Gamer Santai
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
No Result
View All Result
Gamer Santai
No Result
View All Result

Reviu Like a Dragon: Pirate Yakuza in Hawaii – Pengembaraan Gila Majima Di Lautan Bergelora

Razin Syafiq by Razin Syafiq
February 26, 2025
in Action, Artikel, Berita, Game Review, PC, PS4, PS5, Review, Steam, Xbox One, Xbox Series X|S
0 0
0
Reviu Like a Dragon: Pirate Yakuza in Hawaii – Pengembaraan Gila Majima Di Lautan Bergelora
Share on FacebookShare on Twitter

Siri Like a Dragon sentiasa dikenali kerana naratifnya yang berani, pertempuran dinamik, kandungan sampingan yang banyak, dan lebih penting lagi, kesediaannya mengambil risiko dalam aspek gameplay. Dengan Like a Dragon: Pirate Yakuza in Hawaii, RGG Studio sekali lagi membuat langkah mengejutkan dengan menjadikan Goro Majima sebagai watak utama dalam pengembaraan lanun di lautan tinggi.

Spin-off ini menggabungkan pertempuran gaya brawler klasik Yakuza dengan pertarungan kapal, latar tropika yang penuh rahsia, serta jalan cerita yang mengimbangi humor dan drama menyentuh hati. Namun, adakah pendekatan berani ini berjaya, atau ia tersasar terlalu jauh daripada kekuatan utama siri ini?

Ayuh kita kaji dalam reviu ini.

Naratif Menjelaskan Sisi Baharu Majima

Like a Dragon: Pirate Yakuza in Hawaii bermula dengan premis yang menarik—Majima terdampar di sebuah pulau misteri di Hawaii tanpa ingatan tentang bagaimana dia sampai ke sana. Dia kemudian bertemu dengan seorang budak lelaki bernama Noah Rich, yang membantunya menyesuaikan diri di persekitaran asing ini.

Semasa mengumpul semula kekuatannya, Majima mendapati bahawa Hawaii sedang bergolak dengan perang lanun, di mana pelbagai puak bersaing untuk menguasai laluan perdagangan, harta karun, dan sebuah artifak legenda yang dikenali sebagai Esperanza.

Kredit: Sega

Kisahnya bijak menggabungkan unsur humor dan drama, mengekalkan identiti francais ini. Interaksi Majima dengan penduduk tempatan dan kapten-kapten lanun penuh dengan gaya liar yang menjadi tanda ikoniknya, namun naratif juga memberi ruang kepada detik-detik lebih serius yang meneroka pergolakan dalamannya tentang identiti dan tujuan hidup.

Jika Infinite Wealth menekankan perjalanan Ichiban dalam mencari makna dirinya, Pirate Yakuza in Hawaii memberikan perkembangan karakter yang berbeza tetapi sama menarik bagi Majima. Cara game ini menyeimbangkan sifatnya yang gila dan spontan dengan momen-momen emosi menjadikannya antara gambaran terbaik untuk Majima dalam siri ini.

Kredit: Sega

Satu lagi kelebihan penceritaannya ialah world-building. Hawaii bukan sekadar latar kosong—ia adalah persekitaran yang hidup dengan sejarah, konflik, dan mitos tersendiri. Setiap kawasan yang dikunjungi Majima mempunyai identiti unik, dipenuhi NPC dengan kisah dan pandangan mereka terhadap pergolakan kuasa yang sedang berlaku.

Kru-kru bajak laut yang berbeza juga ditulis dengan baik, masing-masing mempunyai motivasi dan konflik tersendiri. Ada yang menjadi musuh sengit, manakala yang lain berperanan sebagai sekutu yang tidak disangka, menjadikan setiap interaksi terasa unik.

