Anda yang sukakan game seram mesti tahu mengenai entri terbaru untuk The Dark Pictures Anthology yang dibangunkan oleh Supermassive Games. Entri terbaru yang kami maksudkan ialah The Devil in Me, yang akan keluar pada 18 November ini! Kami telah berpeluang untuk mencuba beta untuk game tersebut. Terima kasih banyak-banyak kepada Bandai Namco atas peluang tersebut.
Dalam preview yang lalu, kita telah diperkenalkan dengan “antagonis” game iaitu seorang pembunuh bersiri. Jika sebelum ini, kita banyak berjumpa dengan entiti misteri. Untuk beta yang kami telah cuba, nampaknya terdapat beberapa tambahan menarik yang telah diletakkan dalam The Devil in Me, yang berbeza daripada game terdahulu. Kami juga dapat menerokai hotel, tempat di mana watak-watak akan terperangkap bersama pembunuh tersebut. Jadi tanpa membuang masa, jom kami ceritakan lebih lanjut tentang preview baru kami untuk The Devil in Me. Sebagai peringatan, beta ini telah dimainkan melalui Steam menggunakan controller.
Penceritaan
Mula sahaja game baru, kami telah melihat recap untuk permulaan cerita. Jadi tidak banyak benda yang didedahkan semasa permulaan game. Untuk pengetahuan anda, watak-watak yang akan dimainkan adalah krew daripada Lonnit Entertainment yang telah dijemput ke World’s Fair Hotel, yang merupakan replika kepada “Murder Castle” yang dihasilkan oleh H.H. Holmes, pembunuh bersiri pertama Amerika. Memikirkan ia sebuah idea bagus untuk rancangan mereka, krew yang terdiri daripada lima orang — Charlie, Kate, Mark, Jamie dan Erin — telah ke sana. Apa yang mereka tidak tahu ialah, ada seseorang yang telah memerhatikan mereka daripada bayang-bayang.

Setelah habis recap tersebut, kami terus boleh mengawal seorang watak iaitu Charlie, yang nampaknya mencari rokok. Memandangkan rokok yang dibawanya tidak dijumpai, kita akan meneroka hotel tersebut untuk mencari rokok di bangunan tersebut. Selepas habis bahagian Charlie, kita akan bermain sebagai watak lain pula. Dapat jugalah merasa semua watak-watak. Malah mengetahui konflik serta hubungan antara watak-watak. Sama seperti game terdahulu, segala pilihan yang anda pilih semasa berinteraksi dengan watak lain akan memberikan impak kepada personaliti mereka.

Memandangkan ia game seram, sudah tentu ada jump scare. Boleh tahan jugalah jump scare yang ada, sampai kami pun terjerit banyak kali. Ditambah pula dengan suasana hotel yang memberikan “vibe” seperti filem The Shining dan SAW, memang satu usaha yang bagus daripada pembangun. Memandangkan tidak banyak yang didedahkan untuk preview kali ini, tertanya-tanya juga kami mengenai motif pembunuh serta rahsia disebalik hotel tersebut. Apa pun, konsep terbaru ini memang menarik hati dan boleh menjemput peminat cerita seram untuk mencuba.
Di sinilah kita akan mendapat goal dan mulakan eksplorasi. Seperti biasa, pasti ada banyak bilik yang berkunci, jadi kenalah cari kunci. Dapat sahaja kunci, kita perlu membuka pintu bilik yang kita mahu masuk. Selalunya watak akan membukanya secara automatik tetapi kali ini, kita perlu lakukan sendiri pergerakan tersebut.

