Asalnya diumumkan pada awal bulan September 2022, Nintendo telah mendedahan konsol Switch OLED Pokémon Scarlet and Violet Edition. Sekilas pandang, korang boleh lihat reka bentuk istimewa konsol ini yang mengikut tema kedua-dua game, siap dengan butiran terperinci.
Memandangkan game ini pun akan keluar dalam masa beberapa hari lagi, M4G telah meminjamkan satu unit untuk kami cuba! Tanpa melengahkan masa lagi, inilah unboxing saya untuk Nintendo Switch OLED Pokémon Scarlet & Violet Edition!

Pertama sekali, konsol ini dibungkus dalam kotak yang dihiasi dengan skema warna dan reka bentuk sama untuk menjadikan keseluruhan produk kelihatan lebih menarik.
Buka sahaja kotak, kita akhirnya dapat melihat konsol! Di bahagian belakang konsol, ia dipenuhi dengan lukisan/visual termasuk logo untuk Gym, item ikonik Pokemon, serta tiga starter Pokémon yang boleh kita pilih sebagai rakan pengembaraan, iaitu Sprigatito, Fuecoco, dan Quaxly.
Mungkin ada yang tidak suka kerana rupanya nampak terlalu “serabut”, tetapi saya menyukainya. Jika nak dibandingkan, coraknya hampir sama seperti Nintendo Switch OLED edisi Splatoon 3, tetapi visual Pokemon lebih jelas untuk dilihat kerana penggunaan warna merah dan ungu yang menonjol.
Bagi Joy-Con, reka bentuk juga dibuat khusus untuk melambangkan game Scarlet and Violet. Selain daripada perbezaan warna, terdapat simbol tambahan iaitu Naranja Academy (Pokémon Scarlet) dan Uva Academy (Pokémon Violet) yang bakal menjadi tempat anda belajar dalam game. Satu butiran menarik yang saya perasan tentang simbol sekolah ialah terdapat buah oren dan anggur di tengah-tengah.
Bahagian belakang Joy-Con menampilkan visual ekstra yang dicipta bersama ilustrasi utama pada badan Nintendo Switch.
Bagi dock, reka bentuknya memang meriah sekali, terutama permukaan berkilat yang membuatkan gambar Pokémon legendary Koraidon dan Miraidon lebih cantik dan majestik untuk pandang. Secara keseluruhan, dock kelihatan sangat premium dengan permukaan berkilat di bahagian hadapan, tetapi dari segi bahan, semuanya masih sama seperti Nintendo Switch OLED biasa.
Di samping itu, bulatan pada penutup panel di belakang dock dibuat untuk menyerupai Poké Ball. Satu butiran kecil, tetapi saya menghargai usaha Nintendo untuk menjadikan konsol ini lebih unik dari segi reka bentuk, malah menambah sesuatu yang tidak pernah dilihat dalam edisi lain.
Bagi mereka yang berminat, Nintendo Switch OLED Pokémon Scarlet and Violet Edition kini mula dijual di Malaysia pada harga sekitar RM1,699.00. Jika anda membeli daripada M4G, kini ia dijual pada harga diskaun RM1,549.00 (boleh jimat sebanyak RM150).
Anda juga boleh baca preview awal kami bagi game Pokémon Scarlet and Violet Edition di SINI. Untuk segala liputan kami tentang Pokémon, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post