Spy x Family merupakan antara anime yang paling popular pada masa kini dan cukup terkenal di seluruh dunia. Jadi, tidak hairanlah francais ini mendapat adaptasi game oleh Bandai Namco Entertainment, bertajuk SPY×ANYA: Operation Memories.
Di sini, kami mendapat peluang untuk mencuba game tersebut. Adakah SPY×ANYA: Operation Memories benar-benar menyeronokkan, atau adakah ia hanya bergantung pada populariti anime? Teruskan membaca reviu ini!
Premis

Kisah SPY×ANYA: Operation Memories bermula seperti anime; Anya ingin menarik perhatian Damian dengan menunjukkan sebuah diari bergambar untuk melaksanakan ‘Plan B’. Bagi yang tidak tahu apa itu Plan B, ini adalah rancangan Loid Forger (bapa Anya) untuk misi Operasi “Strix”, di mana Anya mesti berkawan dengan Damian Desmond, anak kepada sasaran.
Khususnya, Anya perlu menarik perhatian Damian dengan diari gambarnya, sehingga Damian menjadi kawannya. Oleh itu, keluarga Forger memulakan misi untuk keluar bersama pada tiap hujung minggu, meminta Anya mengambil gambar dengan barangan istimewa dan mengumpul kenangan harian Anya untuk diari foto tersebut.
Gameplay Pelbagai Aktiviti

Pandangan pertama saya; game ini sangat mudah – dengan aktiviti pada waktu pagi, selepas sekolah, dan selepas makan malam. Pada hari-hari biasa, Anya perlu pergi ke sekolah pada waktu pagi. Selepas pulang dari sekolah, Anya boleh mengambil gambar di rumah dan selepas makan malam, dia boleh menulis diari (yang mengandungi pelbagai mini-game). Manakala semasa hari cuti, bahagian sekolah Anya bertukar kepada segmen siar-siar.
Rutin Pagi

Di Eden Academy, Anya perlu mencari “barangan Super Cool” untuk mengambil gambar. Setiap foto memberi Eureka, yang boleh digunakan dalam segmen “Today’s Adventure”, untuk membuka tahap kesukaran setiap mini-game.
Jika mengambil gambar pada sudut, masa dan fokus yang betul, anda akan mendapat Eureka bonus. Pemain pun jangan terlalu risau kerana ini adalah game kasual dan sistem akan memaklumkan jika gambar itu berkualiti atau tidak melalui tiga kotak warna berbeza (kuning, merah jambu dan hijau). Kotak warna akan muncul apabila anda menemui sudut/masa/fokus yang betul, jadi ambil gambar apabila melihat semua warna.
Pergi bersiar-siar

Setiap tiga hari, keluarga Forger akan pergi ke suatu tempat seperti kawasan air pancut, plaza dan lain-lain untuk bersiar-siar, berjumlah 10 destinasi. Selepas pulang dari bersiar-siar, anda mesti mengadakan Family Meeting untuk memilih destinasi seterusnya, dan menentukan barang apa yang Anya patut bawa dalam perjalanan. Sebagai contoh, robot, penguin atau Director Chimera ialah barang khas untuk kawasan air pancut, dan merupakan “kunci” untuk sesi fotografi yang berjaya.
Sistem Kostum

Memandangkan gameplay utama adalah fotografi, masuk akal bahawa ada pelbagai jenis kostum. Semua ahli Forger (termasuk Bond) boleh menukar kostum, yang boleh dikategorikan kepada pakaian, aksesori, gaya rambut dan topi. Kostum boleh dibeli daripada tutorial, misi, kedai dan undian. Apabila membuka destinasi persiaran baharu, kedai akan menambah item baharu yang sesuai dengan tempat itu.
Rutin Selepas Pulang Sekolah

Apabila Anya pulang dari sekolah, dia boleh mengambil gambar dengan barang-barang “Super Cool” di sekeliling rumah. Selepas itu, Anya boleh makan malam atau berbual dengan keluarga Forger. Sama seperti Damian, Becky dan Encik Henderson, bercakap dengan Loid dan Yor akan meningkatkan keakraban. Selepas itu, anda boleh mendapatkan special event. Semakin jauh bermain, Yuri atau Fiona turut akan muncul. Sebagai contoh, saya bertemu dengan Yuri (abang Yor), satu hari selepas sekolah, dan berbual dengannya.
Selepas makan malam, tiba masanya untuk mini-game, yang dinamakan “Today’s Adventure”. Terdapat 17 mini-game yang dibahagikan kepada “Papa’s Job”, “Mama’s Job”, “Nap with Bond” dan “P-Two Mission”. Mini-game akan dibuka selepas membuka lebih banyak objektif persiaran. Setiap mini-game mempunyai 3 tahap kesukaran (Peanuts, Penguin, dan Chimera) dan pemain mesti bermain 3 kali untuk membuka peringkat seterusnya.
Masak-Masak dengan Yor

