Rakyat Malaysia bakal disajikan dengan peluang untuk menonton semula filem animasi popular, Ejen Ali The Movie, yang akan ditayangkan semula di pawagam mulai 6 Februari 2025.
Tayangan semula ini turut disertakan dengan satu kejutan istimewa, iaitu pratonton eksklusif filem sekuel yang dinanti-nantikan, Ejen Ali The Movie 2, di penghujung tayangan.
Kejayaan Gemilang Ejen Ali The Movie
Sejak ditayangkan pada 28 November 2019, Ejen Ali The Movie telah mencatat sejarah sebagai salah satu filem animasi tempatan paling berjaya. Dengan kutipan lebih RM30 juta, ia menjadi filem animasi Malaysia dengan kutipan pawagam tertinggi sepanjang zaman.

Filem ini mengisahkan Ejen Ali, seorang budak lelaki berusia 12 tahun yang menjadi ejen rahsia di agensi perisikan MATA. Ali berdepan konflik dalaman apabila mengetahui teknologi canggih I.R.I.S. tidak lagi eksklusif untuknya. Ketika seorang individu misteri bernama Niki mendekati Ali dengan rahsia mengenai ibunya yang hilang, misi penuh aksi dan emosi pun bermula untuk menyelamatkan bandar Cyberaya sambil mempertahankan kesetiaannya kepada MATA.

Selepas kejayaan filem pertama, pihak WAU Animation mengesahkan bahawa proses pembikinan Ejen Ali The Movie 2 telah dimulakan. Walaupun pandemik COVID-19 menyebabkan kelewatan dalam pembikinan, semangat untuk menghasilkan karya berkualiti tinggi tetap diteruskan.
Filem kedua ini dijangka memperkenalkan cabaran dan konflik baharu untuk Ali, termasuk pengenalan sut baru Satria. Selain itu, jalan cerita dijangka lebih mendalam, menampilkan teknologi dan misteri baharu yang mengancam keselamatan Cyberaya.
Bagi para peminat tegar, inilah peluang terbaik untuk menghidupkan semula pengalaman menonton Ejen Ali The Movie di layar besar sambil bersiap sedia untuk fasa seterusnya dalam dunia perisikan MATA.
Jadi, jangan lepaskan peluang ini! Ayuh ke pawagam bermula 6 Februari dan nikmati tayangan semula Ejen Ali The Movie bersama pratonton eksklusif Ejen Ali The Movie 2.
@gamersantaimy
Discussion about this post