Sudah 13 tahun sejak filem Avatar pertama ditayangkan. Kami pasti ramai yang sudah lupa tentang jalan cerita untuk filem pertama Avatar. Alang-alang filem sekuel “The Way of Water” akan ditayangkan nanti, jom kami ceritakan secara ringkas kepada anda tentang filem pertama!

Avatar membawa kita ke masa hadapan yang sangat jauh, di mana Bumi sudah hampir kehabisan sumber asli. Sebuah organisasi “Resource Development Administration” (RDA) telah ditubuhkan dan dihantar ke Pandora untuk mendapatkan mineral “unobtanium”.
Pandora, sebuah bulan yang jauh daripada bumi didiami oleh alien humanoid yang dikenali sebagai Na’vi. Mereka hidup dengan aman sehinggalah manusia datang ke dunia mereka.

Jake Sully, salah seorang ahli RDA yang lumpuh telah dihantar ke Pandora dengan menggunakan program Avatar. Program yang diketuai oleh Dr Grace Augustine, membolehkan manusia untuk menggunakan badan Na’vi dan memudahkan penerokaan landskap Pandora.
Tetapi Jake telah diserang oleh makhluk misteri semasa dalam hutan dan diselamatkan oleh Na’vi yang bernama Neytiri. Dia akhirnya dibawa ke perkampungan puak Neytiri dan diperkenalkan dalam komuniti mereka.

Setelah Jake kembali ke badan manusianya, Colonel Miles Quaritch, ketua pasukan keselamatan RDA telah mengetahui apa yang terjadi kepada Jake semasa di Pandora. Dia telah membuat perjanjian dengan Jake untuk mengembalikan kakinya jika Jake memberitahu segala maklumat mengenai Na’vi dan pangkalan mereka Hometree.
Nak dijadikan cerita, Jake pula jatuh hati kepada Neytiri dan mula sabotaj RDA daripada memusnahkan Hometree. Namun, RDA tetap mahu memusnahkan Hometree membuatkan Jake dan Grace kesuntukan masa untuk menyelamatkan Na’vi daripada terbunuh daripada rancangan tersebut.

Waktu inilah, Jake terpaksa berterus terang kepada Na’vi bahawa dia sebenarnya pengintip yang dihantar oleh RDA. Dengan pendedahan tersebut, dia dan Grace telah dikurung oleh Na’vi. Tetapi mereka akhirnya dilepaskan oleh ibu Neytiri.
Mereka selepas itu kembali ke badan asal mereka tetapi ditahan pula oleh Quaritch. Nasib mereka berdua baik apabila diselamatkan oleh seorang pilot tempur. Semasa melarikan diri, Grace pula telah ditembak dan akhirnya dia kecundang. Jake yang berjaya melepaskan diri kembali kepada Na’vi dan bekerjasama dengan mereka untuk melawan pasukan Quaritch.

Pada penghujung filem Avatar, hampir semua manusia telah diusir dari Pandora kecuali Jake dan beberapa kumpulan manusia lain. Jake yang tekad untuk tinggal di Pandora telah pindahkan dirinya ke dalam badan Na’vi dan mulakan kehidupan baru bersama Neytiri.
Kisah Jake tidak berakhir di sini dan akan bersambung dalam Avatar 2: The Way of Water. Nampaknya RDA tidak berpuas hati dan kembali ke Pandora. Kalau anda ingin tahu apa yang terjadi nanti, kenalah tonton filem tersebut di pawagam! Tiket juga telah dijual oleh cawangan pawagam terkenal seperti GSC dan TGV.
Untuk mendapatkan liputan lain mengenai filem daripada kami, sila klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post