MSI sekali lagi mencuba nasib dalam pasaran handheld gaming menerusi Claw 8 AI+ A2VM, sebuah model yang membawa banyak pembaharuan berbanding keluaran pertamanya. Ia bukan sekadar naik taraf kecil dengan spesifikasi baharu, sebaliknya Claw 8 AI+ A2VM hadir dengan peningkatan besar yang benar-benar mengubah pengalaman penggunaan.
Model ini berjaya memperbaiki kelemahan terdahulu, sekaligus menawarkan sebuah peranti yang jelas dibangunkan untuk memenuhi kehendak gamer yang mementingkan prestasi tinggi dan kebolehan untuk bermain di mana-mana.

Dengan naik taraf pada bahagian perkakasan serta reka bentuk yang lebih matang dan praktikal, handheld terbaru daripada MSI ini kelihatan cukup bersedia untuk mencabar pesaing-pesaingnya dalam dunia handheld gaming yang semakin sengit. Ini ulasan penuh kami.
Reka Bentuk
MSI Claw 8 AI+ tampil dengan casis dua tona berwarna hitam/sandstone, memberikan rupa moden yang cukup unik. Walaupun diperbuat daripada plastik, peranti ini terasa kukuh di tangan dan jelas dibina dengan kualiti yang baik. Kemasannya yang matte pula berfungsi dengan baik untuk mengurangkan kesan cap jari, mengekalkan rupa bersih walaupun selepas penggunaan yang lama.

Reka bentuk pegangan disesuaikan agar selesa dipegang, dengan bentuk ergonomik yang mengingatkan kepada controller moden. Kami mendapati cengkamannya sangat selesa, terutama ketika bermain untuk tempoh yang panjang.

Claw 8 AI+ turut dilengkapi dengan kayu analog dan trigger jenis Hall Effect, yang menawarkan kawalan input yang lebih tepat dan tahan lama. Trigger memberikan rasa tekanan yang natural dengan tindak balas klik, menghapuskan masalah dead zone dan meningkatkan respons ketika bermain.

Dua port Thunderbolt 4 turut disediakan, membolehkan sambungan ke pelbagai aksesori termasuk paparan luaran dan GPU. MSI juga menambah titik timbul kecil di atas pembaca kad SD dan port, memudahkan pengguna mencari port tersebut dalam suasana bercahaya malap — satu perincian kecil yang cukup berguna untuk pemain yang aktif dalam pelbagai situasi.

Skrin kayu analog dan butang ABXY hadir dengan pencahayaan RGB yang boleh disesuaikan, membolehkan pengguna menghias dan memperibadikan setup gaming mereka mengikut citarasa masing-masing.
Paparan
MSI Claw 8 AI+ hadir dengan skrin sentuh IPS bersaiz 8 inci beresolusi 1920 x 1200. Dengan nisbah aspek 16:10, pengguna menikmati ruang menegak yang lebih luas, sekali gus meningkatkan pengalaman bermain dan juga tugasan produktiviti. Jika dibandingkan dengan skrin 7 inci pada model terdahulu, Claw A1M, peningkatan saiz ini amat terasa dan sangat dihargai.

Skrin ini menyokong kadar penyegaran 120Hz bersama teknologi Variable Refresh Rate (VRR), memberikan pengalaman gaming yang sangat lancar dan responsif. Sama ada ketika beraksi pantas atau meneroka dunia terbuka, paparan kekal stabil dan bebas daripada gangguan visual.

Dengan tahap kecerahan maksimum mencecah 500 nits, skrin ini mampu beradaptasi dengan pelbagai keadaan pencahayaan, termasuk ketika bermain di luar rumah. Warna yang dipaparkan juga kelihatan hidup dan terang, memberikan pengalaman visual yang memuaskan. Walaupun keupayaan kontrasnya tidak setanding dengan panel OLED, prestasinya tetap cukup baik untuk kebanyakan jenis game.

