Setelah berhempas pulas selama dua hari, pasukan GRITG Ares dari negeri Perak telah berjaya menjadi juara dalam Kejohanan Nasional PUBG Mobile Malaysia 2021 (PMNC 2021). Kejohanan ini memperlihatkan persaingan antara pasukan dan pemain terbaik di Malaysia, serta 8 pasukan yang didatangkan dari PMPL MY/SG Musim 3. Pasukan ini telah membawa hadiah kemenangan sebanyak RM30,500 dan akan ke slot Liga PMPL MY/SG Musim 4.

Sepanjang dua hari perlawanan, pasukan GRITG Ares telah berjaya mengumpul 2 Winner Winner Chicken Dinner (WWCD) di pusingan ke-4 dan ke-10, serta menduduki tempat pertama dalam carta keseluruhan. Salah seorang pemain mereka, iaitu LEX turut tersenarai dalam 5 pemain terbaik dengan jumlah 30 Kill sepanjang perlawanan berlangsung.
Selain itu, pasukan Yoodo Gank telah berjaya bangkit semula dari kekalahan kejohanan sebelum ini dengan mendapat tempat kedua di PMNC 2021. Mereka telah mengumpul 3 WWCD di pusingan ke-6, ke-11 dan ke-13, serta memiliki perbezaan 4 mata dari pasukan GRITG Ares. Malah, dua pemain mereka iaitu Putra dan Bravo telah tersenarai sebagai pemain terbaik kejohanan dengan masing-masing mengumpul 36 Kill dan 33 Kill.

Pasukan Yoodo Gank membawa pulang RM16,500 sebagai hadiah tempat kedua, dan pasukan YSX Esport menerima RM9,500 kerana memenangi tempat ketiga di PMNC 2021. Kedua-dua pasukan ini akan bersama dengan GRITG Ares dan Team Bosskurr untuk bertanding merebut gelaran juara di PMPL MY/SG Musim 4 akan datang.

Jadi jangan lupa untuk menyaksikan pertempuran 4 pasukan ini di PUBG Mobile Premiere League Musim 4 bersama pasukan hebat lain seperti Team Secret, RSG Malaysia, Geek Fam dan Dingoz MPX. Tahniah lagi kami ucapkan untuk pasukan GRITG Ares atas kemenangan mereka!
@gamersantaimy
Discussion about this post