Anda suka coklat? Kalau anda suka, anda mesti mengetahui tentang filem yang diinspirasikan daripada Charlie anda the Chocolate Factory bertajuk Wonka! Kami berpeluang untuk menonton filem tersebut lebih awal dan ini merupakan review kami untuk filem tersebut. Tanpa membuang masa, teruskan membaca!
Berdasarkan watak luar biasa yang berpusat pada Charlie and the Chocolate Factory, buku kanak-kanak paling ikonik Roald Dahl dan salah satu buku kanak-kanak terlaris sepanjang zaman, “Wonka” menceritakan kisah menakjubkan bagaimana Willy Wonka mencipta namanya sebagai pembuat coklat dan ahli silap mata terhebat dunia seperti yang kita kenali hari ini.
Dengan impian untuk membuka kedai di bandar yang terkenal dengan coklatnya, Willy Wonka (Timothée Chalamet) yang muda dan miskin mendapati bahawa industri ini dikendalikan oleh kartel pembuat coklat yang tamak.
Kami memang selalu tengok trailer dahulu sebelum menonton apa-apa cerita. Sepatutnya kami sudah dapat mengagak bahawa filem Wonka merupakan sebuah filem muzikal. Bayangkan mula sahaja filem tersebut, Wonka terus menyanyi yang memperkenalkan impian besarnya. Waktu itu barulah kami sedar ia sebenarnya sebuah filem muzikal. Jadi anda yang tidak begitu berkenan dengan muzikal, mungkin rasa kecewa sedikit. Walaupun begitu elemen tersebut yang membawa penceritaan kepada filem Wonka. Kami akan ceritakan lebih lanjut mengenainya.

Filem bermula dengan memperkenalkan kepada kita Willy Wonka yang tiba ke Gallery Gourmet untuk mengongsikan coklat ciptaannya kepada orang ramai. Baru sahaja dia menarik perhatian orang ramai di sana, dia juga menarik perhatian kartel coklat jahat yang ingin menghalaunya. Selepas ditipu oleh pemilik hotel kejam, Mrs. Schrubitt, dia perlu menjalankan tugasnya di tempat lobi yang turut memperkenalkan penghuni-penghuni lain yang turut ditipu. Kita juga akan diperkenalkan kepada Noodle, seorang kanak-kanak yatim piatu yang sejak kecil tinggal di hotel itu selepas diabaikan di tempat dobi itu. Pertemuan Willy Wonka dengan penghuni-penghuni itu mengorak langkah awalnya untuk menjual coklat di bandar tersebut secara rahsia.

Plot cerita filem ini agak straightforward dan mudah untuk diikuti. Walaupun begitu hampir separuh daripada ceritanya disampaikan dalam bentuk muzikal. Jadi kalau anda seseorang yang tidak gemar pada elemen muzikal ini, mungkin anda boleh baca sari kata untuk abaikan nyanyian itu. Tetapi jangan risau kerana bahagian muzikal ini hanya banyak pada bahagian pertama filem. Apabila masuk bahagian kedua filem, kita melihat lebih banyak aksi daripada Wonka dan rakan-rakannya.
Anda memang boleh nampak susah senang Wonka untuk membuka kedai pertamanya. Ada sahaja benda buruk yang berlaku padanya setiap kali benda positif terjadi. Walaupun begitu Wonka tidak pernah berputus asa dan ada sahaja muslihat licik yang difikirkannya untuk menyelesaikan setiap masalah. Sudah tentu ada beberapa adegan lucu membuatkan kami ketawa dan ada babak yang membuatkan kami cringe seperti kisah cinta Mrs. Schrubitt.

Kami rasa agak kecewa juga melihat penamat filem ini kerana mesej yang disampaikan tidak begitu masuk akal. Kita telah mengenali Willy Wonka versi dewasa yang hanya tinggal bersama-sama Oompa-Loompa dan tidak berinteraksi dengan manusia lain. Ia membuatkan kami terfikir jika filem Wonka ini mempunyai satu lagi filem yang akan berkait semula dengan kisah Charlie and the Chocolate Factory.
Fiksyen Roahl Dahl tidak lengkap dengan unsur fantasi yang memikat hati pembaca. Sudah tentu, filem itu akan menggunakan banyak CGI. Bagi kami CGI yang digunakan sangat baik dengan visual yang memukau serta menawan. Terutamanya semasa babak Wonka dalam kedai coklatnya. Memang berwarna-warni dan kelihatan meriah.
Bercerita tentang lagu-lagu yang dipersembahkan, kesemua lagu-lagu tersebut dipersembahkan dengan baik serta mampu membuatkan hati kami tersentuh. Walaupun begitu, ia tidak meninggalkan impak yang tinggi buat kami. Cuma satu lagu sahaja yang sering terngiang-ngiang dalam kepala kami. Lagu tersebut adalah lagu “Oompa-Loompa” yang dipersembahkan oleh Hugh Grant. Walaupun lagu tersebut mempunyai lirik yang berbeza, tetapi tune lagu itu memang mudah diingati.

Persembahan pelakon juga sememangnya hebat terutamanya Timothée Chalamet dengan versi Willy Wonka yang dibawanya. Memandangkan kita tidak mengenali bagaimana Willy Wonka pada waktu mudanya, cara Chalamet membawa watak ini sememangnya menunjukkan perangai pelik Wonka dan sisi yang bersuka ria. Nyanyiannya juga boleh tahan baik. Jadi jangan risau sangat untuk mendengarnya menyanyi dalam filem ini.
Kudos juga kami berikan kepada Hugh Grant yang membawa watak sebagai lelaki oren kecil, Oompa-Loompa. Walaupun masa skrinnya tidaklah begitu lama, dia berjaya menghiburkan kami dengan persembahannya. Ia membuatkan kami teringin untuk meliaht lebih banyak interaksinya bersama Wonka.

Kesimpulan
Wonka ialah cerita muzikal yang hebat yang memperincikan Willy Wonka muda tentang perjalanannya untuk menjadi pembuat coklat hebat yang kita semua tahu. Walaupun ceritanya tidaklah segila seperti inspirasinya, lagu-lagu yang dipersembahkan adalah bagus dan menghiburkan. Timothée Chalamet juga membawakan watak Willy Wonka muda yang penuh muslihat dan coklat dengan sangat hebat. Kami pasti anda boleh berseronok melihat persembahannya. Jangan lupa untuk tonton babak bonus semasa kredit nanti!
Filem ini tersedia di pawagam Malaysia bermula 7 Disember 2023. Untuk membaca review lain daripada kami, boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post