Kalau main dalam server Asia Tenggara, rasanya masing-masing tahu keadaan dalam chat. Pasti ada sahaja yang bersikap toksik semasa bermain. Saban hari, perlakuan toksik seperti ini semakin menjadi-jadi sehinggakan pembangun sendiri sudah letih dengannya. Baru-baru ini, Ubisoft dan Riot Games telah bekerjasama dalam projek penyelidikan teknologi dalam membendung sikap toksik dalam game dan membawa sikap positif dalam komuniti.

Projek tersebut telah diberi nama “Zero Harm in Comms” dan masih dalam peringkat awal buat masa ini. Data yang dikumpul melalui projek ini akan digunakan untuk menghasilkan AI yang akan membantu menangani tingkah laku toksik semasa bermain.
“Tingkah laku pemain yang mengganggu adalah isu yang kami ambil serius tetapi juga sangat sukar untuk diselesaikan. Di Ubisoft, kami telah mengusahakan langkah yang kukuh untuk memastikan pengalaman yang selamat dan menyeronokkan, tetapi kami percaya bahawa, dengan bersatu sebagai industri, kami akan dapat menangani isu ini dengan lebih berkesan”
Pengarah eksekutif Ubisoft, Yves Jacquier

“Projek ini hanyalah contoh komitmen dan kerja yang kami lakukan di seluruh Riot untuk membangunkan sistem yang mewujudkan interaksi yang sihat, selamat dan inklusif dengan game kami”.
Ketua penyelidikan teknologi Riot, Wesley Kerr

Dengan Ubisoft dan Riot Games bergabung tenaga untuk teknologi baru itu, masih tidak diketahui jika ia betul-betul dapat menghentikan kelakuan toksik pemain dalam game. Riot juga sudah lama mulakan usaha dalam mengekang masalah ini. Malah mereka juga telah mula melatih AI dengan mendengar dan merekod komunikasi dalam game. Apa pun kita tunggu sahaja hasil daripada projek ini.
Untuk mendapatkan liputan menarik mengenai game daripada kami, sila klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post