Siapa sangka Game Boy kini ada ada kegunaan baru, di mana peranti ini diubahkan kepada sebuah sistem perlombongan Bitcoin. Pada tahun lepas, mata wang kripto mengalami peningkatan yang mendadak, ketika satu Bitcoin boleh dijual sekitar 57 ribu USD (anggaran RM236 ribu). Disebabkan itu, ramai yang mempunyai perkakasan pemproses yang kuat untuk melombong. Lain daripada yang lain, youtuber ‘stacksmashing‘ memilih cara berbeza dan melombong Bitcoin menggunakan Game Boy.
Kerana kekurangan GPU yang tersedia di pasaran, ‘stacksmashing‘ harus mengubah Game Boy dia menjadi sebuah sistem operasi perlombongan Bitcoin. Untuk melakukannya, mereka menggunakan flashcard USB standard – untuk menjalankan ROM pada Game Boy – serta kabel yang dimodifikasikan bersama dengan papan microcontroller Raspberry Pi Pico untuk menghantar maklumat antara Game Boy dan komputer.
Melalui kepintaran yang luar biasa ini, Game Boy tersebut mula melombong Bitcoin. Bagi kawan-kawan yang tidak beberapa tahu tentang mata wang kripto, Bitcoin adalah sumber terhad yang “dilombong” melalui algoritma nombor. Untuk mudahkan kamu semua faham, algoritma ini adalah senarai nombor yang panjang, dan jika nilainya kurang atau sama dengan nombor sasaran, lantas Bitcoin akan dihasilkan. Oleh kerana pengguna perlu memeriksa jumlah bilangan nombor yang banyak, kuasa pemprosesan yang kuat biasanya digunakan.
Malangnya, melombong Bitcoin di Game Boy mengambil masa yang terlalu lama. Semasa ujian ini, ‘stacksmashing‘ menganggarkan bahawa Game Boy adalah sekitar 125 trilion kali tidak efektif berbanding sistem operasi perlombongan moden. Ini bermaksud potensi mendapatkan Bitcoin di Game Boy adalah sesuatu yang sukar untuk dicapai. Pada masa yang sama, ‘stacksmashing‘ bergurau bahahwa Game Boy mempunyai satu kelebihan kerana hanya menggunakan 4 bateri AA, lantas tidak menggunakan banyak kuasa.
Untuk mengukuhkan eksperimen ini lagi, ‘stacksmashing‘ menyediakan “blockchain” dengan kesukaran yang sangat rendah untuk melihat jika Game Boy secara teori dapat melombong Bitcoin. Pendek cerita, ia berjaya. Walaupun melombong menggunakan Game Boy tidak memberi apa-apa manfaat, ia terbukti bahawa Game Boy lulus eksperimen ini. Walau bagaimanapun, saya sarankan awak semua untuk memakai sistem yang sepatutnya untuk dapatkan Bitcoin dan guna Game Boy sahaja untuk bermain game.
Apa pendapat anda tentang cara melombong Bitcoin menggunakan Game Boy ini? Untuk segala liputan kami tentang Game Boy, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post