Salah satu ciri yang membezakan anime Jepun popular dengan kartun dari barat adalah ia mempunyai format bersiri, dan sebahagian daripadanya mempunyai episod sehingga beratus-ratus. Jalan cerita yang panjang dari anime mempunyai pembangunan dunia yang terperinci, seperti memberikan arc menarik pada setiap watak untuk membuatkan penonton lebih dekat pada naratif cerita. Walaupun ada anime yang mempunyai beratus-ratus episod, tetapi disebabkan ia mempunyai pengikut setia dan masih relevan sehingga menjadi ikutan penonton baru sehingga sekarang.
Terdapat beberapa anime popular di Jepun yang telah berjalan sejak tahun 1960-an sehingga beratus episod serta mempunyai peminat tersendiri sehingga terkenal di seluruh dunia. Jadi, hari ini kami akan kongsikan dengan pembaca, senarai anime Jepun popular yang mempunyai jumlah episod paling banyak disiarkan! Jom kita usya anime mana yang ada episod paling banyak!
10. Hunter X Hunter (148 episod)

Shonen untuk anime ini mempunyai reputasi yang panjang, dan Hunter X Hunter adalah salah satu contoh yang sangat popular! Anime ini diadaptasi dari manga yang dilukis dan ditulis oleh Yoshihiro Togashi pada tahun 1998 dan dijadikan rancangan TV setahun kemudian sehingga tahun 2001. Pada mulanya ia hanya memiliki 62 episod disiarkan, tetapi mendapat sambungan lagi 86 episod dari Oktober 2011 sehingga September 2014. Malah, ia mempunyai 30 episod OVA yang dihasilkan oleh Nippon Animation dari tahun 2002 sehingga 2004.
Hunter X Hunter mengisahkan tentang Gon Freecss yang menghabiskan sebahagian besar masa mudanya dengan berfikir bahawa dia hanyalah orang luar dari keluarganya. Sehinggalah suatu hari dia mengetahui ayahnya adalah seorang Hunter yang memburu artifak mistik, raksasa hebat berbahaya dan menjelajah ke tempat yang belum diterokai. Di anime ini anda dapat melihat pengembaraan Gon dalam usaha mencari ilmu dan mengembara supaya menjadi seorang Hunter seperti ayahnya juga.
9. Jojo’s Bizarre Adventure (152 episod)

Anime ini tidaklah pelik walaupun ia mempunyai “bizarre” pada tajuknya. Siri ini diadaptasi dari manga asli, yang mengandungi lapan barisan arc cerita berterusan yang serupa dengan mengikuti protagonis berlainan, tetapi mempunyai nama samaran sama, iaitu “Jojo”. Untuk pengetahuan pembaca, manga Jojo’s Bizarre Adventure bermula pada tahun 1987 dan masih lagi berjalan sehingga ke hari ini. Jangan lupa untuk menyaksikan Jojo’s Bizarre Adventure Part 6: Stone Ocean yang bakal dilancarkan pada bulan Disember ini di Netflix!
Menarik tentang anime ini adalah ia mempunyai artstyle yang ceria, berlebihan dan lucu, tetapi masih mengekalkan plot gelap dan serius. Jojo dan nenek moyangnya mempunyai kekuatan manusia luar biasa untuk berlawan dengan pelbagai makhluk ghaib, terutama vampire. Penjahat utama dalam Jojo’s Bizarre Adventure bernama Dio Brando yang membunuh dan menghisap darah supaya kekal abadi.
8. Astro Boy ( 193 episod)

