Dalam perkembangan besar yang dijangka mengubah suasana esports di Asia Tenggara, beberapa pemain bintang Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dari Filipina telah mengambil keputusan berani untuk beralih ke Honor of Kings.
Kumpulan pemain legenda ini, yang diketuai oleh figura terkenal, AkosiDogie, turut menampilkan Renejay “Renejay” Barcarse, Tristan “Yawi” Cabrera, John Paul “H2WO” Salonga, serta bekas pemain gold lane Minana EVOS, Oscar “Sumpak” Romero.
AkosiDogie, yang dikenali sebagai antara nama paling besar dalam komuniti esports SEA, meluahkan rasa teruja atas penyatuan semula rakan-rakan seperjuangannya semasa zaman Nexplay EVOS. “Ini benar-benar membawa nostalgia bagi saya — saya gembira kerana kami kembali sebagai satu pasukan,” katanya.
“Tapi kali ini, misi kami berbeza. Ia bukan hanya tentang menang — ia tentang mengangkat generasi baru pemain Honor of Kings dan membantu mereka mencapai pentas profesional. Renejay, H2, Yawi, Sumpak… awak semua sentiasa jadi keluarga saya. Jom kita lakukannya!”

Pasukan ini bukan calang-calang… mereka cukup dikenali dengan persembahan yang mengagumkan dan sokongan peminat yang kuat ketika bersama MLBB. Sudah biasa dengan pentas berprestij dan saingan sengit di Filipina dan seluruh dunia, mereka kini membawa bakat, koordinasi, dan aura bintang ke dalam dunia Honor of Kings.
Peralihan ini bukan sekadar menukar permainan; ia membawa makna lebih besar iaitu permulaan baru yang memadukan veteran lama dengan potensi baharu dalam dunia esports Asia Tenggara.

Ketika mereka mula menyesuaikan diri dengan persaingan dalam Honor of Kings, pasukan ini dilihat bersedia untuk mencipta impak besar serta memberi inspirasi kepada generasi akan datang. Adakah mereka akan menjadi pencabar hebat kepada pasukan Malaysia yang cukup dikenali? Kita lihat nanti.
@gamersantaimy
Discussion about this post