Mini-game ini diilhamkan oleh kemahiran memasak Yor yang menakutkan dalam Episod 16. Pemain mesti mengawal Yor untuk memotong sayur-sayuran yang jatuh dari udara. Sayuran yang akan dipotong mempunyai garis biru di atasnya, dan apabila sayur menyentuh garisan biru di bahagian bawah skrin, tekan butang untuk membentuk “Elegant Cut”. Jika terlepas 4 kali, mini-game akan tamat.
Dodgeball

Mini-game ini diinspirasikan oleh Episod 10, di mana Anya ingin mendapatkan Stellar Star melalui permainan Dodgeball. Anya mesti menangkap bola dan membaling ke arah pihak lawan. Dia boleh menukar watak kepada Becky dan Damian, yang boleh melakukan gerakan istimewa apabila mengisi bar hingga penuh. Jurus istimewa Anya ialah membaca fikiran pihak lawan dan mengelak sebanyak 3 kali.
Loud’s Escape

Loid perlu menyelinap ke muzium seni dan memeriksa 5 karya seni dalam masa yang terhad. Apabila Loid berjaya memeriksa satu, dia akan mendapat masa tambahan. Momen yang paling mendebarkan adalah apabila lokasi Loid dikesan dan semua pengawal berlari ke arahnya dari semua sisi, di mana anda perlu melarikan diri.
Permainan Kad

Lebih ke aspek strategik, anda mungkin dapat memahami peraturan dengan lebih mudah jika pernah bermain kad Poker atau game “Tycoon”. Dalam mini-game ini, pemain meletakkan kad mengikut urutan dari yang paling lemah kepada yang paling kuat. Matlamat adalah untuk membuang semua kad secepat mungkin.
Memandangkan ini adalah permainan kasual, anda tidak perlu risau kerana sistem akan menyalakan kad yang boleh digunakan secara automatik.
Mini-Game Lain

Sebenarnya ada beberapa mini-game lain, seperti Go, Bond, Go! Permainan ini mengingatkan saya tentang Cookie Run: Kingdom. Anya, yang mahukan Stella Star untuk Plan A, bermimpi untuk mendapatkan satu bersama Bond dalam mimpi. Dia akan menunggang Bond dan menangkap sebanyak mungkin bintang, sambil mengelak daripada halangan.
Terdapat juga game “Tag With P2”. Fokus utama adalah untuk makan semua kacang tanpa ditangkap. Anda boleh makan macaron untuk mengaktifkan mode Sugar Rush untuk tempoh masa tertentu. Apabila dalam mode Sugar Rush, Anya akan dapat memijak pengejarnya.
Boleh Bermain Dua Orang

Beberapa permainan boleh dimainkan oleh dua pemain. Bermain mini-game yang sama sepanjang masa semata-mata untuk membuka kandungan pasti menjadi membosankan, jadi tambahan ciri ini memberi lebih banyak keseronokan. Lagi-lagi kerana kita dapat berseronok bersama ahli keluarga dan rakan-rakan!
Kesimpulan

Secara keseluruhan, SPY×ANYA: Operation Memories adalah game yang menyeronokkan, khas untuk peminat siri dan juga kanak-kanak.
Pemain diberi peluang untuk bermain sebagai Anya dan mengalami kehidupan hariannya. Jika anime hanya menunjukkan adegan istimewa daripada hidup Anya, game ini akan memberi pengalaman lebih imersif dengan memberi kita cara untuk mengalami kehidupan harian gadis comel tersebut. Apa yang lebih menarik ialah setiap perbualan dalam game ini disuarakan penuh, tidak kira semasa misi atau tidak.

Malah, gameplay pun amat ‘simple’ dan mudah dimainkan, tetapi variasi gameplay memberikan pengalaman yang sangat menarik. Jika anda suka Spy x Family atau sekadar mencari game yang sesuai dimainkan bersama keluarga, saya akan 100% mengesyorkan SPY×ANYA: Operation Memories kepada anda.
Bagi mereka yang berminat, SPY×ANYA: Operation Memories telah dikeluarkan secara rasmi untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Nintendo Switch dan PC melalui Steam. Anda boleh melayari laman web rasmi di SINI untuk maklumat lanjut.
@gamersantaimy
The Review
SPY×ANYA: Operation Memories
Jika anime hanya menunjukkan adegan istimewa daripada hidup Anya, game ini akan memberi pengalaman lebih imersif dengan memberi kita cara untuk mengalami kehidupan harian gadis comel tersebut
PROS
- Gameplay yang mudah dan menyeronokkan
- Terdapat banyak mini-game menarik
- Lakonan suara penuh di pelbagai segmen permainan
CONS
- Mini-game menjadi repetitif apabila terpaksa bermain untuk membuka kandungan baharu
Discussion about this post