Pembangun S-GAME telah mengumumkan penangguhan pendek untuk game wuxia action-RPG akan datang, Phantom Blade Zero. Asalnya dijadualkan untuk keluar pada 9 September 2026, game ini kini ditetapkan untuk dilancarkan pada 29 Oktober 2026.
Judul ini akan tersedia di PlayStation 5 dan PC melalui Steam serta Epic Games Store, di mana versi konsolnya bertindak sebagai eksklusif masa terhad untuk PS5.
Perkembangan ini dikongsikan oleh CEO dan pengarah S-GAME, Liang Qiwei (lebih dikenali sebagai “Soulframe”) sejurus selepas teaser trailer ditayangkan semasa siaran State of Play.
Menurut Liang, penundaan selama 50 hari itu diputuskan bagi memastikan pasukan mereka dapat memberikan pengalaman yang cantik dan kemas pada hari pertama pelancaran, berbanding bergantung kepada kemas kini pasca-pelancaran.
Sepanjang beberapa bulan kebelakangan ini, studio tersebut telah mengemas kini kandungan game dan memfokuskan usaha pada bahagian-bahagian penting. S-GAME akan menggunakan masa tambahan ini untuk menaik taraf model watak dan memperbaiki semula beberapa persekitaran demi memenuhi standard kualiti.
Liang turut menyentuh tentang reka bentuk visual game tersebut. Beliau menyatakan bahawa pihak studio telah memberikan usaha tambahan bagi memastikan atmosfera fantasi gelap dan intensiti gameplay kekal memukau, walaupun dimainkan pada perkakasan yang tidak menggunakan fungsi ray tracing.
Walaupun ray tracing disokong sepenuhnya dan mempertingkatkan kualiti pantulan serta bayang-bayang, keutamaan mereka adalah untuk memastikan identiti visual utama dapat dinikmati dengan baik oleh pelbagai lapisan pemain.

Di sebalik penundaan ini, pihak studio mempunyai perancangan yang padat untuk tahun ini. Pra-tempah akan dibuka dalam beberapa bulan akan datang, diiringi dengan gameplay baharu. Selepas fasa pra-tempah bermula, S-GAME akan menganjurkan satu State of Play khas secara berasingan.
Siaran selama 15 hingga 20 minit ini akan menawarkan gambaran lebih mendalam tentang dunia permainan, mekanik combat, penerokaan, serta sistem perkembangan watak.

Dibangunkan menggunakan Unreal Engine 5, Phantom Blade Zero berlatarkan dunia fantasi gelap bertemakan “kung-fu punk.” Pemain akan memegang watak sebagai Soul, seorang pembunuh upahan elit yang difitnah atas pembunuhan ketua organisasinya.
Dengan jantung yang rosak dan hanya mempunyai baki 66 hari untuk hidup, Soul perlu memburu mereka yang bertanggungjawab dan membongkar konspirasi besar sebelum masanya tamat.









Discussion about this post