Kredit: Sega

Namun, game ini mengalami sedikit masalah tempo di bahagian pertengahan. Walaupun permulaan cukup memikat dan bab akhir dipenuhi dengan drama berintensiti tinggi, ada bahagian tertentu yang terasa meleret akibat keperluan untuk menyelesaikan sub-story sebelum meneruskan cerita utama serta pendedahan maklumat yang berlebihan.

Walaupun sesetengah detik ini membantu memperkayakan dunia permainan, ada yang terasa seperti lencongan tidak perlu dari naratif utama. Begitu pun, penulisannya kekal solid sepanjang permainan, dan sub-story yang lucu serta pertemuan tidak dijangka membantu momen-momen yang lebih perlahan.

Kredit: Sega

Salah aspek paling menyeronokkan dalam penceritaan ialah bagaimana ia menerima sepenuhnya kegilaan dunia lanun tanpa mengorbankan emosi dalam kisah. Dari pertarungan laut yang keterlaluan hingga detik-detik persahabatan yang menyentuh hati, Like a Dragon: Pirate Yakuza in Hawaii berjaya menangkap apa yang menjadikan siri ini begitu digemari.

Peminat Majima pasti menghargai ruang yang diberikan untuk wataknya berkembang, manakala pemain baru juga akan mudah jatuh cinta dengan personalitinya yang tidak dapat diduga tetapi memikat.

Kembali Ke Akar Brawler

Sistem pertempuran dalam Like a Dragon: Pirate Yakuza in Hawaii kembali ke format real-time brawler, berbeza dengan sistem turn-based yang digunakan dalam entri utama terbaru siri ini. Ini tidak mengejutkan memandangkan game ini lebih kepada spin-off, seperti Like a Dragon Gaiden, berbanding judul utama.

Kredit: Sega

Majima mempunyai dua gaya bertarung yang unik: Mad Dog, yang menekankan akrobatik dan kelajuan, serta Sea Dog, gaya baru yang menggabungkan penggunaan pedang cutlass, pistol, dan serangan dengan cangkuk rantai.

Peralihan antara kedua-dua gaya ini berlaku dengan dinamik, memberikan variasi serta elemen taktikal dalam pertempuran.

Kredit: Sega

Gaya Mad Dog mengekalkan teknik pertarungan Majima seperti dalam Yakuza 0, dengan gerakan liar dan sukar dijangka yang menjadi imejnya. Dia dapat mengelak dan menyerang balas dengan pantas, menyusun kombo yang bukan sahaja kelihatan bergaya tetapi juga sangat memuaskan.

Gaya ini sangat sesuai untuk pemain yang gemar menyerang secara agresif tanpa henti.

Kredit: Sega

Sebaliknya, gaya Sea Dog memperkenalkan elemen baru dengan membolehkan Majima menggunakan senjata bertemakan lanun. Gabungan pertempuran pedang dan tembakan dari jauh menambah dimensi, membolehkan pemain mengawal ruang dan menghadapi kumpulan musuh dengan lebih berkesan.

Kredit: Sega

Satu aspek terbaik dalam sistem pertempuran adalah kelancaran pergerakan dan animasi serangan Majima. Setiap tumbukan, sepakan, dan serangan terasa berimpak.

Heat Move kembali dengan finisher bertemakan lanun penuh aksi—sama ada mencangkuk musuh dengan lembing atau menghumban mereka dari tiang layar kapal, setiap gerakan khas membawa elemen spektakular yang menambah keseronokan pertempuran.

Kepelbagaian situasi perlawanan, daripada pergaduhan jalanan di pekan pesisir hingga pertempuran di atas dek kapal menentang lanun yang menyerang, turut memastikan aksi kekal segar dan menghiburkan.

Kredit: Sega

Walaupun pertarungan secara keseluruhan sangat menyeronokkan, AI musuh kadangkala terasa kurang mencabar, menyebabkan beberapa perlawanan terasa lebih mudah berbanding entri Like a Dragon sebelumnya.

Selain itu, sistem lock-on boleh terasa sedikit kekok, terutamanya di kawasan sempit, menjadikannya sukar untuk menyasarkan musuh tertentu dengan tepat.