Respons skrin sentuh juga mengagumkan, merekodkan setiap ketikan dan gerakan dengan tepat. Namun, semasa menavigasi UI Windows 11, sedikit pelarasan pada tahap zum boleh membantu menjadikan interaksi sentuhan lebih mudah dan tepat.
Prestasi
Dalam ujian kami, MSI Claw 8 AI+ membuktikan keupayaannya mengendalikan game moden dengan kadar bingkai yang baik, malah sering mengatasi pesaing lain yang menggunakan cip AMD. Ini berkat gabungan kuasa CPU Intel Core Ultra 7-258V dan GPU Arc 140V.

Claw 8 AI+ menawarkan beberapa pilihan mod kuasa, membolehkan pengguna mengimbangi antara ketahanan bateri dan prestasi maksimum. Sistem penyejukan Claw 8 (Cooler Boost HyperFlow) turut berfungsi dengan cekap, memastikan kelajuan jam kekal tinggi tanpa menghasilkan bunyi kipas yang mengganggu, membolehkan sesi gaming panjang berjalan lancar tanpa isu thermal throttling.

Monster Hunter Wilds menuntut prestasi GPU yang tinggi, namun Claw 8 AI+ membuktikan ia masih mampu menjadikan game ini agak boleh dimainkan. Kami menjalankan ujian pada resolusi 1920×1200, dengan tetapan grafik paling rendah, menggunakan upscaling Ultra Performance (AMD FSR 3) dan Ray Tracing dimatikan. Hasilnya, kami mencatat purata sekitar ~30 FPS, dengan tahap kejelasan imej yang agak memuaskan untuk tetapan Ultra Performance. Jika kami menurunkan resolusi dan Frame Generation.

Beralih ke Like a Dragon: Pirate Yakuza in Hawaii, kami mengujinya pada resolusi 1920×1200, tetapan grafik rendah, dan menggunakan upscaling Intel XeSS. Keputusan menunjukkan prestasi stabil dengan lebih 50 FPS secara konsisten, malah ada bahagian dunia terbuka yang mencecah 60 FPS, dengan purata sekitar ~53-55 FPS. Dalam beberapa adegan pertempuran, kami perasan sedikit penurunan ke paras rendah 50-an, namun game masih berjalan lancar tanpa terasa ‘lag’, menjadikan keseluruhan pengalaman sangat memuaskan.

Kami juga menguji Dynasty Warriors: Origins. Pada resolusi asal dengan tetapan grafik rendah, prestasi stabil sekitar ~30 FPS. Walaupun angka ini bukanlah yang terbaik untuk genre musou yang penuh aksi pantas, ia tetap boleh dimainkan. Dengan sedikit pelarasan, seperti menurunkan resolusi, kami berjaya mendapatkan FPS yang lebih tinggi untuk pengalaman gameplay yang lebih lancar dan menyeronokkan, terutamanya ketika aksi menekan butang bertubi-tubi.

Secara keseluruhan, MSI Claw 8 AI+ A2VM menawarkan kombinasi prestasi kukuh dan pengalaman handheld yang tulen. Monster Hunter Wilds berjalan sekitar 50 FPS, Like a Dragon: Pirate Yakuza in Hawaii kekal stabil pada 50 FPS ke atas, dan Dynasty Warriors: Origins pula terasa sangat lancar selepas sedikit pelarasan tetapan dilakukan.
Jangka Hayat Bateri
MSI Claw 8 AI+ menyediakan beberapa pilihan tetapan kuasa bagi membolehkan pengguna mengimbangi prestasi dan ketahanan bateri mengikut keperluan:
- AI Engine Mode
- Endurance Mode
- Manual Mode

Mod-mod ini memberikan fleksibiliti penuh, membolehkan pengguna memilih keseimbangan terbaik antara kuasa dan ketahanan bergantung pada situasi. Sepanjang pengalaman gaming kami, Claw 8 AI+ mampu bertahan sekitar 3 hingga 3.5 jam dalam AI Engine Mode.

Untuk penggunaan yang lebih menjimatkan, Endurance Mode boleh memanjangkan hayat bateri lebih daripada 4 jam, terutamanya jika anda hanya melakukan tugasan ringan atau bermain game yang kurang berat.

Jika anda mahukan prestasi maksimum untuk game berat, anda boleh beralih ke Manual Mode, di mana TDP boleh dilaraskan sehingga 30W (pilihan antara 8W/17W/30W). Dalam tetapan ini, bateri bertahan sekitar 1.5 hingga 2.5 jam bergantung pada beban tugas.

