Animasi Malaysia kini semakin hebat dengan adanya siri-siri animasi seperti Upin & Ipin, BoBoiboy, dan Ejen Ali. Bukan setakat itu sahaja, ia juga terkenal di luar negara lebih-lebih lagi negara jiran. Baru-baru ini, ada satu animasi pendek indie telah menang anugerah di peringkat antarabangsa! Filem animasi pendek tersebut bertajuk Walinong Sari. Jom kami ceritakan lebih lanjut mengenainya.

Walinong Sari menceritakan kisah tentang Puteri Walinong Sari, yang merupakan pahlawan hebat daripada generasinya malah waris kepada kerajaan Inderapura, yang wujud semasa zaman pemerintahan Kesultanan Melaka. Puteri itu telah memulakan perjalanannya menyusuri Sungai Pahang selepas dijodohkan. Dia kemudian berjumpa dengan putera kayangan, Raja Mambang Segara dan kini dia dalam konflik. Puteri Walinong Sari perlu membuat pilihan sama ada untuk menjadi anak yang berbakti ataupun mengikut kata hatinya.

Animasi Walinong Sari ini disampaikan dengan gaya Wayang Kulit, sememangnya gaya animasi unik yang jarang digunakan. Ditambah pula dengan teknologi yang canggih, sudah tentu proses animasinya lebih senang untuk dilakukan malah pelbagai pergerakan boleh dihasilkan berbanding wayang kulit tradisional.
Diarahkan oleh Eugene Foo dan penulis skrip Honey Ahmad, Walinong Sari juga mempunyai ramai bakat hebat yang turut serta dalam menjayakan projek animasi tersebut. Bukan setakat itu sahaja, pelakon hebat Malaysia seperti Bront Palarae, Tony Eusoff dan Fatimah Abu Bakar juga terlibat untuk menghidupkan watak-watak dalam Walinong Sari.

Bercerita tentang anugerah antarabangsa yang dimenangi, soundtrack Walinong Sari yang dihasilkan oleh Irena Taib berjaya memikat hati juri di New York International Film Awards dan berjaya merangkul anugerah “Best Soundtrack”! Kalau anda ingin tahu, skor muzik yang dihasilkan menggunakan gabungan hebat antara motif muzik tradisional Malaysia dan synthesizer. Ia juga tersenarai dalam kategori lain anugerah.

Perjalanan Walinong Sari tidak berakhir di sini kerana animasi itu juga akan hadir dalam festival filem lain seperti New York International Short Film Festival, Sea of Art Film Festival, Los Angeles International Film Festival dan ONIROS Film Awards New York.
Harap-harap animasi pendek Walinong Sari ini akan tersedia di Malaysia nanti. Tentu ramai antara anda yang ingin menonton animasi ini. Apapun, anda boleh ikuti Facebook rasmi untuk ikuti kemas kini terbaru animasi tersebut. Jangan lupa untuk ikuti Gamer Santai untuk berita menarik tentang game, animasi, filem dan banyak lagi!
@gamersantaimy
Discussion about this post