Mengadaptasikan sebuah manga atau anime ke medium permainan video adalah perkara yang sangat kompleks, tetapi memandangkan francais That Time I Got Reincarnated as a Slime mempunyai banyak sifat RPG, ia sepatutnya dapat diubah ke game yang hebat dengan lancar. Di sini, saya memperkenalkan That Time I Got Reincarnated as a Slime ISEKAI Chronicles!
Ya benar, tajuknya memang panjang sekali. Menampilkan campuran antara naratif original dan juga jalan cerita serba baharu, game ini sepatutnya mempunyai banyak daya tarikan kepada penggemar genre isekai dan peminat lama siri ini.
Di sini, kami mendapat peluang untuk mencuba That Time I Got Reincarnated as a Slime ISEKAI Chronicles. Adakah ini game anime yang berjaya, atau adakah ia gagal? Teruskan membaca reviu lengkap kami.
Visual Naratif yang Mengecewakan

Jalan cerita bermula dengan peristiwa awal anime, termasuk transformasi Rimuru kepada slime, pakatannya dengan para goblin, dan peperangan dengan ogre. Ia kemudian maju ke peperangan dalam arc Kingdom of Falmuth.
Seiring bersama jalan cerita, game ini bergerak dengan tempo pantas ke arah peristiwa penting, termasuk bagaimana Rimuru mendapat bentuk manusia daripada Shizu dan membentuk pakatan dengan goblin dan ogre, yang kemudiannya menjadi Kijin, serta kemajuan kepada kerajaan miliknya.

Di penghujung cerita, pemain akan mencapai peperangan Kingdom of Falmuth, yang diambil terus daripada plot anime. Walau bagaimanapun, game ini mengambil pendekatan yang ringkas/simple.
Ini bermakna banyak butiran dan perkembangan watak terpaksa dibuang atau ditinggalkan, yang mungkin mengecewakan ramai peminat yang menghargai bahan sumber original. Malah, visual adegan cerita nampak agak malas kerana sekadar menggunakan visual gaya ‘slideshow’ dan dialog potret watak.
Gameplay Terlampau Mudah

Secara am, gameplay ISEKAI Chronicles mudah difahami, dan memfokuskan daripada satu pertarungan ke pertarungan seterusnya sambil menunjukkan jalan cerita utama.
Seperti saya kata tadi, segmen naratif dipersembahkan melalui kotak dialog dan imej statik, yang mengingatkan saya tentang siri Tales of Conversation dengan potret watak dan sedikit interaksi. Segmen ini berfungsi sebagai petunjuk untuk pemain terlibat dalam pertarungan di pelbagai lokasi dalam dunia game.

Aspek penting dalam game ini melibatkan konsep dungeon crawling, yang menawarkan gabungan eksplorasi dan pertempuran. Dungeon membenarkan pemain memilih laluan berbeza untuk melawan raksasa dan harta karun tambahan.
Walaupun majoriti dungeon sangat pendek, ia menyediakan kandungan yang mencukupi untuk beberapa pertarungan dan merasakan sepenuhnya sistem permainan.

Satu lagi mekanik gameplay ialah pembinaan kampung/kerajaan, di mana pemain menggunakan bahan yang dikumpul daripada pertarungan dan sumber untuk membangun dan menaik taraf kampung.
Setiap bangunan yang dibina akan meningkatkan stats rakan-rakan, dan watak memperoleh mata EXP yang boleh diagihkan kepada skill tree untuk menguatkan kemahiran.
Malangnya, pada pendapat kami, aspek pembangunan kampung ini cukup sederhana, tidak mempunyai lapisan strategi yang mendalam dan terasa agak hambar. Jadi bagi mereka yang berharap ada mekanisme kompleks seperti politik dan mesyuarat…. bukan dalam game ini.
Diselamatkan Oleh Sistem Pertempuran Yang Seronok

Sistem pertempuran ISEKAI Chronicles boleh dikatakan ciri yang paling menonjol dalam game ini. Game ini menggunakan mekanik tempur real-time 2D action yang pantas, daripada pandangan sisi seperti platformer, membolehkan pemain mengawal parti yang terdiri daripada lima watak – tiga ahli aktif dan dua ahli support yang boleh diseru.
Pertempuran melibatkan siri kombo untuk memaksimumkan hasil damage, dan setiap pertempuran dinilai berdasarkan damage yang dilakukan dan jumlah kombo yang dilaksanakan.

Pemain boleh melakukan serangan standard yang berbeza-beza berdasarkan penekanan butang dan input arah. Abiliti khas boleh dilengkapi, dengan efek tambahan yang boleh dibuka dengan menggabungkan input dengan arahan arah.
Setiap watak mempunyai teknik ultimate yang boleh digunakan selepas gauge diisi (contohnya, skil Predator milik Rimuru).