Kredit: Sega

Namun, kelemahan kecil ini tidak menghalang sistem pertarungan Pirate Yakuza in Hawaii daripada menjadi salah satu aspek terbaik. Keupayaan menukar gaya bertarung serta penggunaan persekitaran untuk serangan yang lebih dahsyat memastikan setiap pertempuran kekal menarik.

Peminat francais yang menggemari aksi pantas dan ganas pasti akan menikmati sistem ini, walaupun ada beberapa mekanik yang boleh dikemaskan lagi.

Pertempuran Diteruskan Ke Laut

Salah satu elemen baharu terbesar dalam Pirate Yakuza in Hawaii ialah pertarungan laut, sesuatu yang belum pernah diperkenalkan dalam siri ini sebelum ini.

Pemain akan mengendalikan kapal Majima, Goromaru, bertarung dengan kapal musuh menggunakan meriam, menyerbu kapal lawan untuk pertarungan jarak dekat, serta menaik taraf kapal dengan senjata dan pertahanan yang lebih baik.

Kredit: Sega

Sistem pertarungan laut menawarkan pengalaman yang lebih kompleks daripada jangkaan, membolehkan pemain bertarung secara strategik di lautan terbuka. Meriam, pelancar roket, dan mesingan gatling memberikan variasi serangan yang boleh digunakan mengikut situasi.

Selain itu, pemain boleh melanggar kapal musuh atau menyerbunya secara langsung.

Kredit: Sega

Satu aspek menarik ialah sistem naik taraf dan penyesuaian kapal, di mana pemain boleh meningkatkan kelajuan, kekuatan serangan, dan ketahanan Goromaru. Pemain juga boleh menukar reka bentuk layar, badan kapal, serta merekrut kru dengan kelebihan tersendiri yang mempengaruhi prestasi pertempuran.

Sistem ini menggalakkan penerokaan dan pengurusan sumber bagi memastikan kapal sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

Kredit: Sega

Bagi mereka yang ingin mengasah kemahiran bertempur di laut, Pirates’ Coliseum berfungsi sebagai arena pertempuran laut, menawarkan cabaran dengan kapal musuh yang semakin sukar.

Menyelesaikan cabaran ini memberikan ganjaran berupa naik taraf dan pilihan penyesuaian kapal yang jarang ditemui, menjadikannya aktiviti sampingan yang berbaloi untuk diterokai.

Kredit: Sega

Walaupun memberikan pengalaman unik, pertarungan laut boleh menjadi agak repetitif, terutama dalam pertempuran yang berlangsung terlalu lama. Selain itu, AI kapal musuh kadangkala mengalami masalah navigasi, menyebabkan pertempuran terasa kurang lancar.

Namun, ledakan meriam yang menggegarkan lautan serta aksi serbuan ke atas kapal lawan menjadikan elemen ini tetap menghiburkan dan penuh aksi.

Gameplay Lain (Mini-Game, Eksplorasi, Aktiviti Sampingan)

Sebuah game Like a Dragon tidak akan lengkap tanpa pelbagai aktiviti sampingan, dan Pirate Yakuza in Hawaii tidak terkecuali. Game ini menawarkan pelbagai mini-game serta aktiviti lain, menggabungkan elemen klasik Yakuza dengan elemen bertemakan lanun.

Aktiviti seperti Karaoke, Dragon Kart, dan Crazy Delivery kembali, disertai pengalaman baharu seperti Treasure Hunting, yang membolehkan pemain menjelajahi pulau-pulau untuk mencari harta karun dan mata wang berharga seperti “Ring” yang boleh meningkatkan abiliti Majima dalam pertempuran serta menawarkan efek khas, atau digunakan untuk menaik taraf Goromaru.