Claw 8 AI+ juga menyokong pengecasan pantas 64W melalui dua port Thunderbolt 4, membolehkan pengecasan penuh diselesaikan dalam sedikit lebih dua jam sahaja, meminimumkan masa rehat antara sesi gaming anda.
Perisian
Dalam dunia PC handheld gaming, perisian memainkan peranan penting dalam menentukan kualiti pengalaman pengguna. MSI Claw 8 AI+ A2VM mengambil langkah ke hadapan dengan memperkenalkan versi baharu MSI Center M, yang direka untuk menawarkan UI yang lebih lancar dan mesra pengguna.
Mari kita lihat bagaimana perisian ini memperkaya pengalaman menggunakan Claw 8 AI+.

MSI Center M berfungsi sebagai pusat kawalan utama, menguruskan pustaka game serta tetapan sistem dengan mudah. Ia akan dilancarkan secara automatik sebaik sahaja peranti dihidupkan, memaparkan semua game yang telah dimuat turun serta memberikan akses pantas kepada mod prestasi, kawalan pencahayaan RGB, dan konfigurasi controller. UI-nya ringkas, bersih dan mudah dinavigasi, menjadikannya mesra pengguna walaupun pada skrin sentuh 8 inci Claw.

Antara ciri utama yang ditawarkan:
- Integrasi Game Launcher: Akses terus ke platform popular seperti Steam, Xbox Game Pass, dan Epic Games Store tanpa perlu keluar dari Center M.
- Mod Prestasi: Tukar antara pelbagai profil kuasa dengan mudah, termasuk mod AI yang secara automatik melaraskan tetapan berdasarkan corak penggunaan anda.
- Kawalan Pencahayaan RGB: Sesuaikan efek Mystic Light pada kayu analog dan butang ABXY untuk sepadan dengan citarasa peribadi anda.
- Quick Settings Overlay: Paparan separa lutsinar untuk membuat pelarasan pantas seperti kecerahan, kelantangan, dan memantau prestasi, tanpa perlu keluar dari game.

Claw 8 AI+ turut dilengkapi dengan AI Engine yang pintar, menguruskan prestasi dan penggunaan kuasa secara dinamik berdasarkan aktiviti yang sedang dijalankan. Tujuannya adalah untuk memaksimumkan jangka hayat bateri tanpa mengorbankan kualiti pengalaman gaming. Walaupun ciri automatik ini sangat memudahkan, sesetengah pengguna mungkin lebih gemar mengawal tetapan secara manual untuk lebih ketepatan dalam talaan prestasi.
Pendapat
MSI Claw 8 AI+ A2VM membuktikan ia membawa banyak perubahan besar. Model ini berjaya menangani kebanyakan kelemahan yang terdapat pada Claw generasi pertama, dengan menawarkan paparan yang lebih terang dan lancar, prestasi yang jauh lebih mantap, serta sistem pengurusan haba yang lebih cekap. Anda juga mendapat pilihan mod kuasa yang fleksibel bersama bateri bersaiz 80Wh, membolehkan anda memilih antara prestasi penuh atau sesi gaming yang lebih lama mengikut keperluan.

Dari segi rekaan, ia sangat selesa dipegang, hasil daripada bentuk ergonomik dan penggunaan kawalan Hall Effect yang responsif. Perisian MSI Center M yang baru pula menjadikan pengurusan game dan tetapan sistem lebih mudah dan tersusun. Semua perincian kecil yang ditambah—seperti trigger yang responsif dan kehadiran dua port Thunderbolt 4—menyumbang kepada pengalaman penggunaan yang jauh lebih memuaskan.

Namun begitu, harga jualannya yang mencecah RM4,299.00 mungkin membuatkan sesetengah pengguna berfikir dua kali. Selain itu, ia bukanlah handheld paling ringan yang ada di pasaran. Tetapi, jika anda mencari sebuah PC handheld Windows yang mampu memainkan game moden dengan sedikit sahaja kompromi, MSI Claw 8 AI+ sememangnya wajar dipertimbangkan dengan serius.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
@gamersantaimy
Discussion about this post