Astro Boy dihasilkan oleh Osamu Tezuka dan mula disiarkan dalam manga pada tahun 1952 sehingga 1968. Ia merupakan salah satu francais manga dan anime yang paling berjaya di dunia, serta menjadi karya Tezuka paling terkenal! Astro Boy telah dipuji sebagai pengembang industri anime dan manga kerana banyak memberi inspirasi kepada penulis lain yang berpengaruh.
Siri anime ini mempunyai tiga fasa siaran, iaitu fasa pertama bermula pada tahun 1963 sehingga 1966. Fasa kedua siri pula bermula tahun 1980 sehingga 1981 bersama remake dan mempunyai warna tidak seperti fasa pertama yang hanya disiarkan dalam hitam-putih sahaja. Akhir sekali, fasa ketiga juga adalah remake serta mempunyai peningkatan kualiti lebih moden dari fasa kedua, dan ia disiarkan pada tahun 2003 sehingga 2004.
7. Sailor Moon (200 episod)

Tidak kira lelaki atau perempuan, pasti anda pernah melakukan gaya pose Sailor Moon sambil mengucapkan “dengan kuasa bulan akan menghukummu!” pada zaman 90-an kan? Sailor Moon merupakan antara anime yang popular ketika tahun 1992 sehingga 1997 dan bukan sahaja mendapat sambutan di Jepun, malah seluruh dunia termasuk Malaysia.
Populariti Sailor Moon telah menghasilkan banyak rilis yang telah mewakili sebahagian besar kandungan dunia anime ini, termasuk 3 filem, 39 permainan video, dan banyak soundtrack berasal dari kandungan anime. Ia juga mendapat adaptasi anime kedua bertajuk Sailor Moon Crystal, yang merupakan siri reboot dan ditayangkan di seluruh dunia dari Julai 2014.
6. Yu-Gi-Oh! (224 episod)

Pada mulanya, ramai yang menganggap siri ini sebagai klon Pokemon, tetapi ia sebenarnya menampilkan sudut menarik pada ikonografi dan mitologi Mesir kuno lebih unik! Terdapat dua adaptasi anime dihasilkan, iaitu satu dari Toei Animation yang mula ditayangkan dari April hingga Oktober 1998, dan satu lagi dihasilkan oleh NAS bertajuk Yu-Gi-Oh! Duel Monster yang disiarkan antara tahun 2000 sehingga 2004.
Siri manga Yu-Gi-Oh! bukan sahaja memiliki anime serta spin-off yang banyak, tetapi juga permainan seperti trading card game serta banyak permainan video. Sehingga kini, francais Yu-Gi-Oh masih menghasilkan anime tetapi dalam versi spin-off dan yang terbaru bertajuk Yu-Gi-Oh Seven.
5. Pokemon (276 episod)

Francais Pokemon bermula dari permainan video, dan menjadi antara game wajib main bagi para gamer! Perjalanan watak utamanya, iaitu Ash Ketchum dalam mengumpul Pokemon bermula sejak tahun 1999 sehinggalah sekarang. Siri anime Pokemon telah berlangsung selama 24 musim dan akan bertambah lagi apabila terdapat generasi Pokemon baru.
Selain dari kaya dengan siri anime, ia juga memiliki manga sendiri, 23 filem bersama satu live-action bertajuk Detective Pikachu. Malah, untuk pengetahuan anda, ramai pengumpul kad permainan Pokemon menjadi kaya setelah menjual koleksi eksklusif mereka, dan nilai paling tertinggi pernah dijual adalah sekeping kad holografik Charizard tahun 1999 edisi pertama berharga $369,000 (anggaran RM1,563,637.50).
4. Dragon Ball Z (291 episod)

Dragon Ball Z adalah sekuel siri sebelumnya yang hanya bertajuk Dragon Ball. Walaupun ia mempunyai komedi yang kurang hebat berbanding anime sebelum ini, tetapi disebabkan mempunyai peminat global jadi Dragon Ball Z mempunyai hampir 300 episod. Anime ini berfungsi sebagai adaptasi dari babak kedua manga asal.
Siri ini memasuki genre pertempuran fantasi, bersama gabungan keluarga anime shonen besar secara rasmi. Beberapa watak dari siri sebelumnya ditampilkan dan memfokuskan kisah Goku bersama sekutunya ketika mereka berlawan dengan beberapa ancaman intergalaksi.
3. Bleach (336 episod)

