Selepas pengumuman besar di Xbox Games Showcase, Sega dan Atlus secara rasmi telah mengumumkan tarikh pelancaran untuk Persona 4 Revival, sebuah remake bagi RPG popular tahun 2008, Persona 4. Game ini akan membuat pelancaran global pada 18 Februari 2027.
Persona 4 Revival akan tersedia di platform Xbox Series X|S, PlayStation 5, Windows, dan Steam. Selain itu, pelanggan Xbox Game Pass (Ultimate) dan PC Game Pass bakal mendapat akses kepada game ini pada hari pertama pelancaran. Pra-tempah digital sudah bermula di Microsoft Store, manakala pra-tempah untuk PlayStation 5 dan Steam akan mula dibuka hari ini.
Memodenkan Sebuah Karya Klasik

Persona 4 pertama kali dikeluarkan pada tahun 2008 untuk PlayStation 2, diikuti oleh versi tambah baiknya, Persona 4 Golden, di PlayStation Vita pada tahun 2012. Persona 4 Revival membina semula pengalaman klasik ini sepenuhnya menggunakan Unreal Engine, lantas membawakan persembahan visual, user interface, dan gameplay yang setaraf dengan judul-judul terkini Atlus, iaitu Persona 5 Royal dan Persona 3 Reload.

Di samping babak cerita yang kini sepenuihnya dilakonkan suara, versi remake turut menampilkan runut bunyi baharu. Ryota Kozuka daripada Atlus Sound Team mengetuai bahagian komposisi dengan memperkenalkan susunan muzik klasik yang digubah semula serta lagu-lagu baharu. Penyanyi terkenal Shiori Sasaki pula menggalas tanggungjawab sebagai vokalis utama untuk remake ini, menggantikan vokalis asal, Shihoko Hirata.
Mekanik Combat Baharu dan Penambahbaikan

Walaupun Persona 4 Revival mengekalkan sistem turn-based combat dan mekanik menyerang kelemahan elemen musuh sama seperti game asal, Atlus memperkenalkan beberapa penambahbaikan taktikal untuk memodenkan lagi gameplay:
- Baton Pass: Mekanik yang dibawa semula daripada Persona 5. Membolehkan pemain yang berjaya mencetuskan “1 More” (dengan menyerang kelemahan elemen musuh) menyerahkan giliran tambahan tersebut kepada rakan sepasukan. Ini memudahkan pemain mengatur strategi serangan kelemahan musuh secara berkumpulan.
- Blowback Mechanic (“Futtobashi”): Apabila bertarung melawan beberapa Shadow sekali gus, serangan ke atas musuh yang sedang mengalami ‘status ailment’ berpeluang untuk mencetuskan kesan blowback. Ini akan melantingkan musuh tersebut ke arah musuh-musuh lain di medan lawan, memberikan damage tambahan dan menyebarkan kesan status ailment berkenaan.
- Bokosuka Rush (All-Out Rush): Mekanik serba baharu ini akan aktif apabila ‘battle gauge’ khas telah penuh. Ia membolehkan pemain melakukan serangan berturut-turut tanpa sebarang kos skill, mengabaikan resistance musuh, dan melakukan baton pass tanpa had, sebelum diakhiri dengan serangan “Bokosuka Finish”.
- Guard Action: Pemain yang menerokai dungeon di dalam TV World boleh menggunakan ‘defensive guard’ untuk melindungi diri daripada ‘ambush’ secara tiba-tiba oleh pihak Shadow.

Misteri Pekan Inaba

Kisah Persona 4 berlatarkan sebuah pekan kecil di kawasan luar bandar Jepun bernama Inaba. Kehidupan aman di pekan tersebut mula digemparkan dengan siri pembunuhan kejam lagi misteri selepas protagonis berpindah ke rumah bapa saudaranya. Mayat mangsa-mangsa pembunuhan ditemui tergantung terbalik pada bangunan dan menara pemancar ketika cuaca berkabus di waktu pagi.