Keupayaan untuk mengelak dan bertukar antara watak menambah lapisan strategi, menggalakkan pemain untuk menggunakan ciri unik setiap watak dengan berkesan untuk menghasilkan output damage yang paling optimum.
Apa Yang Kurang?

Walau bagaimanapun, sistem pertempuran mempunyai kelemahan besar yang mempengaruhi pengalaman keseluruhan. Salah satu aspek yang paling mengecewakan ialah kawalan yang kekok semasa bertarung.
Walaupun serangan standard agak lancar, game mengalami kelewatan input apabila melakukan gerakan khas, menukar watak atau pulih daripada serangan. Delay ini agak menjengkelkan, menjadikannya sukar untuk mengekalkan kombo yang lancar dan sering menyebabkan game tidak responsif.

Sebagai contoh, selepas diserang oleh musuh, watak mengalami tempoh recovery yang panjang di mana mereka tidak dapat bergerak, seolah-olah mereka terpaksa “berdiam diri” sebagai hukuman.
Walaupun game ini membolehkan pemain menukar watak di tengah pertempuran untuk meneruskan serangan, malah mekanik penukaran watak juga dikacau oleh input lag, membuatkan saya kadang-kadang tertanya-tanya sama ada butang ini ditekan atau tidak.

Selain itu, AI untuk musuh dan rakan sepasukan kurang cerdik, jadi pergerakan mereka mudah diramal. Game ini sebenarnya mudah, dengan cabaran yang minimum walaupun pada tetapan normal.
Sistem kemajuan tidak mendalam, watak mempunyai skill tree sama yang memberi tumpuan pada peningkatan status dan bukannya memperkenalkan abiliti baharu. Anehnya, sebagai JRPG, game ini tidak termasuk sistem equipment untuk menaik taraf senjata atau perisai, seterusnya mengehadkan unsur customization dan pembangunan watak.
Pendapat

That Time I Got Reincarnated as a Slime ISEKAI Chronicles menawarkan gameplay yang mudah dan menarik, tetapi ia tidak boleh dikatakan luar biasa. Tarikan utama terletak pada sistem pertempuran aksi pantas yang menyeronokkan.
Walaupun visual cerita kurang baik, kemasukan dialog lakonan suara menambah keasyikan, dan menunjukkan usaha pembangun untuk menambah baik daripada aspek penceritaan.

Walau bagaimanapun, game ini dihalang oleh mekanik yang “terlalu mudah” dan berulang jika anda seorang JRPG tegar. Naratif terasa terlalu tergesa-gesa, sehingga hilang titik plot yang penting dan pembangunan watak-watak sampingan.
Aspek pembangunan kampung, walaupun ada, tidak mempunyai unsur kedalaman dan strategi yang menjadikannya lebih menarik.

Bagi peminat siri Tensura, game ini memberikan keseronokan tambahan melalui detik-detik penting dalam cerita. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang tidak biasa dengan sumber original atau mengharapkan pengalaman yang lebih bervariasi, game ini mungkin berasa kurang menarik dan tidak istimewa.
Bagi mereka yang berminat, That Time I Got Reincarnated as a Slime ISEKAI Chronicles boleh didapati sekarang di PS4, PS5, Xbox One, Xbox Series, Nintendo Switch dan PC. Anda boleh melayari lamab web rasmi di SINI untuk maklumat lanjut.
@gamersantaimy
The Review
That Time I Got Reincarnated as a Slime ISEKAI Chronicles
That Time I Got Reincarnated as a Slime ISEKAI Chronicles menawarkan gameplay yang mudah dan menarik, tetapi ia tidak boleh dikatakan luar biasa. Tarikan utama terletak pada sistem pertempuran aksi pantas yang menyeronokkan. Walaupun visual cerita kurang baik, kemasukan dialog lakonan suara menambah keasyikan, dan menunjukkan usaha pembangun untuk menambah baik daripada aspek penceritaan. Walau bagaimanapun, game ini dihalang oleh mekanik yang "terlalu mudah" dan berulang jika anda seorang JRPG tegar. Naratif terasa terlalu tergesa-gesa, sehingga hilang titik plot yang penting dan pembangunan watak-watak sampingan.
PROS
- Sistem pertempuran yang menyeronokkan dengan tempo yang pantas
- Dialog dihiasi lakonan suara
CONS
- Kawalan pertempuran yang sangat kekok
- Gameplay terlalu mudah dan berulang
- Sistem kemajuan amat terhad
- Jalan cerita diringkaskan dalam gaya slideshow yang membosankan
Discussion about this post