Dunia prasejarah kembali mengganas dalam Jurassic World Rebirth, di mana dinosaur dan pengembaraan penuh risiko bersatu dalam filem terbaharu francais ikonik ini.
Berlatar selepas Jurassic World Dominion, filem ini mengisahkan Zora Bennett, seorang ejen rahsia berani lakonan Scarlett Johansson, dalam misi terdesak untuk mendapatkan sebatian bernilai tinggi daripada dinosaur terakhir yang masih hidup — demi merevolusikan dunia perubatan manusia.
Di bawah arahan Gareth Edwards serta dibintangi pelakon-pelakon ternama, pasti ramai anggap Rebirth sebagai filem wajib tonton. Adakah ia berbaloi? Berikut adalah ulasan kami.
Misi Kritikal! Menjejak DNA Tiga Dinosaur
Jurassic World Rebirth mengambil latar lima tahun selepas Jurassic World Dominion, ketika dunia mula menyedari bahawa bumi tidak lagi menyediakan persekitaran sesuai untuk dinosaur. Spesies yang masih hidup kini bersembunyi di kawasan tropika terpencil berhampiran khatulistiwa, satu-satunya tempat yang menyerupai habitat asal mereka.
Dalam zon terpencil ini, tiga makhluk paling besar di darat, laut, dan udara dikatakan memiliki DNA yang menyimpan kunci kepada penemuan perubatan yang mampu menyelamatkan nyawa manusia.

Tanpa berlengah, filem ini terus melonjak ke dalam aksi. Ia tidak membuang masa dengan menjelaskan pembentukan pasukan atau cabaran awal. Fokus utama adalah satu misi berbahaya: menjejaki tiga spesies dinosaur tertentu — Diplodocus di darat, Mosasaurus di lautan, dan Quetzalcoatlus yang menguasai langit.
Zora Bennett (Scarlett Johansson) mengetuai ekspedisi khas untuk mendapatkan sampel darah dari ketiga-tiga gergasi ini menggunakan peralatan canggih yang tidak mencederakan haiwan.

Dengan masa yang semakin suntuk, misi ini membawa pasukan merentas hutan lebat, meredah bahaya yang tidak dijangka, dan akhirnya menuju ke sebuah fasiliti penyelidikan dinosaur yang lama terbengkalai… tersembunyi jauh di jantung tropika.
Namun, sebaik mereka menjejakkan kaki ke dalam kawasan itu, satu kebenaran mengerikan terbongkar: mereka tidak bersendirian.

Di sebalik runtuhan itu, sesuatu sedang menanti… bukan dinosaur biasa, tetapi sisa eksperimen silam yang sepatutnya kekal terkubur. Makhluk ini bukan sahaja asing, malah jauh lebih berbahaya daripada apa jua yang pernah muncul dalam sejarah francais Jurassic.
Visual Menakjubkan dan Aksi Mencengkam
Filem ini memukau dari segi visual, membawa penonton mengembara merentasi darat, laut, dan udara dalam satu pengalaman sinematik yang menawan.
Setiap persekitaran dicipta dengan teliti: hutan khatulistiwa dipenuhi cahaya yang menembusi dedaunan tinggi, lautan menyajikan suasana sunyi dan mendebarkan ketika Mosasaurus muncul secara tiba-tiba, manakala langit dikuasai Quetzalcoatlus di celah awan ribut.
Setiap latar penuh dengan perincian, dari pantulan cahaya di atas ombak hingga angin yang menggoyangkan daun dan rumput.

Namun, elemen yang paling menyerlah ialah dinosaur itu sendiri. Direka dengan tahap realisme luar biasa, setiap sisik, luka, dan pergerakan halus (terutamanya pada Diplodocus) tampak hidup dan meyakinkan. Nafasnya kelihatan jelas dari lubang hidung, dan otot-ototnya bergetar di bawah kulit.
Ini bukan sekadar hasil kesan khas… ia seolah-olah makhluk purba ini benar-benar wujud di hadapan mata.

Aksi yang dipersembahkan turut setanding dengan visualnya. Setiap adegan dirancang mengikut persekitaran, daripada babak kejar intens dalam hutan hingga aksi di bawah air, semuanya penuh kejutan. Rentak cerita disusun pantas dan padat, menggabungkan elemen survival dengan keterujaan sebuah filem blockbuster.

Apa yang menjadikan babak aksi begitu berkesan adalah keasliannya. Bukan sekadar letupan atau tembakan, tetapi strategi cerdik, dan kuasa alam yang tidak boleh dijinakkan.
Adegan di makmal lama yang gelap dan sempit menambahkan suspens, apabila pasukan harus bertahan sambil sesuatu yang menakutkan memburu mereka dari bayang-bayang. Setiap babak terasa berisiko tinggi, disokong oleh kesan praktikal, rekaan bunyi yang imersif, dan koreografi mantap.
Drama Tidak Kena Tempat dan Keputusan Pelik Impak Cerita
Sayangnya, di sebalik visual dan adegan aksi yang memukau, filem ini menghadapi kelemahan ketara dari segi naratif dan dialog. Babak awal filem bermula dengan penuh tenaga, tetapi sebaik sahaja watak-watak tiba di pulau, rentak cerita tiba-tiba melambat dan kehilangan momentumnya.
Misi mengumpul sampel darah dinosaur (yang sepatutnya menjadi nadi utama plot) terasa tergesa-gesa dan kurang impak, diselesaikan terlalu cepat tanpa tension yang sewajarnya.

