Total War: Pharaoh akan dilancarkan tidak lama lagi! Dibangunkan oleh Creative Assembly dan diterbitkan oleh SEGA, anda akan dibawa semula ke zaman tamadun Mesir Purba dan membina empayar anda tersendiri. Ingin tahu best atau tidak entri baharu francais ini, teruskan baca review kami ini!
Kempen
Untuk kempen kali ini, bukan sahaja anda akan mengawal Mesir Purba tetapi anda juga akan pilih antara tiga puak dan lapan ketua puak yang berbeza. Setiap satu daripada mereka mempunyai gaya bermain yang berbeza, kelebihan dan unit yang unik tersendiri. Tiga puak serta ketua yang anda boleh temui dalam game ini adalah:
Egyptians
- Seti — Pewaris sah takhta Merneptah. Secara keseluruhannya, cara bermainnya berdasarkan peperangan dan pengembangan ke wilayah baharu. Ia merupakan pilihan yang bagus kalau anda seorang yang ingin tumpukan sepenuhnya pada pertempuran.
- Amenmesse — Wizurai Kush dan pesaing Seti. Dia adalah pewaris takhta yang ditolak dan tidak akan berhenti untuk mengganggu Seti daripada mendapatkan takhta.
- Tausret — Puteri Merneptah, seorang wanita bijak dan licik yang ingin bangkit daripada bayang-bayang abangnya dan menuntut takhta untuk dirinya sendiri.
- Ramesses — Didorong oleh cita-cita yang melulu, Ramesses melihat dirinya sebagai pilihan tuhan, yang ditakdirkan untuk memerintah sebagai Firaun. Oleh itu, dia sangat sesuai untuk anda yang ingin mencapai kemenangan yang pantas untuk menuntut takhta Mesir.
Canaanites
- Irsu — Sebagai panglima perang dan penceroboh yang ganas, dia ingin mengambil kesempatan daripada kerapuhan tamadun dan meraih ganjaran daripada kekacauan yang berlaku. Berada di tengah-tengah Canaan, dia menikmati kekayaannya dan bersedia untuk menambahkannya lagi.
- Bay — Dia merupakan seseorang yang pandai memanipulasi. Nampak sahaja seperti seorang yang lemah dan mesra tetapi dia pandai memperdayakan musuhnya. Bay sudah bosan melihat perangai masyarakat Mesir dari jauh.
Hittites
- Suppiluliuma — Memerintah dari ibu kota Hittle yang besar di Hattusa, diserang oleh semua pihak yang ingin menjatuhkannya. Kerajaan Hatti yang dahulunya perkasa telah runtuh dan hanya Raja Besar yang menyatukan kepingan-kepingan yang rapuh itu.
- Kurunta — Di selatan Anatolia terletaknya bandar Tarhuntassa, wilayah kekuasaan Kurunta sendiri yang zalim dan hanyalah serpihan daripada Kerajaan Hittle yang dahulunya hebat. Didorong oleh kekejaman licik, Kurunta hanya mempunyai satu matlamat iaitu untuk menikmati penderitaan orang lain.

Sejujurnya kami tidak sempat untuk mencuba kesemua puak dan ketua yang ada dan hanya sempat bermain sebagai Ramesses. Kalau anda ingin tahu, dia merupakan watak yang paling mudah untuk dimainkan kerana dia mempunyai banyak sumber dan tenteranya juga sudah kuat sejak awal game. Kami juga telah mencubanya semasa preview Total War: Pharaoh yang lalu.
Seperti biasa, setiap puak dan ketua mempunyai “marker” yang menunjukkan tahap kesukaran bermain. Kalau anda sudah biasa dengan game Total War, anda boleh cuba bermain puak Canaanites ataupun Hittites sebab hampir kesemuanya mempunyai tahap kesukaran yang tinggi dan lebih mencabar. Kalau anda seseorang yang baru sahaja ingin mulakan game Total War pertama, kami syorkan anda untuk mainkan puak Egyptians.

Sea Peoples’ Invasion
Game agak mudah dimainkan daripada awal sehinggalah anda capai ke pertengahan game. Anda hanya perlu menguruskan ekonomik serta melakukan perang saudara dalam wilayah Mesir. Selepas anda tiba ke pertengahan game, bermulalah cabaran sebenar di mana Sea Peoples’ Invasion bermula!
Kalau anda ingin tahu, ia merupakan acara endgame untuk Total War: Pharaoh. Kekuatan Orang Laut yang datang dipengaruhi oleh mekanik Pillars of Civilisation. Jika ada pemain yang mampu mengekalkan tahap Civilisation yang tinggi, serangan Orang Laut akan menjadi lebih lemah.