Pada masa yang sama, khabar angin mengenai “Midnight Channel” mula menular dalam kalangan pelajar sekolah menengah tempatan. Menurut khabar angin tersebut, jika seseorang merenung skrin televisyen yang ditutup pada waktu tengah malam ketika hari hujan, mereka akan dapat melihat ‘soulmate’ mereka. Ketika protagonis dan rakan sekelasnya menyiasat perkara ini, mereka menemui sebuah dunia alternatif berbahaya yang diselimuti kabus tebal di sebalik skrin TV. Dengan berhadapan dengan konflik dan ketakutan dalaman diri sendiri, mereka berjaya membangkitkan kekuatan yang dikenali sebagai “Persona” untuk menentang raksasa “Shadow” yang menghuni dunia tersebut.

Watak-watak utama termasuklah:
- Protagonis: Seorang pelajar pertukaran yang membangkitkan Persona pertamanya, Izanagi.


- Yosuke Hanamura: Rakan sekelas protagonis yang ceria dan sentiasa memberi sokongan, bertarung bersama Personanya, Jiraiya.


- Chie Satonaka: Seorang pelajar perempuan yang sangat meminati filem kung fu dan makanan berasaskan daging. Dia bertarung menggunakan Personanya, Tomoe.


- Yukiko Amagi: Rakan sekelas protagonis dan anak kepada pemilik rumah tumpangan tradisional Amagi. Dia dibantu oleh Personanya, Konohana Sakuya.


- Marie: Seorang gadis misteri yang ditemui di Inaba. Walaupun kelihatan dingin, dia sebenarnya seorang yang peramah, penuh rasa ingin tahu, dan mempunyai hobi rahsia yang disimpan sendiri.

Edisi, Harga, dan DLC
Atlus telah mendedahkan beberapa pilihan digital dan fizikal bagi game remake ini. Versi digital boleh dibeli dalam tiga kategori pilihan:
- Standard Edition: Merangkumi game asas. Pra-tempah digital sebelum pelancaran rasmi akan menerima bonus pra-tempah berupa Persona 4 Revival: P3R & P5R Extra BGM Set.
- Digital Deluxe Edition: Mengandungi game asas, Velvet Outfit Set, serta empat set DLC Persona yang membolehkan pemain menyeru dan menggabungkan Persona klasik daripada Persona 3 Reload dan Persona 5 Royal (seperti Thanatos, Messiah, Satanael, Loki, dan Hereward).
- Digital Premium Edition: Menyediakan kesemua kandungan versi Deluxe berserta set penuh BGM dari Persona 3 Reload dan Persona 5 Royal untuk ditukar mengikut cita rasa pemain semasa bermain.
Bagi pengumpul edisi fizikal di PlayStation 5, Sega turut menawarkan dua edisi terhad:

- Limited Box: Merangkumi salinan fizikal game, kotak pengumpul dengan reka bentuk khas daripada pereka Shigenori Soejima, sarung telefon pintar bertemakan Midnight Channel, baju-T eksklusif, buku seni setebal 48 halaman, serta set digital Velvet Costumes Set.
- Izanagi Edition / Collector’s Edition: Menampilkan kesemua kandungan di dalam Limited Box, ditambah pula dengan patung Protagonis bersama Persona pertamanya, Izanagi, yang sangat terperinci.
Siaran Langsung Akan Datang
Para peminat yang tidak sabar untuk melihat lebih banyak kandungan game remake ini boleh menonton acara Persona 4 Revival Broadcast Livestream. Akan berlangsung pada 19 Jun 2026, siaran langsung ini akan diadakan di YouTube rasmi Atlus West. Produser kreatif Kazuhisa Wada akan mengetuai siaran tersebut untuk berkongsi maklumat lebih serta gameplay terbaharu sebelum pelancaran rasmi pada awal tahun 2027.









Discussion about this post