Kredit: Sega

Eksplorasi juga memainkan peranan penting, dengan lautan terbuka dan pulau-pulau di Hawaii menawarkan pelbagai rahsia tersembunyi. Pemain boleh berlabuh di pelbagai lokasi, setiap satu mempunyai jalan cerita sampingan, kedai, serta cabaran pilihan yang menambah daya tarikan dunia permainan.

Rasa penemuan ini menjadikan eksplorasi lebih menyeronokkan dan bermakna, bukan sekadar untuk meneruskan cerita utama.

Kredit: Sega

Tambahan lagi, aktiviti sampingan yang paling unik ialah Masaru’s Love Journey, sebuah simulasi dating di mana Majima bertindak sebagai wingman bagi rakan sekapalnya, Masaru Fujita, dalam usaha merekrut gadis-gadis dari Minato Ward.

Aktiviti ini menampilkan adegan live-action yang melibatkan cosplayer terkenal Enako, personaliti media Jepun Kaho Shibuya, serta beberapa nama lain. Ia menawarkan beberapa detik paling lucu dalam game, dengan dialog pelik dan adegan romantik yang keterlaluan.

Kredit: Sega

Walaupun mini-game dan elemen eksplorasi dalam game ini cukup menyeronokkan, sebahagian daripadanya boleh terasa berulang, terutama kerana banyak daripadanya merupakan kitar semula daripada entri terdahulu dengan perubahan kecil.

Namun, kepelbagaian kandungan memastikan sentiasa ada sesuatu yang menarik untuk dilakukan di luar jalan cerita utama.

Pendapat

Like a Dragon: Pirate Yakuza in Hawaii merupakan satu eksperimen berani yang sebahagian besarnya berjaya, menggabungkan premis yang gila dengan naratif karakter yang penuh emosi.

Majima benar-benar menyerlah sebagai protagonis, dan campuran pertempuran di darat serta laut menjadikan gameplay sentiasa menarik—walaupun ada beberapa mekanik yang terasa kurang kemas untuk mencapai potensi sebenarnya.

Jalan ceritanya cukup memikat, meskipun ada beberapa isu tempo yang memperlahankan momentum, manakala mini-game terus menjadi antara tarikan utama.

Kredit: Sega

Bagi peminat setia francais, spin-off ini adalah satu pengalaman yang wajib dimainkan, memberikan satu lagi peluang untuk menikmati gelagat liar Majima. Namun, mereka yang mengharapkan kanduangan seperti entri utama mungkin akan mendapati beberapa aspek terasa sedikit kurang.

Meskipun bukan pengembaraan yang sempurna, ia tetap satu perjalanan yang menghiburkan.

Kredit: Sega

Secara keseluruhan, Like a Dragon: Pirate Yakuza in Hawaii berjaya menangkap keunikan siri ini sambil memperkenalkan mekanik baru yang segar. Walaupun masih ada ruang untuk penambahbaikan, ia merupakan satu pengembaraan epik yang tidak boleh dilepaskan oleh peminat Majima.

Game ini boleh didapati untuk PS4, PS5, Xbox Series X|S, Xbox One, Windows, dan Steam. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi di SINI.

Jangan lupa untuk ikuti kami di TikTok!
@gamersantaimy

The Review

Like a Dragon: Pirate Yakuza in Hawaii

8.5 Score

Like a Dragon: Pirate Yakuza in Hawaii merupakan satu eksperimen berani yang sebahagian besarnya berjaya, menggabungkan premis yang gila dengan naratif karakter yang penuh emosi. Majima benar-benar menyerlah sebagai protagonis, dan campuran pertempuran di darat serta laut menjadikan gameplay sentiasa menarik—walaupun ada beberapa mekanik yang terasa kurang kemas untuk mencapai potensi sebenarnya. Jalan ceritanya cukup memikat, meskipun ada beberapa isu tempo yang memperlahankan momentum, manakala mini-game terus menjadi antara tarikan utama.