Lebih mengecewakan, fokus cerita tiba-tiba beralih kepada subplot berunsur drama keluarga yang penuh dengan dialog emosi dan hubungan paksa antara watak. Tema menerima kekurangan sesama sendiri mungkin sesuai untuk filem genre lain, tetapi dalam dunia penuh bahaya seperti ini, ia terasa janggal dan tidak kena tempat.
Salah satu adegan yang paling merosakkan suasana berlaku ketika pasukan mendaki tebing untuk mencari sarang Quetzalcoatlus. Di tengah babak, watak Scarlett Johansson berkongsi jenaka bersama watak lakonan Jonathan Bailey.
Sekali mungkin boleh dimaafkan, tetapi apabila diulang selepas insiden tragik dan kematian anggota pasukan, ia mematahkan suasana dan melemahkan emosi saat itu. Jenaka yang tidak kena gaya ini menganggu detik yang sepatutnya sedih.

Masalah lebih ketara muncul apabila mempertimbangkan logik di sebalik persiapan misi. Meskipun mereka sedar akan bahaya yang menanti, pasukan utama langsung tidak dilengkapi dengan senjata atau alat perlindungan asas. Tiada pistol, tiada pelindung diri, malah tiada inisiatif untuk mencari kelengkapan selepas tiba di pulau.
Hanya satu senjata api yang digunakan sepanjang misi… dan itu pun ditemui pada mayat dan daripada antagonis. Hal ini bukan sahaja menjadikan pasukan kelihatan cuai, malah mengganggu kredibiliti cerita, terutama dalam dunia yang sudah maklum akan ancaman maut dinosaur.

Walaupun Rebirth berjaya dari sudut teknikal dan aksi, ia gagal menyampaikan elemen-elemen ikonik yang menjadikan Jurassic Park asal begitu diingati. Tiada adegan sebanding dengan momen raptor mengejar di dapur atau kemunculan T-Rex pada malam.
Sinematik yang dahulu menjadikan francais ini unik telah diganti dengan pendekatan aksi tipikal yang lebih sesuai untuk filem blockbuster moden, meninggalkan peminat setia dengan rasa kehilangan terhadap keunikan asal dunia Jurassic.
Pendapat
Jurassic World Rebirth benar-benar bersinar apabila ia menampilkan kekuatan utamanya iaitu visual yang menakjubkan, persekitaran yang imersif, dan babak aksi kreatif yang merentasi darat, laut, dan udara. Dinosaur dipaparkan dengan tahap realisme yang lebih mengagumkan berbanding mana-mana filem sebelum ini dalam francais ini.
Namun, segala kehebatan visual itu dibayangi oleh kelemahan dari sudut naratif.

Rentak cerita yang tidak konsisten, watak yang kurang berkembang, serta perubahan nada yang mengganggu sering kali mematahkan momentum filem. Jurang logik, seperti kekurangan persiapan pasukan untuk misi yang diketahui amat berisiko, menimbulkan persoalan yang mencacatkan realisme.
Tambahan pula, tambahan elemen drama keluarga yang kelihatan dipaksa serta beberapa elemen plot yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya telah mengurangkan impak emosi yang sepatutnya lebih menyerlah.

Secara keseluruhan, Jurassic World Rebirth adalah sebuah filem yang menghiburkan dengan pemandangan luar biasa, namun ia tidak berjaya mencapai standard klasik terdahulu. Ia menghiburkan, tetapi benar-benar gagal menyentuh perasaan peminat lama.
Filem ini akan ditayangkan esok di Malaysia.
@gamersantaimy
The Review
Jurassic World Rebirth
Jurassic World Rebirth menyerlah dengan visual memukau, persekitaran imersif, dan aksi kreatif di darat, laut, dan udara. Dinosaur tampil lebih realistik berbanding filem francais sebelumnya. Namun, naratif lemah dengan rentak tidak konsisten, watak kurang berkembang, dan perubahan nada yang mengganggu. Jurang logik, seperti pasukan kurang bersedia untuk misi berisiko, serta drama keluarga yang dipaksa, mengurangkan impak emosi. Secara keseluruhan, Rebirth menghiburkan dengan pemandangan hebat tetapi gagal menyentuh hati peminat lama berbanding klasik terdahulu.
PROS
- Worldbuilding yang imersif dengan persekitaran yang hidup dan unik seperti hutan, lautan, dan langit ribut yang penuh dengan butiran kaya dalam setiap bingkai
- Dinosaur yang realistik, terutamanya Diplodocus, dengan animasi menakjubkan, menampilkan sisik, pernafasan, dan gerakan yang terasa nyata
CONS
- Kekurangan vibe Jurassic klasik; filem ini kehilangan "slow-burn tension" dan misteri asal, memilih aksi yang kuat berbanding suspense, lalu menghilangkan atmosfera ikonik francais
- Selepas permulaan yang kuat, cerita menjadi perlahan dengan misi utama mengumpul darah dinosaur diselesaikan terlalu cepat, ditukar kepada drama keluarga yang tidak perlu
- Jenaka yang janggal dan tidak sesuai pada saat-saat berisiko tinggi mengganggu imersi dan melemahkan kesan emosi
- Jurang logik; pasukan memasuki zon dinosaur berbahaya tanpa persiapan, kekurangan senjata atau pertahanan yang sesuai, menjadikan tindakan mereka tidak realistik
Discussion about this post