Peminat Gundam di Malaysia boleh bergembira—Mobile Suit Gundam GQuuuuuuX akan mula ditayangkan secara rasmi di Prime Video bermula 8 April 2025. Amazon telah mengesahkan tayangan serentak di lebih 240 negara dan wilayah, termasuk Malaysia, dengan pilihan sarikata dan alih suara. Episod baharu akan dikeluarkan setiap minggu, bersamaan dengan siaran di Jepun.
Bagi yang tidak tahu, Mobile Suit Gundam GQuuuuuuX menandakan kerjasama bersejarah antara SUNRISE, studio legenda di sebalik francais Gundam, dan Studio Khara, yang terkenal dengan Neon Genesis Evangelion.
Anime ini menampilkan pasukan kreatif terkemuka, termasuk pengarah Kazuya Tsurumaki (FLCL), penulis skrip Yoji Enokido dan Hideaki Anno (Evangelion), dengan reka bentuk watak oleh Take (Pokémon Journeys) serta reka bentuk mekanikal oleh Ikuto Yamashita.

Ini merupakan siri TV Gundam pertama yang dihasilkan bersama studio lain, menggabungkan kehebatan kreatif dua francais mecha paling ikonik di Jepun.
Sebelum debut di TV, Mobile Suit Gundam GQuuuuuuX terlebih dahulu diperkenalkan melalui filem promosi khas, Mobile Suit Gundam GQuuuuuuX -Beginning-, yang ditayangkan di Malaysia pada 27 Februari 2025.

Kisah kali ini menceritakan tentang Amate Yuzuriha, seorang pelajar sekolah menengah yang menjalani kehidupan aman di sebuah koloni angkasa.
Namun, kehidupannya berubah apabila dia bertemu Nyaan, seorang pelarian perang, dan tanpa disangka terseret ke dalam “Clan Battle”—pertarungan Mobile Suit haram yang penuh bahaya. Dengan nama samaran “MACHU,” Amate mula mengemudi Mobile Suit misteri GQuuuuuuX, bertarung setiap hari dalam pertempuran sengit.
Pada masa yang sama, sebuah Mobile Suit tidak dikenali telah muncul, diburu oleh tentera angkasa dan polis. Juruteranya, seorang pemuda bernama Shuuji, muncul dalam kehidupan Amate, membawa bersama misteri yang bakal mengubah dunia mereka.
Untuk maklumat lanjut tentang Gundam GQuuuuuuX, sila layari laman web rasmi Prime Video.
@gamersantaimy
Discussion about this post