Antara benda yang leceh apabila mereka menyerang, kita perlu ambil perhatian daripada pelbagai arah. Selagi ada sungai dan laut, mereka pasti akan muncul. Jadi kalau anda ingin memiliki penempatan tepi laut, lebih baik anda letakkan jeneral di kawasan-kawasan yang terdedah. Lebih senang untuk anda menghentikan serangan mereka pada bila-bila masa.
Kemunculan orang laut ini sudah tentunya menambahkan lagi cabaran kepada pemain. Walaupun serangan kerajaan lain juga kadang-kadang mengejutkan, tetapi serangan orang laut lebih susah untuk diduga kerana mereka datang daripada kawasan di luar Mesir.

Dewa
Zaman Mesir Purba semestinya mengagungkan tuhan-tuhan mereka, yang dikatakan memimpin banyak aspek kehidupan seharian, dan kehadiran mereka sangat dirasai. Game ini ingin menggambarkan bahawa agama memberi kesan kepada masyarakat semasa Bronze Age sambil mengekalkan ciri realism. Berbeza dengan game Total War sebelum ini, “Gods” memainkan peranan penting dalam game. Tuhan yang anda pilih semasa bermain akan mempengaruhi kemakmuran masa depan anda serta gaya bermain.

Sebagai contoh, Ramesses memuja dewa Ra yang mempunyai keupayaan untuk memberi tumpuan kepada pertempuran. Ra juga meningkatkan serangan Melee, Defense, Resistance, Morale serta segala benda yang berkait dengan peperangan. Terdapat juga Ptah, dewa yang boleh meningkatkan Happiness, Income dan mengurangkan gaji tentera serta segala perkara melibatkan sumber.
Semasa kempen, anda boleh mendapatkan kebolehan untuk memuja sehingga tiga dewa. Di seluruh Mesir, Anatolia dan Canaan, terdapat 19 dewa boleh ditemui dengan menakluk penempatan yang dikaitkan dengan mereka. Dewa yang berbeza memberikan bonus kepada jenis bangunan, penempatan tertentu atau jenis unit. Setiap dewa juga mempunyai pusat pemujaan, sebuah bandar yang lebih besar yang dianggap sebagai Pillar of Civilisation.

Pillars of Civilisation
Mekanik ini mewakili keseimbangan kosmik seperti yang dirasakan oleh orang Mesir purba. Ia dipisahkan kepada tiga peringkat kestabilan iaitu:
- Prosperity — Dunia menjadi aman dengan landskap yang lebih cerah dan meriah. Peristiwa semula jadi mungkin berlaku untuk meningkatkan pembangunan dan pertumbuhan sumber.
- Crisis — Apabila Bronze Age Decline berlaku, dunia akan kelihatan lebih gelap. Bencana alam akan menjadi lebih kerap dan kumpulan seperti Orang Laut akan lebih kerap menyerang.
- Collapse — Tamadun telah runtuh dan kegelapan telah menyelubungi bumi. Ketidakstabilan merentasi semua wilayah akan mencapai kemuncaknya. Namun, masih ada harapan kerana anda masih boleh menang melawan mereka yang mengancam empayar.

Bagi kami, sistem ini agak menarik kerana anda bukan sahaja perlu stabilkan empayar yang dibina, tetapi anda juga perlu stabilkan tamadun dalam tamadun mesir. Jadi kalau ada puak yang telah tumbang dan berada dalam kekacauan, anda perlu takluki semula dan kembalikan kawasan tersebut kepada keadaan asal. Ianya sangat mencabar untuk menjaga kestabilan tamadun tersebut.
Cuaca & Musim
Dalam budaya Mesir purba, perubahan tiga musim ditentukan oleh pasang surut sungai Nil. Kitaran bermusim ini akan diakhiri dengan sambutan Shemsu Hor. Dalam game, Shemsu Hor merupakan tanda di mana intrik mahkamah telah diselesaikan, perintah terhadap puak juga sudah mencapai peringkat akhir dan peristiwa penting lain akan berlaku. Setiap musim akan mengambil dua giliran pemain dan perubahan musim juga mempengaruhi bangunan pengeluaran makanan di sepanjang sungai Nil.

