandangkan kempen PokéXciting! bakal meneruskan jelajahnya ke Taipei, Singapura, Manila, dan Bangkok, ramai tertanya-tanya mengapa Kuala Lumpur diberi penghormatan sebagai lokasi pertama. Menurut Fukunaga, keputusan ini didorong oleh masa yang tepat, lokasi yang strategik, serta jalinan kerjasama tempatan yang utuh.
Beliau menjelaskan, selepas menyelaraskan jadual dengan semua negara yang terlibat, Kuala Lumpur merupakan lokasi pertama yang bersedia dari segi ketersediaan masa.
Lebih daripada itu, faktor lokasi itu sendiri memainkan peranan penting. Latar belakang Menara Berkembar Petronas, dipadankan dengan keluasan serta kepelbagaian fasiliti di KLCC Park, menjadikannya ruang yang sempurna untuk menganjurkan pelbagai jenis acara.
“Ini adalah peluang keemasan untuk menunjukkan kepada negara lain penanda aras sambutan ulang tahun ke-30 Pokémon,” jelas Fukunaga.
Beliau turut merakamkan penghargaan ikhlas kepada pasukan KLCC atas sokongan mereka. Tambahnya, kesediaan KLCC untuk memenuhi wawasan The Pokémon Company telah melancarkan keseluruhan proses perancangan, dan tanpa kerjasama tersebut, projek berskala besar ini mustahil dapat direalisasikan mengikut jadual.
Menarik Minat Peminat Tidak Kira Generasi

Pokémon dan KLCC berkongsi satu persamaan: kedua-duanya telah mencipta fenomena selama hampir tiga dekad. Apabila ditanya bagaimana mereka terus kekal relevan tanpa bergantung pada elemen nostalgia, kedua-dua tokoh menekankan kepentingan evolusi berterusan.

Fukunaga menggariskan strategi The Pokémon Company yang sentiasa berinovasi dalam menawarkan variasi kandungan. Beliau mengambil contoh game Pokémon Pokopia yang menampilkan gaya gameplay jauh berbeza daripada format RPG tradisional.
Ini membuktikan komitmen syarikat untuk meneroka pelbagai pengalaman baharu yang mampu menarik minat bukan sahaja peminat setia, malah khalayak yang lebih luas.

Dari perspektif penyedia lokasi, Datuk Salem turut berkata. Beliau menegaskan bahawa KLCC sentiasa melalui proses pembaharuan agar seiring dengan peredaran zaman.
Menurutnya, acara budaya pop memainkan peranan penting dalam menyatukan pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus melonjakkan status kawasan tersebut sebagai destinasi gaya hidup bagi semua peringkat umur.
“Ambil contoh penganjuran KL World Cup di KLCC Park hujung minggu lalu. Kami melihat keluarga yang membawa bayi, golongan belia, warga emas, hinggalah peminat kecergasan berkumpul di satu tempat,” ujar Datuk Salem.
Matlamat utamanya adalah untuk memastikan KLCC terus menjadi ruang yang inklusif di mana setiap individu sentiasa mempunyai alasan untuk berkunjung.
Usaha ke Arah Pembukaan Pokémon Center Kekal di Malaysia

Pembukaan pop-up store Pokémon Center sudah tentu menjadi tarikan utama, namun para peminat tidak sabar untuk tahu sama ada sebuah kedai kekal ada dalam perancangan.
Fukunaga memberikan jawapan terbuka, menyatakan bahawa fokus semasa syarikat adalah untuk memastikan peminat di Malaysia sekadar menikmati pengalaman di pop-up store tersebut terlebih dahulu. Meskipun begitu, beliau memberikan sedikit bayangan positif:
“Sekiranya pihak KLCC menyuarakan hasrat untuk menjadikannya premis tetap, perkara itu pasti akan dipertimbangkan pada masa hadapan.”

Menyahut cabaran tersebut, Datuk Salem menegaskan bahawa sokongan peminat dan peranan media adalah kunci utama untuk merealisasikan impian itu.
“Liputan media sangat penting dalam membina keyakinan The Pokémon Company,” jelasnya. “Kita perlu buktikan bahawa rakyat Malaysia memang mahukan kehadiran mereka. Hadir ke pop-up store, berbelanja, dan sertai aktiviti yang dianjurkan—semua ini akan memberi isyarat kuat untuk meyakinkan mereka terus kekal di sini.”

Q&A ini turut menyentuh kemungkinan rekaan khusus untuk Pokémon Center di Malaysia. Jika kedai di Singapura sinonim dengan watak Lapras, kami bergurau mencadangkan Ditto sebagai maskot yang menyeronokkan untuk Malaysia.
Fukunaga menyambut baik idea tersebut dan berjanji akan menyampaikannya kepada pasukan rekaan Pokémon Center, walaupun tidak dapat menjanjikan sebarang jaminan.

Pada masa yang sama, Datuk Salem menarik perhatian tentang ketelitian pasukan kreatif Jepun yang menambah elemen Kuala Lumpur dalam karya mereka.
Merujuk kepada paparan grafik unik yang memaparkan Super Mario bersebelahan Menara Berkembar Petronas ketika pembentangan, Datuk Salem yakin dengan potensi kolaborasi masa hadapan.
Sambil menyerahkan urusan rekaan watak kepada pasukan kreatif, beliau berikrar bahawa KLCC akan berusaha keras agar Pokémon Center kekal bertapak di sini, jauh selepas tempoh kempen pop-up itu berakhir.
Perkembangan Terkini Mengenai Pokémon RUN dan TCG

Walaupun sidang media mengesahkan acara Pokémon RUN, butiran khusus seperti yuran penyertaan, laluan larian, dan tarikh pendaftaran masih dirahsiakan. Melihat semangat peminat, Fukunaga memberi jaminan bahawa pihak penganjur sedang merangka persiapan rapi.
Butiran lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat, dan beliau berharap para peserta dapat bersabar menantikan perkembangan seterusnya.

Harapan yang sama turut dikongsi oleh komuniti Trading Card Game (TCG) di Malaysia yang mendambakan perkembangan baharu, melangkaui pengumuman Premier Ball League baru-baru ini. Mengakui kedudukan Malaysia sebagai salah satu pasaran TCG terbesar di dunia, Fukunaga amat memahami semangat komuniti tersebut.
Beliau menjelaskan, walaupun fokus utama sidang media pada hari itu tertumpu kepada aktiviti sambutan ulang tahun ke-30, The Pokémon Company tidak pernah melupakan arena kompetitif TCG tempatan.
Beliau menasihati para pemain agar sentiasa memantau laman web rasmi mereka, dengan janji bahawa maklumat lebih terperinci mengenai acara TCG bakal menyusul kelak.








Discussion about this post