Ada yang sudah bosan dengan anime shonen? Kami ada beberapa anime genre lain pula untuk dikongsi dengan anda semua. Kali ini, kita tukar selera, layan anime shoujo pula. Memang tidak semua daripada anda yang meminati anime genre sebegini kadang-kadang, tetapi anime shoujo merupakan sesuatu yang memang memberikan sesuatu yang berbeza.
Walaupun unsur romantik diutamakan, tetapi anime shoujo juga mempunyai komedi serta aksinya tersendiri. Jangan pandang rendah dengannya. Banyak sahaja anime shoujo yang hebat tetapi tidak banyak yang tersedia di platform rasmi Malaysia pula. Tetapi siri yang ditawarkan masih lagi terbaik. Jadi, tanpa membuang masa, ini ialah senarai anime shoujo yang anda boleh layan!
Maid-sama

Ayazawa Misaki adalah pelajar di Sekolah Menengah Hoshihwa. Dia merupakan presiden perempuan pertama untuk persatuan pelajar sekolah tersebut. Pada mulanya sekolah tersebut merupakan sebuah sekolah yang dikhususkan untuk pelajar lelaki tetapi berubah ke sekolah campuran, di mana pelajar lelaki masih lagi majoriti pelajar di sekolah tersebut. Untuk melindungi pelajar perempuan yang lain, Misaki berjuang dengan segala kemampuannya ditambah lagi dengan beban hutang yang ditinggalkan oleh ayahnya yang hilang. Ini membuatkan Misaki benci lelaki. Untuk meringankan beban keluargnya, Misaki telah bekerja separuh masa di sebuah kafe maid selepas sekolah. Ia merupakan rahsia yang dia tidak mahu dedahkan tetapi telah diketahui oleh Takumi Usui secara tidak sengaja.
Ouran High School Club

Haruhi Fujioka ialah seorang pelajar yang baru mendaftar di Ouran Academy yang berprestij. Suatu hari, semasa mencari tempat belajar yang tenang, dia terjumpa bilik muzik yang kelihatan tidak digunakan. Apabila masuk, Haruhi disambut oleh ahli Kelab Hos yang terkenal: sebuah kelab di mana pelajar lelaki yang menarik menghiburkan gadis dari seluruh sekolah. Namun, apabila Tamaki Suou—pengasas dan presiden kelab itu—mengejutkan Haruhi, dia secara tidak sengaja memecahkan pasu mahal di kelab itu. Agak sukar untuknya membayar balik kos pasu tersebut, jadi ahli Kelab Hos tampil dengan penyelesaian yang sempurna untuk masalah gadis itu: bekerja untuk kelab dan menjadi Hos! Tersalah anggap sebagai lelaki oleh rakan sebayanya, Haruhi terpaksa melayan pelbagai pelajar perempuan sambil berdepan dengan pelbagai personaliti Hos yang lain.
My Little Monster

Mizutani Shizuku adalah seorang gadis dengan pencapaian akademik yang baik tetapi mempunyai keperibadian tidak berperasaan. Dia menolong guru menyampaikan buku teks kepada pelajar yang ditangguhkan kerana pergaduhan, Haru Yoshida. Bermula dari salah faham, mereka akhirnya menjadi kawan. Masa berlalu, Shizuku mendapat tahu bahawa Haru adalah orang yang baik hati yang merindui kawan. Ketika Haru terluka, Shizuku tidak dapat melepaskannya. Walaupun ditemani oleh rasa takut, dia pergi menolong Haru. Kerana itu Haru tersentuh dan mula menyukai Shizuku dan akhirnya memasuki sekolah semula. Kisah pemuda yang hangat dan cerdas bermula.
Fruits Basket

Tooru Honda sangat minat terhadap kisah mengenai Zodiak Cina yang sering diceritakan oleh ibunya semasa kecil. Tetapi satu tragedi telah berlaku dan dia kini berseorangan. Tooru kini terpaksa tinggal di sebuah khemah. Apa yang tidak diketahuinya, tempat perkhemahannya itu sebenarnya tanah peribadi keluarga Souma yang dihormati. Selepas menjumpai rumah mereka pada satu hari, dia telah bertemu dengan Shigure, dan Yuki yang juga dikenali sebagai “putera” di sekolahnya. Tooru memberitahu mereka bahawa dia tinggal berhampiran dan rahsianya terbongkar apabila mereka nampak dia masuk ke dalam khemahnya.
Ahli keluarga Souma itu telah menawarkan tempat tinggal kepada Tooru selepas mendengar situasinya. Selepas itu dia terperangkap pula dengan pergaduhan antara Yuki dan sepupunya, Kyou. Tooru yang ingin hentikan pergaduhan itu, secara tidak sengaja mengetahui rahsia keluarga Souma: apabila mereka bersentuhan dengan jantina lain, mereka akan berubah menjadi haiwan sama dalam zodiak Cina.
Kamisama Kiss

Ayahnya yang kaki judi telah melarikan diri akibat berhutang dan meninggalkan Nanami Momozono seorang diri. Dia telah dihalau keluar dari rumah sewa dan tiada tempat berteduh. Nanami telah membantu seorang lelaki misteri yang kemudiannya memberikan “rumah” untuk dia tinggal. Oleh itu, Nanami yang tiada tempat tinggal duduk di rumah itu dengan keraguan. Dia mendapati bahawa ia “rumah” tersebut merupakan sebuah kuil yang telah lama ditinggalkan dan satu iblis musang bernama Tomoe muncul. Rupa-rupanya lelaki yang dibantunya itu sebenarnya Dewa Bumi yang menyerahkan tugasnya kepada Nanami. Jadi, bermulalah perjalanan Nanami sebagai Dewa Bumi.
My Next Life as Villainess: All Routes Lead to Doom!

Catarina Claes ialah anak tunggal keluarge Duke, disebabkan terjatuh dan terhentak kepalanya semasa dia berumur lapan tahun, dia teringat bahawa hayat lepasnya merupakan pelajar sekolah menengah tinggi biasa yang meninggal dunia pada umur 17 tahun disebabkan kemalangan. Dia turut mengetahui bahawa dunia sekarang ialah dunia “FORTUNE LOVER”, iaitu permainan otome yang pernah dia main pada hayat lepas. Dalam permainan asal, Catarina ialah antagnois yang sentiasa menyusahkan protangonis – Maria Campbell, akhirnya dia akan dibuang negara ataupun mati. Catarina Claes yang bersumpah hendak menikmati hidupnya pada hayat ini membuat keputusan untuk mengubah nasibnya dan menumbangkan bendera kemusnahan. Namun, personalitinya yang berbeza daripada dia yang asal menyebabkan plot menuju ke arah yang tidak sama.
Monthly Girls’ Nozaki-kun

Sakura Chiyo, seorang pelajar sekolah menengah yang akhirnya tekad untuk meluahkan perasaannya kepada Nozaki Umetaro, tetapi apa yang dia dapat sebagai balasan ialah autograf Nozaki dan jemputan ke rumahnya. Walaupun terkejut dengan jemputan tersebut, Sakura masih pergi ke rumah Nozaki dengan harapan. Tetapi apa yang menunggunya adalah draf manga dan mengikut arahan Nozaki untuk inking lukisan. Hanya pada saat itu Sakura mengetahui bahawa Nozaki adalah pelukis manga shoujo terkenal, Yumeno Sakiko.
Itu sahaja yang kami boleh kongsikan kali ini. Kesemua anime di atas boleh ditonton secara percuma di iQIYI. Untuk mendapatkan liputan lain mengenai anime daripada kami, sila klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post