Semasa pertempuran, cuaca juga boleh berubah. Jadi jangan pelik kalau cuaca panas tiba-tiba bertukar menjadi ribut semasa bertempur nanti. Sistem ini juga akan memberikan pelbagai varian lain sebagai contoh kabus. Cuaca juga memainkan peranan yang besar semasa bertempur, antaranya:
- Ribut — Merendahkan keberkesanan unit peluru berpandu melalui jarak yang lebih rendah dan menghentikan tembakan daripada bermula.
- Ribut petir — Mempunyai kesan yang sama seperti Ribut tetapi memberikan morale de-buff kepada semua unit.
- Ribut pasir — Merendahkan perkara seperti jarak penglihatan, kelajuan pergerakan, keletihan dan keberkesanan unit peluru berpandu. Ia juga memberikan sedikit damage sesaat kepada semua unit.
- Panas terik — Meningkatkan keletihan daripada semua aktiviti dan melumpuhkan penambahan semula keletihan, sambil meningkatkan kadar kebakaran yang boleh merebak.

Sistem cuaca dinamik ini berfungsi bersama-sama sistem rupa bumi yang diperluaskan untuk mencipta peta pertempuran realistik yang berubah bergantung kepada keadaan cuasa. Sebagai contoh, ribut petir boleh menjadikan medan berlumpur dan licin, manakala suhu panas boleh mengeringkan rupa bumi. Dengan adanya sistem ini, ia menambah kerumitan menarik kepada pertempuran dan membuatkan pemain menyusun strategi sewajarnya.
Pertempuran
Bukan namanya Total War kalau tiada peperangan, betul tidak? Terdapat beberapa perkara yang membuatkan Total War: Pharaoh lebih baik berbanding siri yang lalu. Antaranya penambahbaikan kepada animasi dan cuaca semasa pertempuran.
Bercerita tentang pergerakan, setiap unit mempunyai animasi tempur tersendiri mengikut gaya pertempuran mereka. Jadi kalau unit tersebut menggunakan pedang dan perisai, anda boleh melihat mereka menyerang dan menangkis serangan pihak lawan. Berat unit juga memainkan peranan dalam membuat keputusan dalam pertempuran. Unit yang menggunakan perisai dan senjata yang berat akan susah untuk bergerak dalam lumpur, manakala unit yang berpakaian lebih ringan lebih terdedah kepada ribut pasir. Ciri ini menambahkan tahap realisme dan strategi baharu kepada game, kerana pemain mesti mempertimbangkan dengan teliti mengenai mobiliti unit dalam persekitaran yang berbeza.

Sistem exhaustion pula memberi kesan kepada pasukan semasa bertempur. Jadi segala keputusan yang dibuat perlu diambil berat dan memerlukan pemain mempelajari semula strategi daripada entri terdahulu. Ini sudah tentu memaksa anda untuk lebih terlibat dengan game dan tidak bergantung sepenuhnya pada mode autopilot. Rentak pertempuran juga agak perlahan, jadi memang cukup masa untuk anda aturkan strategi anda untuk memenangi pertempuran dalam game.
Multiplayer
Kalau rasa sunyi bermain seorang diri, anda boleh sahaja mengajak rakan anda untuk sertai anda dalam menjalankan misi dalam kempen Total War: Pharaoh. Terdapat bonus yang anda boleh dapat dengan bermain bersama rakan anda. Kalau tidak mahu main kempen, terdapat juga mode lain yang tersedia seperti Custom Battle. Dalam mode tersebut, anda boleh bermain secara solo atau pun sertai quickmatch dan ranked untuk berlawan dengan pemain lain. Tetapi memandangkan game ini belum lancar secara rasmi, kami tidak berpeluang untuk mencubanya.

Kesimpulan
Sejujurnya, Total War: Pharaoh tidaklah membawa begitu banyak perubahan berbanding entri terdahulu. Walaupun begitu, tambahan ciri baharu sememangnya membuatkan game ini lebih mencabar dan rasa berbaloi untuk dicuba. Contohnya, “Sea’s People Invasion” yang membuatkan game lebih sukar untuk dijangka dengan penambahan elemen yang mengejutkan.
Pertempuran pula mempunyai cuaca dinamik yang boleh membuatkan peperangan lebih kacau-bilau. Tetapi kalau anda pandai bermainnya, anda boleh ambil kesempatan terhadapnya dan menumpaskan lawan anda menggunakan cuaca ini. Kami dapat rasakan pemain veteran akan berseronok dengan entri baharu Total War ini, malah ia juga mudah dihadam untuk pemain baharu!
Total War: Pharaoh akan dilancarkan pada 11 Oktober 2023 di PC melalui Steam dan Epic Games Store. Untuk mendapatkan berita lain mengenai Total War, boleh klik pautan ini.

@gamersantaimy
The Review
Total War: Pharaoh
PROS
- Pengalaman pertempuran yang memuaskan
- Sea Peoples’ Invasion memberikan kejutan yang menarik dalam game
- Mudah untuk dimainkan oleh pemain baharu
CONS
- Peta yang agak kecil
Discussion about this post