Selain dari Dragon Ball dan Pokemon, Bleach juga antara siri anime yang popular dan mempunyai episod lebih dari 200! Bleach telah dihasilkan oleh Studio Pierrot dan diarahkan oleh Noriyuki Abe. Siri ini disiarkan di TV Tokyo sejak Oktober 2004 sehingga Mac 2012 dengan jumlah sebanyak 336 episod, dan pada bulan Mac 2020, manga arc terakhir Bleach bertajuk “Thousand-Year Blood War” akan menerima adaptasi anime.
Bleach berkisahkan tentang Ichigo Kurosaki, juga dikenali sebagai Bleach kerana warna rambutnya yang tidak biasa, kelihatan seperti remaja bermuka masam ketika mengetahui bahawa dia memiliki kekuatan Soul Reaper. Ichigo adalah makhluk ghaib seperti Dewa Maut, yang ditugaskan bukan sahaja mencabut nyawa, malah perlu melindungi manusia dari semangat jahat, iblis dan makhluk lain yang mempunyai kuasa luar biasa.
2. Naruto Shippuden (500 episod)

Kisah pengembaraan Naruto dalam dunia shinobi sangat luas! Siri asalnya sendiri berlangsung selama 200 episod dan ditambah dengan siri Shipudden menjadikannya jumlah sebanyak 500 episod! Siri Naruto di adaptasi dari manga yang dihasilkan oleh Masashi Kishimoto dari tahun 1999 sehingga 2014. Pada siri Naruto yang asal, ia berkisahkan tentang kehidupan sebelum remaja Naruto seperti ketika dia mengambil ujian Chunin, misi menyelamatkan Sasuke dari menyertai Orochimaru dan akhir sekali berguru dengan salah seorang sanin legenda Jiraiya.
Manakala Naruto Shippuden pula mengenai dua tahun selepas dia kembali pulang dari mengembara bersama Jiraiya, mendapat ahli kumpulan baru, menewaskan organisasi Pain dan menjinakkan kyubi yang ada dalam badannya. Ia juga merangkumi kisah Fourth Great Shinobi War dengan jumlah 217 episod keseluruhan, walaupun perang itu hanya berlangsung selama dua hari sahaja. Malah, di penghujung episod lebih tertumpu kepada kisah sebelum perkahwinan Naruto dan Hinata sahaja.
1. One Piece (981 episod, akan berterusan dan tidak pasti bila akan tamat)

One Piece adalah salah satu anime paling popular dan merupakan yang paling lama berjalan dalam sejarah! Siri klasik ini diadaptasi dari manga yang dihasilkan oleh Eiichiro Oda. Manga One Piece pertama kali diterbitkan pada Julai 1997 dan ianya masih berterusan sehingga lah sekarang. Manakala untuk anime pula, ia mula disiarkan pada tahun 1999 dan berlangsung sehingga episod terkini bertajuk “Fighting Music! An Ability That Harms Luffy” yang bersiaran 8 Ogos 2021 lepas.
Di samping mempunyai jumlah episod yang tidak berkesudahan, One Piece juga memiliki 14 filem termasuk yang terkini adalah One Piece: Stampede yang dilancarkan pada 9 Ogos 2019. Anime ini telah memasuki musim ke 20 yang mula disiarkan pada 19 April 2020, dan sebanyak 101 episode ditayangkan pada musim ini sahaja!
Sampai disini sahaja perkongsian saya mengenai senarai anime popular dengan jumlah episod yang panjang! Bagi yang berminat, anda boleh membaca artikel mengenai senarai anime sukan menarik untuk ditonton. Nantikan lebih banyak perkongsian berkaitan anime dari kami di masa akan datang!
@gamersantaimy
Discussion about this post