Mekanik terbaru dan lebih bebas
Selalunya dapat sahaja goal, kita akan terus mulakan eksplorasi. Pasti ada banyak sahaja bilik yang berkunci, jadi kita perlu mencari kunci. Dapat sahaja kunci, baru boleh membuka bilik yang berkunci. Berbeza dengan game dahulu, yang penuh dengan pergerakan automatik, kali ini kita sendiri yang perlu melakukan pergerakan tersebut. Jadi tidaklah kita melihat sahaja watak bergerak sendiri. Kadang-kadang kita perlu menggunakan item watak untuk teruskan eksplorasi. Contohnya seperti Charlie yang menggunakan kad perniagaannya untuk membuka laci ataupun Mark yang menggunakan monopod untuk mencapai objek yang terletak di tempat tinggi.

Selepas itu, kita ada Erin yang menggunakan peralatan bunyi untuk mengesan bunyi semasa dia berjalan dalam tempat yang gelap. Agak seram juga apabila terpaksa bergantung kepada bunyi semasa bermain sebagai dia. Apa pun, segala item yang dimiliki watak sangat mudah diakses dan digunakan semasa bermain. Hanya tekan sahaja D-pad untuk mengaksesnya.

Jika dahulu, watak hanya boleh berjalan secara perlahan atau pantas sahaja, tetapi kali ini Supermassive Games menambah pergerakan lain seperti melompat, berlari dan memanjat. Jadi anda boleh meneroka semua bucu hotel tersebut dengan lebih cepat. Terdapat juga beberapa perabot yang boleh digerakkan untuk menghubungkan dua jalan. Dengan ini anda boleh melompat ke atas perabot itu untuk menyeberang ke tempat yang tidak boleh dicapai. Cuma satu sahaja masalah yang kami hadapi, kadang-kadang simbol “butang” tidak mahu muncul, jadi terpaksalah kami betulkan posisi watak supaya ia muncul. Selain daripada itu, segalanya berjalan dengan lancar.

Sepanjang eksplorasi, anda pasti akan menjumpai beberapa item ataupun dokumen yang boleh dikutip atau dibaca. Terdapat juga “gambar” yang menunjukkan nasib buruk untuk setiap watak seperti game terdahulu. Inilah caranya untuk anda mengelak malapetaka yang menghampiri. Kalau anda jenis yang tidak suka untuk mendapat “bad ending”, kena rajinlah mencarinya.
Terdapat juga coin yang boleh dikutip di beberapa tempat dalam hotel tersebut. Coin tersebut boleh digunakan untuk membuka kandungan tambahan yang boleh diakses melalui menu utama.

The Devil in Me juga mempunyai puzzle tersendiri. Segala petunjuk boleh didapatkan semasa eksplorasi. Cuma anda perlu peka terhadapnya untuk selesaikan puzzle yang diberikan. Kalau anda jenis terlepas pandang, ada kemungkinan besar anda akan memerlukan masa yang panjang untuk puzzle tersebut. Bagi kami, puzzle yang ada tidaklah begitu susah. Tetapi tidak tahulah jika ada puzzle yang lebih sukar dalam produk akhir.
Pandangan akhir
Kami rasa agak puas mencuba The Devil in Me dan boleh rasakan bahawa Supermassive Games betul-betul mendengar dan mengambil perhatian kepada segala maklum balas yang diberikan pemain. Walaupun ia masih mempunyai mekanik yang sama seperti game terdahulu, tetapi terdapat beberapa tambahan dan kemas kini terhadapnya. Ini secara tidak langsung memberikan kebebasan kepada pemain semasa bermain.

Keseluruhan plot yang membawa kita terperangkap dalam sebuah hotel besar dengan pembunuh bersiri, boleh menarik perhatian peminat filem-filem seram untuk bermainnya. Memandangkan game ini sangat bergantung kepada penceritaannya, kami pasti lebih banyak kejutan yang akan menanti pemain selepas pelancaran rasminya nanti.

The Devil in Me akan dilancarkan secara rasmi pada 18 November di PS5, PS4, Xbox Series X|S, Xbox One dan PC melalui Steam. Untuk membaca segala liputan kami tentang game termasuk interview eksklusif bersama pengarah permainan, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post