PROS

  • Jalan cerita menarik dan penuh humor, disertai elemen emosi yang kuat
  • Gaya pertempuran Majima terasa lancar dan memuaskan
  • Pertempuran laut menambah elemen gameplay yang segar dan mendebarkan
  • Persekitaran Hawaii yang cantik dengan interaksi karakter yang menarik
  • Pelbagai kandungan sampingan, termasuk mini-game dan eksplorasi

CONS

  • Isu tempo yang sedikit meleret di bahagian pertengahan cerita
  • AI musuh kadangkala terasa terlalu mudah dan kurang mencabar
  • Sistem lock-on boleh terasa tidak konsisten dalam ruang yang sempit

Review Breakdown

  • Rating 0
Tags: Like A Dragon: Pirate Yakuza In Hawaiireviu
ShareTweetSend
Previous Post

Ternyata Roronoa Zoro Boleh Pakai Conqueror’s Haki, Disahkan Oleh Eiichiro Oda!

Next Post

Upin & Ipin Universe Akan Tiba Pada 2025 – Game Open-World Untuk PC & Konsol!

Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

BitSummit Ke-13 Umum Tema “Summer of Yōkai” dan Senarai Penaja, Tiket Kini Dibuka!
Acara

BitSummit Ke-13 Umum Tema “Summer of Yōkai” dan Senarai Penaja, Tiket Kini Dibuka!

May 20, 2025
Laptop Pemenang Anugerah & MSI Claw Terbaru, Semua MSI Pamerkan Di COMPUTEX 2025!
Berita

Laptop Pemenang Anugerah & MSI Claw Terbaru, Semua MSI Pamerkan Di COMPUTEX 2025!

May 20, 2025
Reviu Mission: Impossible – The Final Reckoning – Misi Terakhir Ethan Hunt
Review

Reviu Mission: Impossible – The Final Reckoning – Misi Terakhir Ethan Hunt

Next Post
Upin & Ipin Universe Akan Tiba Pada 2025 – Game Open-World Untuk PC & Konsol!

Upin & Ipin Universe Akan Tiba Pada 2025 – Game Open-World Untuk PC & Konsol!

Discussion about this post

Discord Kami

Sertai Discord kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter/X Kami

Follow @GamerSantaiMY

Tweet to @GamerSantaiMY

Anime

Anime Sakamoto Days Part 2 Akan Ditayangkan Julai 2025, Trailer Baru Diperkenalkan
Anime

Anime Sakamoto Days Part 2 Akan Ditayangkan Julai 2025, Trailer Baru Diperkenalkan

May 14, 2025
Siapakah Ibu Anime Terbaik? Ini Pilihan Peminat Jepun Sempena Hari Ibu!
Anime

Siapakah Ibu Anime Terbaik? Ini Pilihan Peminat Jepun Sempena Hari Ibu!

May 12, 2025
Under 18 x KLEPET – Kolaborasi Komik Terbaru Gempak Starz & Filem Lokal
Tempatan

Under 18 x KLEPET – Kolaborasi Komik Terbaru Gempak Starz & Filem Lokal

May 12, 2025
DAN DA DAN: Evil Eye Akan Tayang di Pawagam Malaysia – Tarikh, Sinopsis & Bonus Eksklusif
Anime

DAN DA DAN: Evil Eye Akan Tayang di Pawagam Malaysia – Tarikh, Sinopsis & Bonus Eksklusif

May 9, 2025
Goblin Slayer Ⅱ & BrownDust2 Bergabung Dalam Kolaborasi Fantasi Anime!
Berita

Goblin Slayer Ⅱ & BrownDust2 Bergabung Dalam Kolaborasi Fantasi Anime!

May 8, 2025
‘Nintama Rantaro: Invincible Master of the Dokutake Ninja’ Tayang di Malaysia 22 Mei Ini!
Anime

‘Nintama Rantaro: Invincible Master of the Dokutake Ninja’ Tayang di Malaysia 22 Mei Ini!

May 8, 2025
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami
  • Privacy & Policy

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd